Setiausaha Politik Kanan PM bergelar Datuk Seri berdepan tuduhan rasuah
Media di Malaysia dan luar negara hari ini hampir serentak melaporkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, hari ini atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul Iskandar, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas keempat-empat tuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Puan Suzana Hussin, kata Berita Harian.
Dia yang kelihatan segak memakai baju batik warna cerah dan berseluar hitam kelihatan tenang, istiqamah dan pasrah ketika prosiding dan hanya menjawab "Faham puan, tidak mengaku bersalah, mohon bicara".
Menurut akhbar dan portal Bahasa Melayu itu, bagi tuduhan pertama, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa telah secara rasuah menyetuju terima untuk dirinya suapan, iaitu wang tunai RM100,000.00 daripada ahli perniagaan, Encik Tei Jiann Cheing, juga dikenali sebagai Albert Tei, sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.
Ia dengan membantu syarikat yang Jiann Cheing mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta, YTL Majestic Hotel, No 5, Jalan Sultan Hishamuddin, di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, pada 24 November 2023.
Shamsul Iskandar juga didakwa memperoleh suapan untuk dirinya sendiri, iaitu wang tunai RM40,000 daripada Jiann Cheing bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di Kuala Lumpur, pada 29 Januari 2024.
Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan, iaitu memperoleh untuk dirinya sendiri satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.
Bagi keempat-empat tuduhan itu, Shamsul Iskandar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Dia berdepan hukuman mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Gambar-gambar dipetik dari Malaysiakini.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.









Comments
Post a Comment