Dibidas CAP kerana membantah
Media melaporkan Presiden CAP Encik Mohideen Abdul Kader (gambar, bawah) berkata pihaknya telah membuat pertimbangan sewajarnya berhubung pandangan mereka sebelum ini, namun memutuskan untuk meneruskan acara itu yang disifatkan sebagai cara terbaik untuk menghormati legasi Allahyarham Encik SM Mohamed Idris, yang juga merupakan abangnya.
Justeru, Mohideen berkata kenyataan yang dibuat anak-anak saudaranya itu adalah usaha untuk menjejaskan nama baik CAP.
“Sejak 1969, CAP berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak rakyat biasa, memastikan persekitaran yang sihat untuk semua, serta membina sebuah masyarakat yang adil. Itulah legasi berkekalan Allahyarham abang saya dan pengasas CAP.
“Acara ini, yang dihadiri rakan-rakan lamanya, sahabat seperjuangan daripada masyarakat sivil, serta aktivis muda dan pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat, merupakan penghargaan ikhlas terhadap legasi tersebut.
“Ia menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Anwar, yang turut bersama kami meraikan penerbitan buku penting ini. Kehadiran Perdana Menteri menunjukkan hubungan yang panjang dan erat dia dengan Allahyarham Idris serta CAP sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tiga anak SM Mohamed Idris bantah Anwar rasmi pelancaran buku mengenang ayah mereka
Terdahulu, anak-anak aktivis terkemuka Allahyarham Encik SM Mohamed Idris menyatakan kekesalan mereka dengan penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelancaran buku mengenang ayah mereka di Kuala Lumpur semalam, Selasa 16 Disember 2025.
Acara anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang lama dipimpin SM Mohamed, itu malah berlangsung “tanpa kehadiran atau kerestuan zuriat beliau”.
“Ketidakhadiran kami adalah satu manifestasi bantahan yang nyata,” kata tiga anaknya, Ayisha, Fathima dan Khatija dalam kenyataan bersama semalam.
Mereka berkata pihak keluarga tidak pernah memberikan persetujuan untuk Anwar terlibat dalam apa jua kapasiti berkaitan buku tersebut, “memandangkan kes salah laku DSAI terhadap cucu arwah, Muhammed Yusoff Rawther”.
“Kami telah memaklumkan kepada CAP secara jelas dan berulang kali bahawa kami membantah dan tidak merestui penglibatan DSAI dalam hal ini.
“Namun, bantahan kami diabaikan sepenuhnya, malah DSAI tetap diraikan dan diberikan peranan utama sebagai perasmi majlis,” kata mereka.
Sementara itu, mereka berkata SM Idris tidak pernah mencari publisiti, sanjungan atau pengiktirafan, apatah lagi menumpang kuasa politik untuk mengabsahkan perjuangannya.
Sepanjang hayatnya, kata mereka, dia menjauhi pentas, gelaran dan kepentingan diri.
Justeru, mereka menyifatkan apa yang berlaku sebagai “penyelewengan nyata terhadap prinsip tersebut, memperalatkan nama dan legasi seorang tokoh berprinsip demi kepentingan institusi dan politik semasa.”
“Ini bukan penghormatan. Ini perampasan legasi ayah kami,” kata Ayisha, Fathima dan Khatija.
Cara hina untuk demi keuntungan politik
Ketiga-tiga anak Allahyarham juga berkata, kekecewaan mereka semakin mendalam apabila mendapati poster promosi acara ini turut menyertakan simbol dan logo-logo kerajaan seperti Malaysia Madani, Asean Malaysia 2025, dan Visit Malaysia 2026.
“Tindakan CAP mengaitkan legasi SM Mohamed Idris, seorang aktivis yang terkenal dengan sifat kritikal dan bebas, dengan agenda-agenda kerajaan yang tidak relevan adalah tidak wajar,” kata mereka.
Mereka berkata, ayah mereka tidak pernah dikaitkan dengan inisiatif atau organisasi tersebut.
Justeru, penggunaan logo-logo itu jelas merupakan satu bentuk “komodifikasi dan eksploitasi” nama dan jasanya demi mengukuhkan imej politik Anwar.
“Cara hina untuk mendapatkan keuntungan politik ini adalah amat tercela, kerana ia memberikan gambaran palsu bahawa legasi arwah bersetuju atau bersekutu dengan inisiatif semasa yang tiada kaitan dengannya,” Malaysiakini memetik mereka sebagai berkata.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment