Padang Arak Padang Tobacco kembali menjadi Padang Jarak Padang Terkukur — Sumpah Mahsuri Versi 2025
Ipoh mali, mali Ipoh
Lupakan sekejap mengenai ada tidaknya titah tambahan untuk membolehkan Najib Razak kembali berehat di rumahnya, dan bukan di penjara. Ini kerana PAS sedang berusaha menutup pelbagai kelemahan di negeri-negeri yang ditadbirnya dengan mengalih muncung serangan kepada DAP.
Yang sepatutnya menjadi berita ialah bagaimana Langkawi di bawah kelangkang PAS terus merudum, sebaliknya Ipoh dalam dakapan DAP semakin menjadi tumpuan pelancong.
Ipoh kini dipilih sebagai salah satu daripada lapan destinasi pelancongan terbaik di benua Asia bagi tahun 2025. Bukan itu sahaja, Ipoh, Perak menduduki tangga kelima dalam senarai tersebut, hatta kota Osaka, Jepun berada di tempat keenam.
Langkawi pula mengalami kebalikan dari jumlah kemasukan pelancong ke pulau peranginan ini.
Baru-baru ini saya duduk minum dengan seorang kawan lama, yang merupakan salah seorang pengusaha penginapan bajet di Langkawi. Beliau terpaksa mengangkat tangan tanda mengalah, lantas menjual perniagaannya lantaran pulau mitos ini kini kurang menerima kehadiran pelancong.
Meskipun beliau berjujur tidak pasti apa yang menyebabkan keadaan ini berlaku, ada beberapa hal yang menurutnya menyumbang kepada gejala merudumnya pelancong ke pulau Mahsuri ini.
Pertama, kemasukan pelancongan merosot dipercayai ada kaitan dengan kekerapan perkhidmatan feri ke pulau ini dari tanah besar. Saya difahamkan oleh beberapa teman ahli sains politik yang membuat kajian di pulau ini ketika pilihan raya lepas, salah satu punca Tun Dr Mahathir kalah teruk di sini ialah kerana kegagalan beliau melakukan sesuatu yang bermakna untuk mengatasi kekurangan di atas.
Teman saya si pengusaha resort mengatakan pekan Kuah memang lengang dan kelihatan seperti dilanggar garuda. Keadaan yang dahsyat ini menyebabkan pengusaha kecil sepertinya tidak lagi dapat menampung kos operasi seperti bayaran pajakan tanah dan gaji pekerja. Rata-rata pengusaha resort hanya berupaya menggajikan pekerja dengan bilangan sangat minimum untuk terus beroperasi, katanya.
Menurut teman saya tersebut, sebagai pengusaha dengan modal kecil beliau tidak mampu mengambil pekerja asing, dan mengharapkan orang tempatan. Malah ia satu kaedah menyediakan peluang pekerjaan kepada warga Langkawi.
Akan tetapi keadaan di Langkawi memang menyedihkan. Penafian demi penafian dari orang politik pernah diselar oleh Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) yang menyifatkan Langkawi bakal bergelar ‘pekan hantu’ jika tiada langkah drastik daripada kerajaan.
Akan tetapi di sini juga datangnya masalah sebenar Langkawi, pembangunan kepelancongan Langkawi datang dari atas, iaitu kerajaan; bukannya berpunca dari bawah iaitu rakyat Langkawi sendiri.
Ahli akademik Shida Irwana Omar dalam ‘The tourism life cycle: An overview of Langkawi Island, Malaysia (2014)’ telah pun memberi amaran sedekad yang lalu bahawa gerakan ‘bottom-up’ lebih munasabah untuk menarik kehadiran pelancong ke Langkawi.
Jika dibandingkan dengan Bali atau Phuket misalnya, kemeriahan pelancong ke pulau-pulau tersebut banyak didorong oleh aktiviti pelancongan yang dijana dan dibina oleh masyarakat sendiri, yang menyedari bahawa kehidupan mereka sangat bergantung dari segi ekonominya kepada sektor ini. Maka masyarakat bergotong royong mengusahakan pelbagai aktiviti pelancongan dan memastikan kejayaan aktiviti mereka itu. Justeru tari kencak, keratan sawah, dan aneka macam lagi acara termasuk Pesta Sastera Ubud yang saban tahun menarik minat sasterawan seluruh dunia adalah semuanya usaha sendiri, dengan bantuan yang sangat minimal dari atas.
Di Langkawi perkara sebaliknya berlaku. Langkawi menanti atau menadah saja pemberian dari kerajaan. Ini membawa kaitan kepada poin kedua.
Menurut teman saya, sejak PAS memerintah Kedah, tidak semena-mena ahli masyarakat serasa malas bekerja.
“Bila kita perlu plumber, tak ada yang nak datang bekerja. Kita telefon tak berjawab. Kita hantar mesej tak berbalas. Akibatnya kerosakan terus berlaku di resort milik aku dan pelancong yang datang memberi rating rendah.”
Bukan itu sahaja, menurut teman saya; mencari tukang bersih kamar juga begitu payah. Misalnya, jika dia ke Kuala Lumpur beberapa hari atas beberapa urusan, dan pulang kembali ke Langkawi kemudiannya, dia akan mendapati cadar kotor berlonggokan tidak bercuci. Bilik bersawang, daun di laman tidak bersapu. Keadaan yang serupa didapati di kebanyakan tempat, katanya, seolah-olah penyakit kemalasan merebak dan mewabak.
Teman saya itu mengakui sukar untuk bersaing dengan pulau-pulau di Thailand, atau Indonesia yang membenarkan penjualan alkohol secara terbuka.
“Tapi jika kerajaan negeri ingin mendapat keberkatan dan menstrategikan Langkawi sebagai pulau peranginan Islami, tidak ada pun usaha yang bersungguh-sungguh membawa pelabur dan juga pelancong dari Timur Tengah misalnya. Aku tak fikir mereka ada idea, gagasan dan tahu bagaimana melaksanakan sesuatu.”
Keadaan ini sangat mendukacitakan. Langkawi sebuah pulau yang indah dan mempunyai banyak keistimewaan untuk diperagakan, akan tetapi mengharapkan semua datang dari atas tidak akan membantu pembangunan pelancongan. Masyarakat sendiri mesti berminat dan ikut serta dalam sektor kepelancongan ini.
Berbeza dengan sektor lain, pelancongan adalah sebuah sektor yang tumbuh dari bawah. Jika masyarakat pulau ini sendiri misalnya menyediakan magis atau naratif tertentu yang membuatkan pelancong ingin hadir maka itu pasti membantu. Kita harus sedar pelancong tidak semestinya mahu ke sesuatu destinasi untuk melihat keindahan semata-mata tetapi juga tertarik dengan aktiviti masyarakat yang unik.
Langkawi mesti diselamatkan. Kerajaan persekutuan hanya berupaya menyediakan fasiliti yang berkenaan sahaja, pihak kerajaan negeri harus menumbuhkan minat ini dalam kalangan orang tempatan. Akan tetapi apabila pimpinan sedia ada kelihatan murung, tidak kreatif, serasa bangang tapi menunjuk pintar, dan tiada kesungguhan maka tidak mungkin orang di bawah akan juga memaparkan kecanggihan.
Orang Langkawi harus mencontohi orang Ipoh. Bukan sahaja menyayangi kota mereka, tetapi bersedia menumbuhkan aktiviti dan acara agar orang luar mahu bertandang. Orang tak akan suka datang ke tempat kita kalau kita sendiri buat muka menyampah.
Adaptasi dari hasil tulisan Faisal Tehrani, pertama kali artikel asal disiarkan di FMT, bertarikh Khamis 9 Januari 2025.
Faisal Tehrani ialah nama pena Dr Mohd Faizal Musa, seorang pengarang fiksyen, pentas, filem, esei dan merupakan ahli akademik.
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment