Ramai bengang bila DNAA diikuti NFA, tak lama lagi DAA pula
Putrajaya sekarang sangat busuk, rengek Latheefa Koya
Sambil memetik FMT, portal berita Malaysiakini melaporkan peguam kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata pihaknya akan memfailkan permohonan bagi menukar pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Zahid sebelum ini kepada lepas dan bebas (DAA).
“Kami akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat untuk mendapatkan DAA (Discharge Amounting to an Acquittal),” katanya seperti dilapor FMT.
Kelmarin, Khamis 8 Januari 2026, Pejabat Peguam Negara (AGC) berkata pihaknya tidak akan meneruskan tindakan lanjut (NFA - No Further Action) berhubung DNAA (discharge not amounting to an acquittal) yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan terhadapnya berkaitan dana Yayasan Akalbudi pada 2023.
AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 4 September 2023, serta siasatan terperinci yang dijalankan oleh SPRM merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan dalam membuat keputusan tersebut.
Menurut AGC, siasatan susulan yang dibuat selepas keputusan DNAA juga merangkumi perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan selepas presiden UMNO dipanggil untuk membela diri.
Ia termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal, Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh SPRM serta dapatan hasil siasatan lanjut tersebut.
Zahid diberikan DNAA pada 4 September 2023. Pendakwa utama pada masa itu ialah Datuk Dusuki Mokhtar, yang menggantikan Raja Rozela Raja Toran.
Ketika itu, timbul dakwaan bahawa Raja Rozela telah digugurkan daripada kes tersebut.
Bagaimanapun, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun menegaskan yang Rozela tidak digugurkan, tetapi telah memohon persaraan awal.
Idrus berkata keputusan untuk menggantikan Rozela dengan Dusuki dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan sewajarnya.
Dusuki kemudian dilantik sebagai Peguam Negara pada November 2024.
Dalam perkembangan berkaitan, terdapat pihak yang melihat keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak meneruskan tindakan terhadap 47 pertuduhan yang dihadapi Zahid Hamidi, disifatkan tidak memberi keyakinan serta menimbulkan persoalan serius mengenai tahap ketelusan siasatan yang dijalankan.
Astro Awani yang merujuk satu hantaran di media sosial oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Encik Ramkarpal Singh, di mana beliau berkata, penjelasan AGC bahawa keputusan tersebut dibuat selepas satu semakan menyeluruh terhadap bahan siasatan adalah bersifat umum dan gagal menjawab isu teras, khususnya sama ada dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada 2022 turut diambil kira.
Menurut beliau, kes berkenaan bukanlah satu kes yang tiada dapatan, sebaliknya Mahkamah Tinggi telah memutuskan wujud kes prima facie terhadap Ahmad Zahid selepas pendakwaan menutup kes mereka pada 2022, selepas perbicaraan berlangsung hampir empat tahun sejak 2019.
“Dapatan tersebut dibuat selepas ramai saksi pendakwaan memberi keterangan dan berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri.
"Secara undang-undang, tertuduh ketika itu wajib membela diri,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin, Khamis 8 Januari.
Ramkarpal menegaskan, keputusan untuk memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap semua 47 pertuduhan pada 4 September 2023 menimbulkan persoalan besar, memandangkan wujud dapatan prima facie yang belum dipatahkan melalui proses pembelaan.
Beliau berpandangan kenyataan AGC setakat ini tidak mempunyai kandungan yang mencukupi dan sekadar menyatakan kepuasan bahawa kes tersebut tidak wajar diteruskan tanpa justifikasi terperinci.
Sehubungan itu, Ramkarpal menuntut AGC menjelaskan mengapa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid kini dianggap tidak lagi mempunyai nilai, sedangkan dapatan tersebut dibuat berdasarkan bukti yang dibentangkan oleh AGC sendiri di mahkamah.
“Jika AGC gagal memberikan penjelasan yang memuaskan, ia berisiko menghakis lagi keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut, sesuatu yang tidak wajar dan perlu dielakkan,” katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment