Sultan Pahang masih membisu "desakan" agar baginda kembali menjadi presiden FAM
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah, dikenali sebagai seorang pemimpin yang tenang, berkarisna luar biasa, serta berpengetahuan tinggi dalam selok belok sukan bolasepak, samada di peringkat nasional mahupun internasional.
Tidak memeranjatkan apabila banyak pihak dan individu berprofil tinggi mencadangkan nama baginda sebagai calon paling sesuai mengambil alih pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Terbaharu, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan menyifatkan Sultan Pahang paling layak untuk mengemudi FAM dalam usaha menyelamatkan badan induk bola sepak negara itu.
Presidennya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pengalaman luas dimiliki baginda dalam bola sepak sebelum ini mampu memulihkan semula imej sukan dan badan berkenaan.
"Bagaimanapun terserah kepada Tuanku untuk menerima cadangan berkenaan. Saya menyokong penuh jika Tuanku mahu pimpin FAM berdasarkan pengalaman dan kemampuan yang bagus sebelum ini.
"Melihat keadaan bola sepak hari ini tidak sama seperti dahulu. Dulu FAM dikuatkan oleh persatuan bola sepak negeri-negeri, sebaliknya hari ini persatuan bola sepak negeri dilihat sudah tidak kuat dan lebih berbentuk kelab," katanya, seperti dipetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat khas secara tertutup kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.
Al-Sultan Abdullah berkhidmat sebagai Presiden FAM dari 2014 hingga 2017 selepas menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah. Baginda juga pernah memegang jawatan di peringkat tertinggi bola sepak sebagai Naib Presiden Konfederansi Bola Sepak Asia (AFC) serta ahli kepimpinan eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sebelum ini, jurulatih bolasepak bertaraf antarabangsa dari Malaysia, Encik Lim Teong Kim turut mencadangkan nama baginda.
Antara faktor sokongan tersebut, Lim menyatakan Al Sultan Abdullah memahami sistem perundangan bolasepak antarabangsa.
Dalam temuramah dengan akhbar Bahasa Inggeris The Star, Lim dipetik sebagai berkata baginda seorang yang tahu apa yang harus dilakukan.
Sementara itu, media sebelum ini juga melaporkan, Bekas Setiausaha Agung FAM, Encik Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu temu bual, berkata berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah baginda, beliau mencadangkan Sultan Pahang agar kembali menjadi presiden badan induk itu.
Saifuddin membuat cadangan berkenaan kerana beliau melihat Al-Sultan Abdullah bukan sahaja sedia mendengar pandangan pelbagai pihak, tetapi juga hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment