Rafizi bidas Anwar dan PKR tukar pendirian terhadap Azam Baki
Melalui rancangan audio siar Yang Berhenti Menteri, malam tadi, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli, seperti dipetik, mengkritik apa yang disifatkannya sebagai perubahan sikap parti itu terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas menjadi kerajaan.
Bagi Rafizi, pendirian PKR pada masa ini terhadap Azam tidak lagi mencerminkan pandangan rakyat, yang menurutnya sebagai sederhana dan “bukan berpandukan politik semata-mata”.
"Pendapat rakyat jelas bahawa Azam patut meletak jawatan. Tetapi kini, PKR dan (presidennya) Anwar Ibrahim memuji tindakannya (Azam) sebagai keberanian.
“Orang yang berubah bukan Azam tetapi PKR dan ini berbahaya," katanya.
Rafizi membangkitkan pendirian PKR, khususnya Anwar sendiri, yang sebelum ini menuntut Azam meletakkan jawatan.
"Pada 2020, demonstrasi kecil menuntut Azam letak jawatan. Bukan saya yang mengetuainya, tetapi Datuk Seri Anwar…
"Pandangan PKR pada 2020 adalah Azam terlibat dengan akaun saham yang dikatakan milik adiknya, tetapi siasatan Suruhanjaya Sekuriti jelas menunjukkan dia yang menggunakannya (dan maka) melanggar peraturan dan patut letak jawatan.
"Pendapat ini sepatutnya tidak berubah. Namun kini, Datuk Seri Anwar memuji tindakan Azam sebagai keberanian," katanya lagi.
Portal berita Malaysiakini juga melaporkan Pemuda PKR pada Januari 2022 pernah mengadakan himpunan di luar Parlimen dan ibu pejabat SPRM di Putrajaya berhubung isu pemilikan saham tersebut.
Semasa himpunan di luar Parlimen, Anwar hadir untuk menerima memorandum yang diserahkan peserta dan menyuarakan komitmen untuk membangkitkan tuntutan mereka kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain menggesa agar tindakan segera diambil.
Mengulas lanjut, Rafizi membangkitkan budaya “politik lama” dan menekankan gejala rasuah bukan terhad kepada hanya satu parti.
"Kuasa (membawa) rasuah dan kita datang daripada budaya politik lama. Mana-mana parti bila berkuasa, mesti ada yang ‘tewas’. Ini kerana orang yang bagi rasuah tetap ada.
“Rakyat ingin melihat tindakan setara…rakyat sokong anda tangkap sesiapa saja.
“Tapi kalau cuma lawan dua tiga orang ‘jerung’ rakyat rasa ia serangan terpilih,” katanya lagi.
Risiko hilang wibawa
Menurut Rafizi, prestasi kerajaan dalam soal menangani rasuah semakin dipersoalkan rakyat walaupun kerajaan sering menegaskan ia lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu.
"Kalau setahun daripada sekarang kontrak Azam disambung atau persepsi rakyat terhadap SPRM tak berubah, PKR-PH akan diletakkan sama dengan parti-parti lain. Bila PKR-PH hilang kredibiliti antirasuah, apa lagi kredibiliti kita?
"Kelemahan (parti) lain kita boleh terima .Kita letakkan harapan bahawa kamu (PKR) lebih bersih dalam hal rasuah. Jadi bila tiba kontroversi demi kontroversi setakat ini, ia akan bawa malapetaka kepada PH dan PKR," katanya lagi.
Bagaimanapun Azam baru-baru ini memberi bayangan dia tidak akan lagi memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM selepas tempoh khidmatnya tamat tahun depan, selepas dilanjutkan tiga kali sebelum ini.
Mengakui lanjutan itu mengundang kritikan, dia malah turut memetik nama Rafizi dalam kenyataan tersebut.
"Sudah tiga kali sambung, orang pun dah tak suka dengan saya. Rafizi tak suka dengan saya, dia kata jangan sambung (kontrak) Azam Baki dan sebagainya," katanya tiga hari lalu.
Rafizi membangkitkan kontroversi melibatkan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador - individu yang dilihat rapat dengan Anwar dan juga bekas setiausaha politiknya - dan mengingatkan ia boleh menjejaskan PH sendiri.
"Dia kena buktikan macam mana dalam tempoh yang pendek boleh ada kekayaan begitu. Ini semua boleh dibuat dalam masa dua tahun untuk yakinkan rakyat bahawa PH serius.
"Sama ada Anwar ada political will atau tidak, itu soalan besar,” katanya.
Dia berkata dua tahun adalah tempoh yang panjang untuk kerajaan “menunjukkan keikhlasan” dalam melawan rasuah.
“..Rakyat akan menilai keikhlasan. Kalau tindakan diambil dengan adil, rakyat yakin PH serius.
"Kalau tidak, semua usaha bertahun-tahun boleh hilang begitu saja. Kita bina kredibiliti, dan ia boleh hilang dalam sekelip mata," katanya lagi.
Sebelum ini, Farhash turut dikaitkan dengan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah, termasuk dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menunjukkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyatakan sokongan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Lembaga Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) kemudian menafikan mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu.
SPRM kemudian membersihkan nama Farhash daripada dakwaan itu selepas siasatan mendapati tiada lesen dikeluarkan kepada syarikat miliknya dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati tiada sebarang pertuduhan boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
Adaptasi dari sebuah artikel terbitan Malaysiakini, siaran hari ini, Sabtu 13 Disember 2025.
End©Permadu
| Adaptasî oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment