DAP parti keramat, kata Nga Kor Ming
Merujuk kepada dua hantaran di media sosial, sebuah portal berita lantang pro-DAP dan Pakatan Harapan melaporkan bahawa Timbalan Pengerusi DAP Encik Nga Kor Ming, yang sering menjadi sasaran pengkritik yang menuduh partinya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam, menyangkal dakwaan itu dengan memaparkan pemberian sumbangan kepada penduduk di kawasan parlimennya.
Kali ini, Nga merujuk kepada sumbangan besar yang dibuat kepada pelajar-pelajar Melayu dan sebuah masjid di Teluk Intan, Perak.
“Saban hari DAP difitnah anti-Islam, namun parti keramat ini sentiasa menghormati semua agama dan sudah tentunya termasuk agama Islam.
“Hari ini saya menyerahkan RM72,000 sumbangan kepada masjid dalam kawasan parlimen Teluk Intan dan amalan murni ini sudah jadi tradisi kami,” katanya di X.
Dalam hantaran berasingan berhubung sumbangan kepada pelajar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sekali lagi menyangkal tuduhan tidak berasas terhadap partinya, dengan melabelnya sebagai "fitnah yang menjijikkan".
“Hari ini saya memberi sumbangan RM150,000 kepada pelajar-pelajar Melayu di kawasan parlimen Teluk Intan.
“Amalan murni ini sudah menjadi tradisi DAP.
“Malaysia Madani, milik kita semua,” katanya.
Mengulas hantaran Nga, portal lantang yang dimaksudkan, iaitu Malaysiakini mengulas agenda negara sekular DAP dan slogan "Malaysian Malaysia" sering digunakan untuk mencetuskan rasa ketakutan di kalangan pengundi Melayu-Islam, taktik yang sebelum ini juga digunakan oleh UMNO sendiri.
Bagaimanapun, sejak membentuk pakatan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu, UMNO didakwa semakin lunak membela bekas seteru politiknya dengan menjelaskan bahawa DAP bukan lagi ancaman, kata Malaysiakini.
Minggu lalu, Setiausah Agung, UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata DAP tidak akan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan yang boleh memansuhkan kepentingan hak Melayu dan bumiputera di negara ini sekalipun jika mereka mempunyai 148 kerusi di Parlimen.
Katanya, sebarang pindaan perlembagaan membabitkan kedudukan Islam dan Melayu, bumiputera - iaitu Perkara 3 dan 153 - perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Pemimpin DAP juga berulang kali telah berikrar untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan berhubung taraf agama Islam dan orang Melayu, tambah portal itu lagi.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment