Sekali pandang, sepasukan peguam kelihatan lebih tinggi dari kepentingan dan kedaulatan negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan bukti dan maklumat yang secukupnya bagi membolehkan mereka mendakwa seseorang samada terlibat dalam aktiviti rasuah.

Tanpa bukti dan maklumat sahih yang kukuh, ini boleh menyebabkan individu terbabit tidak cukup berasas untuk didakwa. Jika didakwa sekalipun, tertuduh berpotensi untuk terlepas kerana ia akan dinilai sebagai bukan kes prima facie.

Sebagai orang biasa yang tidak arif dari sudut perundangan, keadaan kes yang diberitakan ini kelihatan seperti sepasukan peguam lebih tinggi kedudukannya dari kepentingan dan kedaulatan negara.

Walaupun menarik balik permohonan untuk mendapatkan dokumen, siasatan terhadap dua peguam dan firma guaman mereka yang disyaki menerima rasuah daripada Goldman Sachs bagi mengurangkan jumlah pampasan yang sepatutnya dibayar kepada Malaysia berkait skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) masih lagi diteruskan, media melaporkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumat memberitahu dua Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam, pihaknya tidak dapat mendedahkan sejauh mana siasatan itu sekarang.

Seperti dilapor akhbar Bahasa Melayu tradisional Utusan Malaysia, SPRM memfailkan dua permohonan serupa pada 11 Oktober lalu dengan menamakan peguam, Rosli Dahlan dan firmanya, Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) serta peguam Chethan Lachman Jethwani dan firmanya, Chethan Jethwani & Co. (CJC) sebagai responden.

Antara dokumen yang diperlukan SPRM ialah surat pelantikan CJC sebagai peguam daripada Goldman Sachs, surat pelantikan RDS sebagai peguam 1MDB, dokumen kontrak di antara 1MDB dan Goldman Sachs serta kontrak di antara 1MDB dengan AMMB serta penyata akaun dan rekod pembayaran kedua-dua firma guaman.

Selepas dimaklumkan mengenai hasrat SPRM untuk tidak meneruskan permohonannya, Hakim-Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan K. Muniandy membatalkan permohonan terbabit.

Pada prosiding sama di hadapan Hakim Muniandy, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam, M. Puravelan yang mewakili RDS bahawa semua dokumen kausa membabitkan firma guaman itu tidak boleh diakses oleh awam. Chetan dan firma guamannya diwakili peguam Teh See Khoon.

Menurut afidavit yang diikrarkan oleh Penguasa Kanan, Mohamad Sabri Mohd. Latif, pada 6 Oktober lalu, dua pasukan penyiasat SPRM pergi ke RDS dan CJC untuk melakukan pemeriksaan serta penggeledahan bagi tujuan mendapatkan dokumen.

Pemeriksaan dan penggeledahan tersebut dibuat selepas SPRM menerima aduan bahawa semua defendan disyaki terlibat dalam aktiviti penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan urusan penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia, Ambank dan Goldman Sach berkaitan skandal 1MDB.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM2009) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, Rosli dan Chethan dikatakan enggan memberikan dokumen-dokumen yang diminta atas alasan SPRM perlu menggunakan perintah di bawah seksyen 46 ASPRM 2009 yang mana mereka perlu memohon kepada Mahkamah Tinggi sebelum menggeledah atau mengambil apa-apa dokumen di permis terbabit.

SPRM dalam afidavitnya dokumen-dokumen yang diperlukan adalah bagi mengenal pasti pelantikan setiap responden, mengenal pasti peranan dan tindakan setiap responden yang disyaki bersama Goldman Sach dan pihak berkenaan dalam mengurangkan jumlah pampasan atau `asset recovery’ serta bagi mengenal pasti transaksi penerimaan rasuah dan aliran wang haram itu.

Pada 12 Oktober lalu, Goldman Sachs dilaporkan memfailkan saman terhadap Malaysia di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) kelmarin ketika ketegangan semakin memuncak berhubung isu penyelesaian berkait peranannya dalam skandal dana 1MDB.

Pada 2020, Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah dijalankan Malaysia terhadap peranan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu dalam skandal dana 1MDB yang membabitkan berbilion dolar.

Pada 13 Oktober lalu, Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan tindakan saman oleh Goldman Sachs itu satu percubaan untuk me­­ngalihkan perhatian daripada kewajipan mematuhi ke­perluan pembayaran inte­rim sebanyak AS$250 juta di ba­wah perjanjian penyele­saian.

Katanya, Perjanjian Penyelesaian Goldman Sachs ditandatangani pada 18 Ogos 2020 dan mempunyai dua bahagian iaitu pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion yang perlu dibayar dalam tempoh 10 hari selepas menandatangani perjanjian penyelesaian dan Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs dalam tempoh lima tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian.

“Di bawah Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs, sekiranya kerajaan tidak menerima semula AS$500 juta pada 18 Ogos 2022 (dua tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian), Goldman Sachs dikehendaki membayar AS$250 juta sebagai bayaran interim kepada kerajaan Malaysia.

“Pada 18 Ogos 2022, kerajaan Malaysia tidak memperoleh semula AS$500 juta, oleh itu, kerajaan berhak menerima bayaran interim sebanyak AS$250 juta. Perkara itu bagaimanapun dipertikaikan Goldman Sachs,” kata Johari dalam laporan tersebut.



End©Permadu

Oleh Fauzi Kadir,
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Nazura Othman


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG  

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Muhyiddin says MOU irrelevant, DPM Fadillah denies