Harapan PKR dan PH memperbaiki kedudukan kelihatan kabur
PKR Pecah Lagi
1. Pada hari Ahad, 17 Mei, ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengadakan Konvensyen Kebangsaan 2026 di Johor Bahru dengan kehadiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur "nemesis" baru beliau, Mohd Rafizi Ramli, mengumumkan parti baru.
2. Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan, begitu bersemangat atau cuba mengampu Presiden sehingga mengancam "menguburkan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua" di negeri itu.
3. Beliau merujuk kepada kekalahan BN kepada PH dalam Pilihan Dewan Undangan Negeri Johor pada tahun 2018. Dalam pilihan raya itu, PH menang 36 kerusi dan BN 19 daripada 56. Beliau terlupa atau sengaja buat-buat lupa yang ketika itu Anwar masih dalam penjara dan PH dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.
4. Dalam Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen pula, PH menang 113 kerusi. PKR menang terbanyak dengan 47 kerusi, diikuti oleh DAP dengan 42, Bersatu 13 dan Amanah 11.
5. Ironinya, di bawah pimpinan Dr Mahathir dan ketika Anwar dalam penjara, PH dan PKR mendapat kemenangan paling besar dalam sejarah.
6. Si Aminolhuda tentulah tidak sebut bahawa dalam PRU 2022, di bawah pimpinan Anwar, PH hanya menang 82 kerusi. DAP jatuh kepada 40, PKR tinggal 31 dan Amanah lapan. Di Johor, BN rampas balik Dewan Undangan Johor.
7. Tidak cukup untuk tubuh kerajaan kalau tidak bercium mulut dengan Ahmad Zahid Hamidi, menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dan menggunakan label kerajaan perpaduan.
8. Dalam PRU 2022 juga, anak beliau sendiri, Nurul Izzah, kalah di kubu asal beliau, Permatang Pauh. Sokongan kepada PH terus merosot dalam Pilihan Raya Negeri 2023, terutama di Pulau Pinang dan Selangor - kubu PH sejak 2008. Ketika PRN 2023, Nurul Izzah adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR bagi Pulau Pinang.
9. Walaupun tidak menampakkan kegemilangan luar biasa, Anwar masih mahu Nurul Izzah mewarisi PKR dengan mengorbankan Rafizi. Di konvensyen Johor Bahru, Nurul Izzah tidak kelihatan.
10. Sejak Anwar keluar penjara, mendapat pengampunan diraja dan kembali cergas dalam arena politik, PKR sudah dua kali menderita perpecahan besar. Pertama pada tahun 2020 apabila Mohamed Azmin Ali dan 10 orang Ahli Parlimen keluar dan sekarang giliran Rafizi dan feksyennya pula.
11. Melalui Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) feksyen Azmin telah berjaya melemahkan PKR dan PH. Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi Ahmad ambil alih Parti Bersama Malaysia dan meletakkan jawatan Ahli Parlimen. Ini tentunya menambah cabaran terhadap Anwar, PKR dan PH kalau Pilihan Raya Kecil diadakan.
12. Anwar yang terkenal dengan perang mulutnya telah mengancam mengadakan PRU ke-16 lebih awal jika rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan.
13. Ini adalah susulan keputusan Umno-BN hendak "go solo" dan bertanding semua kerusi dalam PRN Johor akan datang.
14. Kesimpulannya, bukan saja PKR tidak bertambah kuat sejak PRU 2022 dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, sebaliknya dilanda perpecahan. Sama ada PRU ke-16 diadakan secara mengejut atau mengikut jadual, harapan PKR dan PH memperbaiki kedudukan adalah kabur.
15. Pada 12 julai ini, giliran PAP pula menguji kelangsungan (survival) PH. Kongres khas parti tunjang PH itu akan memutuskan sama ada ahlinya yang memegang jawatan kerajaan akan meletakkan jawatan. Antara ketidakpuasan mereka adalah kegagalan melaksanakan reformasi dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Boleh jadi peluasan penerimaan sijil pelajaran bebas Cina itu baru-baru ini bertujuan memujuk perwakilan DAP ke kongres tersebut.
Sekian. Terima kasih.
Dipetik dan adaptasi dari sebuah hasil tulisan tokoh wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, seperti hantaran di Facebook beliau bertarikh hari ini, Selasa 19 Mei 2026.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment