Kalah saman, peguam tunggu arahan Aliff Syukri
Kontroversi kes saman fitnah melibatkan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman (gambar, bawah) berakhir apabila Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, Rabu 29 April 2026, memerintahkan usahawan kosmetik itu membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar, atas sekali).
Menurut laporan Sinar Harian, Hakim Encik Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas membenarkan saman Abdul Kadir, 87, berhubung dakwaan fitnah berkaitan hutang pelaburan RM30 juta.
Bukan sekadar ganti rugi, Aliff Syukri turut diarahkan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Abdul Kadir.
Selain itu, mahkamah memerintahkannya memenuhi tiga perintah lain iaitu pertama, injunksi yang melarang Aliff Syukri selaku defendan atau ejennya, daripada menyebarkan atau menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadap bekas veteran UMNO berkenaan.
Kedua, defendan atau ejennya perlu menghapuskan terbitan yang berbaur fitnah terhadap Abdul Kadir selaku plaintif, di semua akaun media sosial dalam masa tujuh hari daripada perintah tersebut.
Sementara ketiga, defendan perlu memberi aku janji bertulis, tidak akan menyebabkan atau menyiarkan fitnah terhadap Abdul Kadir.
Semasa membaca keputusan penghakiman, Roslan berkata, prosiding ini melibatkan plaintif yang merupakan seorang ahli politik, menuntut ganti rugi sebanyak RM70 juta kerana mendakwa defendan membuat kenyataan fitnah di media sosial.
Katanya, plaintif merasakan reputasinya terjejas kerana kenyataan fitnah berkenaan menyebabkan beliau dilihat sebagai seorang penipu dan tidak mampu membayar hutang.
Bagaimanapun, defendan menafikan kenyataan itu dan menyatakan bahawa tujuannya hanya mahu mendapatkan kembali hutang berkenaan.
Hakim berkata, maruah seseorang amat berharga dan ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta.
Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa sama, seorang individu mempunyai hak untuk mengemukakan tuntutan daripada pihak yang berhutang.
“Kesantunan dalam menzahirkan hak itu, amat diperlukan bagi memastikan ketenteraman masyarakat.
“Mahkamah berpendapat ada saluran lain untuk defendan mengemukakan tuntutan hutang terhadap plaintif.
“Bagaimanapun, hujahan defendan yang menyatakan tidak berniat untuk memfitnah atau memalukan, didapati tidak menjustifikasikan tindakannya terhadap plaintif,” katanya.
Beliau berkata, defendan merupakan seorang pempengaruh dan terlibat dalam perniagaan di media sosial dan mempunyai jutaan pengikut.
Katanya, plaintif merupakan seorang ahli politik tanah air yang pernah dilantik menganggotai Kabinet, pernah memegang jawatan menteri di beberapa portfolio sebelum bersara dan terlibat dalam bidang perniagaan.
Sehubungan itu, hakim itu berkata, plaintif berjaya membuktikan tuntutan manakala defendan gagal menunjukkan pembelaan yang dinyatakan.
Dalam prosiding ini, peguam, Encik Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir berkata, anak guamnya tidak hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.
Sementara itu, peguam, Encik Zulfahmi Abu Bakar yang mewakili Aliff Syukri, 39, berkata, beliau akan mendapatkan arahan lanjut sama ada mahu merayu atau tidak, berhubung keputusan tersebut.
Pada 6 September 2023, Abdul Kadir memfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM70 juta terhadap peniaga jeruk mangga itu atas dakwaan memfitnah.
Abdul Kadir berkata, Aliff Syukri yang turut terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, didakwa telah mengeluarkan kenyataan itu pada 2 Julai 2023.
Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar jumlah itu untuk libel atau fitnah bertulis dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah.
Selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari.
Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Defendan mendakwa, pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan dan pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif, di dalam pengetahuan sendiri.
Sumber berita dari Sinar Harian.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment