Sekatan terhadap MalaysiaNow menjadikan portal itu semakin diminati ramai


Anwar boleh tumbang jika dakwaan kerajaan sekat akses portal MalaysiaNow terbukti benar

Semalam portal berita dan analisis politik MalaysiaNow menzahirkan rasa dukacita di atas kegagalan ramai pembaca mengakses portal itu dipercayai disekat oleh pihak berkuasa. 

Bagaimanapun, pembabitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melakukan sekatan belum dapat dibuktikan berikutan penafian menteri, Fahmi Fadzil (gambar bawah).

Difahamkan, pihak MalaysiaNow sedang berusaha mencari punca termasuk mendapatkan bukti yang dimaksudkan.

Seperti dilihat ramai, portal ini cenderung mengkritik kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelihatan memihak kepada Perikatan Nasional (PN) meskipun melalui pelbagai gaya persembahan kewartawanan  beretika dan profesional. 

Ada pihak mendakwa pemilik sebenar portal ini di belakang tabir ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Selain MalaysiaNow sendiri, beberapa portal berita tempatan terkenal lain turut menyiarkan isu sekatan berkenaan.

Kediktatoran mencabul kebebasan media

Berbagai pihak yang bersimpati dengan PN turut dilapor media mengesyaki pihak kerajaan terlibat menyekat akses terhadap MalaysiaNow, seterusnya menganggap satu unsur kediktatoran  yang mencabul kebebasan media di negara ini sedang berlaku.

Apa yang dapat dilihat sekarang, MalaysiaNow menjadi semakin popular. Jika terbukti benar kerajaan terlibat, ia boleh menjadi penyebab tumbangnya perdana menteri kerajaan perpaduan.

Tambahan pula, beberapa isu besar telah mengakibatkan kepimpinan Anwar semakin dicurigai, terutama berkaitan cakap tak serupa bikin.

Berikut diolahpetik sebuah artikel terbitan MalaysiaNow yang disiarkan semalam, 29 Jun 2023:

Sekatan yang mengakibatkan portal berita MalaysiaNow tidak dapat diakses oleh sebahagian besar pengguna internet di negara ini kelihatannya berakhir petang ini, selepas kritikan bertubi-tubi ditujukan terhadap kerajaan dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang tidak mengaku bertanggungjawab. 

Semakan menunjukkan bahawa pengguna TM Unifi, Maxis dan Celcom kini boleh mengakses laman sesawang itu, berikutan sekatan 48 jam yang menyaksikan mereka yang menggunakan tiga penyedia perkhidmatan internet utama itu tidak dapat mengakses laman sesawang berkenaan sejak Selasa. 

Semakan MalaysiaNow sendiri mengesahkan laman sesawangnya disekat, menimbulkan persoalan mengenai wujudnya penglibatan mereka yang mempunyai kuasa dalam menyekat akses ke atas laman sesawangnya. 

Portal itu juga sedang menunggu laporan daripada syarikat keselamatan siber global Cloudflare.  

Mengenal pasti punca

"Walaupun kami lega kerana laman sesawang itu boleh diakses semula oleh rakyat Malaysia, kami tidak akan berhenti sehingga kami mengenal pasti punca di sebalik sekatan ini yang menjejaskan beberapa ISP utama.  

“Dalam dunia digital, segala-galanya boleh dijejaki dan kita akan tahu tidak lama lagi," kata Pengarang MalaysiaNow Abdar Rahman Koya.

Makin ramai meluat dengan Fahmi

Fahmi, yang sekali lagi menerima kecaman minggu ini kerana mengancam orang ramai dengan tindakan pihak polis jika mereka “tidak menjaga kelakuan”, menafikan mengeluarkan sebarang arahan untuk menyekat mana-mana portal berita.  

Bagaimanapun ramai pengguna di media sosial menyifatkan kenyataan itu hanya sekadar mengelak daripada menjawab isu, memandangkan ketua penerangan PKR itu gemar mendiamkan media yang membawa kandungan yang tidak menguntungkan kerajaan. 

Sekatan terhadap MalaysiaNow adalah kali pertama sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media tertakluk kepada larangan sistematik ke atas akses merentas beberapa ISP utama. 

Pada 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat selepas beberapa siri laporan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Laman sesawang itu ditutup beberapa minggu kemudian. Dalam pada itu, penafian Fahmi menimbulkan lebih banyak keraguan dalam kalangan aktivis dan pemerhati politik.

"Sekatan tidak mencerminkan keyakinan dan juga tidak seiring dengan demokrasi. 

“Pendekatan yang lebih baik ialah menyampaikan naratif alternatif dan melindungi kebebasan media," kata penganalisis politik Bridget Welsh di Twitter.

Kritikan keras Wan Saiful

Datuk Wan Saiful Wan Jan, menteri bayangan Perikatan Nasional bagi portfolio komunikasi dan digital, mengeluarkan kenyataan keras mengutuk sekatan MalaysiaNow, dan menggesa pemerhati antarabangsa berhenti mempercayai pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pentadbiran Anwar bukan sahaja tidak cekap, malah mereka juga menyalahgunakan agensi penguatkuasaan untuk menutup mulut pihak yang mendedahkan ketidakcekapan mereka,” kata ahli Parlimen Tasek Gelugor yang lantang itu. 

“Pemerhati, negara dan antarabangsa, seharusnya tahu sekarang bahawa Anwar dan pentadbirannya sangat jauh daripada imej reformis yang mereka pura-purakan itu.

"Kita harus sedar bahawa ini adalah watak sebenar Anwar. Dia pendendam, zalim, dan tidak cekap," kata Wan Saiful, sambil menambah kemarahan Fahmi terhadap pihak yang membuat kenyataan anti kerajaan adalah gejala "sikap pentadbiran ini terhadap kebebasan bersuara".

Menteri tak mengaku

Kumpulan wartawan dan beberapa aktivis turut mengkritik sekatan itu, manakala ada yang memuat naik bukti MalaysiaNow disekat walaupun dinafikan oleh Fahmi. 

Gerakan Media Merdeka menggesa kementerian dan agensi di bawah Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tampil bersih, memetik penemuan pada alat sambungan dalam talian bahawa laman sesawang itu disekat melalui gangguan DNS. 

"Pengubahan DNS adalah kaedah biasa digunakan di Malaysia untuk menapis kandungan dalam talian yang 'tidak diingini' termasuk pornografi, perjudian dalam talian dan laman sesawang pengganas.

"Sebarang bentuk berita dalam talian atau pendapat yang sah dengan jelas tidak boleh dikenakan penapisan sedemikian," kata kumpulan itu. 

Bekas pembantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempersendakan pengkritik yang mengutuk darurat Covid-19 yang dikenakan ketika pentadbiran bekas perdana menteri itu, dengan mengatakan akhbar bebas walaupun dalam tempoh itu.

“Zaman darurat pun kita tak buat kerja macam tu. Malaysiakini, Malaysia esok, Malaysia lusa pun bebas lapor apa-apa berita,” sindir Marzuki Mohamad. “Agaknya zaman sekarang ini dah terlebih daruratnya. Apa ke benda daruratnya pun tak tahulah. Boleh jadi darurat OPR naik, darurat tarif elektrik naik, darurat harga barang naik. Lemang pun dah RM20 sebatang.”

MalaysiaNow lapor Anwar bergurau minta nombor telefon pelajar perempuan

Seorang pengulas politik berkata MalaysiaNow mungkin menjadi sasaran kerana laporan terbarunya mengenai insiden semasa dialog Anwar dengan pelajar, di mana dia secara berseloroh meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan, menimbulkan kemarahan orang ramai.

Fahmi ancam tindakan polis kepada pengkritik kerajaan

Yaakob Osman turut merujuk kepada laporan portal berkenaan terhadap sesi secara langsung di TikTok Live Fahmi di mana ahli politik itu mengancam pengkritik kerajaan dengan tindakan pihak polis.

"Nasihat saya kepada MalaysiaNow elok lah membodek saja mereka di atas, itu yang mereka mahu."

Sementara itu, wartawan berpengalaman Gobind Rudra berkata episod yang dihadapi oleh MalaysiaNow mendedahkan mereka yang memperjuangkan kebebasan media pada masa lalu, sambil menambah Fahmi gemar "membuli" semasa menggunakan media kerajaan "yang memberikan jenis perhambaan yang tidak senonoh dan masa siaran tanpa henti”. 

“Ia adalah jauh berbeza berbanding hari Anwar Ibrahim berdiri di hadapan lautan penyokong di Padang Esplanade dan mengisytiharkan bahawa apabila Pakatan Harapan menawan Putrajaya, kami akan membebaskan media. Hari berikutnya!" 

"Banyak hari-hari berikutnya telah datang dan pergi, Anwar. Dan satu-satunya perkara yang anda berikan kepada kami ialah Goebbels yang cerewet," tulis Rudra di Facebook. 

Siri pendedahan politik oleh MalaysiaNow

MalaysiaNow telah dilancarkan pada September 2020 oleh sekumpulan kecil wartawan berpengalaman daripada pelbagai portal dalam talian.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, portal berita itu berada di sebalik beberapa pendedahan politik.

Pada Oktober 2020, ia mendedahkan sepucuk surat kepada istana yang ditandatangani bersama oleh pemimpin UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong usaha Anwar mengambil alih kerajaan ketika pandemik.

Pada November 2021, MalaysiaNow mendedahkan rancangan kerajaan untuk "menghadiahkan" Najib sebuah hartanah kediaman seluas 2.8 ekar bernilai RM100 juta di salah satu kawasan kejiranan paling eksklusif di Kuala Lumpur, satu tindakan yang mendapat bantahan daripada beberapa menteri Kabinet pada masa itu termasuk Khairy Jamaluddin dan Mohamed Azmin Ali.

Portal itu juga membocorkan perbualan telefon antara Zahid dan Anwar, yang menunjukkan bagaimana dua pemimpin itu merancang untuk menetapkan nada perhimpunan agung Umno dalam usaha memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional.

Tahun lepas, MalaysiaNow melaporkan keistimewaan yang diberikan kepada Anwar semasa dipenjarakan selama lebih 40 bulan atas kesalahan liwat, ketika perbahasan mengenai layanan istimewa terhadap Najib yang baru menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Laporan itu antara lain mengatakan ahli politik itu menghabiskan banyak masa di luar tembok penjara, dan dibenarkan menerima tetamu, perabot "tidak seperti penjara" dan perjalanan keluar masuk penjara yang tidak terkira banyaknya. 

Awal bulan ini, MalaysiaNow memetik sumber, yang berkata pakar maritim memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani perjanjian sempadan dengan Indonesia, menjelang lawatan Presiden Joko Widodo. 

Anwar sejak itu menafikan perjanjian itu adalah muktamad, meskipun kenyataan awal oleh Jokowi meraikan berakhirnya pertikaian maritim selama 18 tahun.



End©Permadu

Oleh Fauzi Kadir

Konsep/Teknik Persembahan/Teks
dibantu oleh Nazura Othman


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG  

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!