Sumber beritahu Malaysiakini kem Azmin menentang cadangan PAS beri kuasa lebih besar urus PN kepada Hamzah sebagai bakal PM ganti Anwar
Persepsi awam kian merebak melihat Anwar seperti sedang berhadapan masalah peribadi yang boleh menjurus kepada krisis keyakinan takyat. Seperti Yusoff Rawther, Anwar juga berhak diberi ruang seluas-luasnya untuk membela diri tanpa perlu melibatkan institusi perdana menteri. Jangan jadikan prejudis sebagai asas keadilan.
PAS mencadangkan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN), yang memberikan kuasa operasi yang besar kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (gambar, bawah) yang juga timbalan presiden Bersatu.
Dalam cadangan itu, satu jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan ditubuhkan manakala presiden keempat-empat parti komponen–PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP)–terus memainkan peranan dalam Majlis Tertinggi sedia ada.
Menurut sumber, perkara itu diusulkan bagi menyediakan Hamzah menerajui tampuk kepimpinan sekiranya berlaku pertukaran rejim di peringkat pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
“Struktur lain tidak berubah, hanya sebuah jawatankuasa baru dibentuk, macam tubuh biro,” kata sumber kepada Malaysiakini.
Seorang pemimpin Bersatu yang hadir dalam mesyuarat itu memberitahu portal Malaysiakini bahawa PAS memang tidak berminat merebut jawatan tertinggi dalam negara.
“Mereka percaya dalam gerakan Islam di seluruh dunia, apabila kepimpinan utamanya diterajui oleh Islamis, musuh akan datang menyerang daripada segenap sudut,” dakwanya.
Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat 10 kepimpinan kanan PN–lima dari PAS dan lima dari Bersatu–pada 18 Februari yang dipengerusikan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur, dakwa sumber itu.
Selain Hadi, timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir manakala Bersatu pula diketuai oleh Naib Presiden Datuk Seri R itadzi Jidin, ditemani pemimpin lain seperti Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Azmin pun hendak jadi PM juga
Bagaimanapun, difahamkan idea itu masih tergantung susulan dakwaan penentangan daripada kem setiausaha agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali.
Mereka dikatakan mahukan penubuhan Majlis Setiausaha PN agar ia boleh diketuai oleh Azmin sendiri.
Tuan Ibrahim, pemimpin nombor dua PAS, pada 10 April lalu memberitahu portal pro-Pakatan Harapan (tetapi berprinsip) iaitu Malaysiakini bahawa PN dijangka melaksanakan penambakan menyeluruh dan rombakan struktur kepimpinan PN.
Perkara itu dimaklumkan selepas timbul drama dalam PN apabila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan melepaskan jawatan bendahari agung PN.
Kejutan itu dibuat sehari selepas PN mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan Azmin dilantik menjadi setiausaha agung, mengetepikan cadangan Pemuda PAS yang mahu ia diisi setiausaha agung mereka Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Tiada rombakan, cuma penambahbaikan, kata Tun Faisal
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menolak dakwaan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN) .
“Berdasarkan kefahaman saya, dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PN Februari yang lepas, tiada cadangan rombakan PN diangkat, dibincang dan diputuskan,” kata pemimpin dari kem Azmin itu.
Bagaimanapun dia tidak menolak terdapat cadangan “penambahbaikan” PN.
“Memang ada pelbagai cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak yang sedang dibincangkan, dipertimbangkan dan dipersetujui,” katanya.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.










Comments
Post a Comment