Kesahihan Kelayakan Doktor Perubatan Menteri Belia dan Sukan Dipersoal—Didakwa Tiada Dalam Senarai Majlis Perubatan Malaysia
“Dalam negara berteraskan undang-undang, fakta menyelesaikan polemik dan dokumen menamatkan keraguan,” kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Kontroversi penggunaan gelaran "Doktor" oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari perlu ditangani berdasarkan fakta, dokumen dan kerangka undang-undang, bukan emosi atau kecenderungan politik.
MalaysiaGazette melaporkan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Encik Jais Abdul Karim (gambar, bawah) sebagai berkata, isu itu adalah soal integriti sistem, pematuhan undang-undang dan keselamatan awam, khususnya dalam profesion perubatan yang melibatkan nyawa manusia.
Menurutnya, pendaftaran mana-mana individu dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah perkara asas dan boleh disahkan.
Ujar beliau, sekiranya individu berkenaan pernah berdaftar, maka pendedahan butiran pendaftaran termasuk nombor pendaftaran MMC, kategori pendaftaran dan status Sijil Amalan Tahunan (APC) akan menyelesaikan kekeliruan awam.
“Sekiranya tiada pendaftaran, maka sebarang profil, resume (CV) atau naratif awam yang menggambarkan amalan perubatan di Malaysia wajar dibetulkan atau ditarik balik demi ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, Jumaat 19 Disember 2025.
Beliau mengulas mengenai kontroversi gelaran "Doktor" pada nama Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani yang kembali menjadi pertikaian di dalam media sosial susulan pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Beberapa pihak sebelum ini mendakwa, Mohammed Taufiq yang merupakan anak kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, tidak tersenarai sebagai Doktor yang sah menerusi carian di laman web MMC, termasuk didakwa tidak wujud dalam daftar kedoktoran di Indonesia tempat beliau melanjutkan pengajian.
Sementara itu, Jais berkata, berdasarkan Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, kelayakan perubatan daripada Universiti Islam Bandung yang didakwa diperoleh Mohammed Taufiq tidak tersenarai sebagai kelayakan yang diiktiraf.
Sehubungan itu, tegas beliau, tanpa pengiktirafan atau laluan kelulusan yang ditetapkan oleh MMC, amalan perubatan di Malaysia adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang.
Menurutnya, MCW menghormati kuasa pelantikan menteri adalah prerogatif kerajaan dan Perlembagaan, namun kejujuran dalam pengisytiharan kelayakan profesional tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kepercayaan rakyat.
“Pendirian MCW adalah jelas. Kami tidak menuduh, tetapi menuntut penjelasan berasaskan dokumen rasmi.
“Dalam negara berteraskan undang-undang, fakta menyelesaikan polemik dan dokumen menamatkan keraguan,” katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment