Babi juga makhluk Allah yang ingin hidup bahagia
Babi Uji Kerajaan Madani, kata A Kadir Jasin
1. Saya andaikan inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia babi menduduki tempat tertinggi dalam agenda politik negara.
2. Hebat babi. Bukan saja babi peliharaan tetapi juga babi hutan. Babi hutan lagi "power" daripada babi peliharaan. Di Kuala Lumpur pun sudah ada kumpulan babi hutan. Sudah mula jadi ancaman.
3. Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar sudah boleh masukkan babi hutan ke dalam pelan tindakan.
4. Kalau tidak berhati-hati, isu babi ini boleh jatuhkan Kerajaan Madani. Di Selangor ia sudah sampai ke Istana. Baginda Sultan murka tidak berkenan babi dipelihara.
5. Silap buat kira-kira, Kerajaan Madani Selangor boleh hilang kuasa. Tanpa isu babi pun, Pakatan Harapan (PH) teruk dibelasah dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri tahun 2023.
6. Terus berdegil menyebelahi babi, PH boleh hilang lagi banyak kerusi. Tetapi kalau tidak berkeras, takut DAP pula kecil hati. DAP adalah talian hayat Kerajaan Madani.
7. Dalam Kerajaan Perpaduan @ Madani, DAP adalah akar tunjang dengan 40 kerusi. Dengan PKR sudah berpecah dua dan Barisan Nasional (BN) bermain kayu tiga, kekuatan DAP semakin diperlukan.
8. Di Negeri Sembilan, nampak seolah-olah ketegasan DAP menyelamatkan keadaan sedangkan parti-parti Melayu macam hilang arah tujuan.
9. DAP parti majoriti orang Cina dan bukan Melayu. Majoriti yang makan babi adalah orang Cina. Kalau di Semenanjung, boleh kata semua perternaknya adalah Cina. Jadi babi adalah isu emosi dan keabsahan (legitimacy) bagi orang Cina.
10. Lojiknya, DAP tentulah mahu ternakan haiwan itu dibenarkan apatah lagi secara besar-besaran dalam bentuk industri moden seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Madani Selangor itu.
11. Daripada sudut permintaan dan bekalan, rasanya tidak timbul masalah hidup dan mati kalau Selangor tidak pelihara babi. Keperluannya boleh diperoleh dari negeri-negeri lain.
12. Sarawak dengan gembira menyatakan kesediaan memperbesarkan industri ternakan babi bagi memenuhi bekalan Semenanjung, termasuk Selangor.
13. Memandangkan Kerajaan Sarawak sekarang bercadang membeli Pelabuhan Bintulu dan harta-harta lain daripada kerajaan pusat maka lagi senanglah segala macam barang dikapalkan ke Semenanjung dan seluruh dunia. Jadi, memperluaskan ternakan babi di negeri berautonomi itu lebih lojik.
14. Kalau kita tengok perangkaan, tujuan Kerajaan Madani Selangor adalah untuk mentransformasikan ternakan babi menjadi industri moden secara besar-besaran. Buat masa ini, Selangor tidak beri keutamaan dalam pengeluaran daging babi.
15. Dalam jawapan kepada Parlimen awal tahun ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, bekalan dari Selangor hampir tidak wujud sejak tahun lalu akibat demam babi Afrika (ASF).
16. Negeri pembekal terbesar adalah Perak yang menyediakan 60 peratus keperluan Semenanjung diikuti oleh Pulau Pinang. Duluan sudah pun ada. Bukan semua negeri membenarkan ternakan babi.
17. Projek babi Bukit Tagar itu bukanlah dasar Kerajaan Madani Selangor semata-mata. Ia adalah manifestasi kepada matlamat Kerajaan Pusat mencapai kecukupan 90 peratus daging babi menjelang 2030 berbanding sekitar 68 peratus sekarang.
Terima kasih.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment