Tukar nama KTMB untuk lenyapkan "Tanah Melayu"
Sinar Harian melaporkan Veteran UMNO Malaysia mendakwa cadangan menukar nama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada nama baharu yang lebih moden mempunyai agenda tersirat.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, mendakwa tindakan tersebut seolah-olah cuba melenyapkan nama Tanah Melayu yang menjadi lagenda sejarah penubuhan KTMB sejak tahun 1885.
“Veteran UMNO merasakan cadangan itu mempunyai agenda tersirat. Ia bertujuan untuk melenyapkan nama Tanah Melayu pada nama Keretapi Tanah Melayu yang menjadi lagenda sejarah penubuhan KTMB sejak 1885.
“Tidak ada sebarang keperluan untuk menukar nama KTMB kepada satu nama lain kerana sehingga kini KTMB berkembang pesat dengan menyediakan segala kemudahan bersesuaian dengan kemajuan negara dalam menyediakan pengangkutan moden,” katanya dalam satu kenyataan semalam, Selasa 22 April 2025.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat cadangan daripada seorang individu supaya nama KTMB diubah bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa.
Individu berkenaan berpendapat nama Keretapi Tanah Melayu sudah tidak lagi relevan kerana tren masa kini digerakkan menggunakan elektrik dan istilah Tanah Melayu merujuk kepada Malaya, bukan Malaysia.
Bagaimanapun, KTMB dalam kenyataan balas menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menukar nama syarikat itu, sambil menekankan bahawa nama sedia ada membawa nilai sejarah dan warisan serta merupakan identiti korporat yang masih relevan dan tidak menjejaskan usaha pemodenan perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Mustapha menyambut baik keputusan pihak pengurusan KTMB yang menolak cadangan penukaran nama tersebut.
“Apa yang wartawan itu faham tentang nilai sejarah KTMB? Dia hanya seorang wartawan sukan yang tahu hal sukan dan boleh mengulas dalam bidang kesukanan.
“Hari ini seorang pengulas sukan mencadangkan nama KTMB ditukar. Esok mungkin ada bekas pemain bola sepak pula mencadangkan nama askar Melayu ditukar dengan alasan nama itu ketinggalan zaman.
“Negara ini semakin haru dengan munculnya kumpulan rakyat yang buta sejarah dan tiada jati diri sebagai rakyat Malaysia yang mendukung cita-cita Rukun Negara,” katanya.
End©Permadu
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment