UMNO tamak, perasan mereka masih dapat sokongan majoriti Melayu seperti dulu
UMNO perlu lebih menghargai semangat persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan sebelum menuntut keadilan pembahagian kuasa di peringkat negeri.
Akhbar Bahasa Melayu berpengaruh Sinar Harian semalam melaporkan bahawa Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Encik Zuhan Zain (gambar, atas) sebagai berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar, bawah) mengenai isu agihan kuasa antara parti gabungan perlu mengambil kira realiti politik yang berbeza di setiap negeri.
Menurut beliau, sebelum mengulas mengenai keadilan pembahagian kuasa, UMNO wajar melihat contoh di Perak, di mana Pakatan Harapan (PH) menunjukkan keterbukaan sehingga membolehkan Barisan Nasional (BN) menerajui pentadbiran dengan pelantikan Menteri Besar daripada UMNO.
“Realiti politik di setiap negeri berbeza dan tidak boleh dilihat secara sebelah mata.
“PH telah membuktikan kesediaan bertolak ansur demi kestabilan negeri. Jika ini dianggap prinsip keadilan, maka ia seharusnya diterapkan secara konsisten di semua negeri,” katanya dalam satu kenyataan semalam, Khamis.
Kelmarin, Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan yang didakwa tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, pembahagian jawatan sepatutnya dilakukan secara adil dan seimbang, sebagaimana yang dipraktikkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Zuhan berkata, situasi di Johor perlu diperhalusi secara adil kerana UMNO mentadbir negeri itu sepenuhnya tanpa perkongsian kuasa bersama PH.
“Jika keadilan ingin dituntut, maka prinsip itu perlu dipraktikkan secara setara. Tidak wajar hanya menuding jari sedangkan ruang pentadbiran langsung tidak diberikan kepada rakan gabungan di Johor,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pimpinan tertinggi UMNO, Tok Mat seharusnya mengutamakan usaha memperkukuh semangat Kerajaan Perpaduan dengan memastikan semua parti menunjukkan sikap matang, adil dan saling menghormati.
“Keharmonian dan kestabilan Kerajaan Perpaduan hanya dapat dicapai apabila setiap parti, termasuk UMNO, benar-benar menghayati semangat kerjasama yang telah dipersetujui,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk Amanah terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada tahun lalu.
Ia kemudiannya menimbulkan polemik berterusan antara dua gabungan itu memandangkan BN menyapu 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment