Mesin Jual Nasi Lemak Rafizi Ramli
Satu lagi projek Inteligen Formula Specialist
Seorang profesor memberitahu Permadu Malaysia sesuatu yang baik biasanya dikritik di peringkat awal
Seronok membaca sebuah artikel tulisan wartawan MalaysiaNow Nur Hasliza Mohd Salleh, disiarkan semalam, 3 Mac, 2023, oleh portal berita itu.
Kata Nur Hasliza yang memulakan cerita, kelihatan wanita dan lelaki kemas berpakaian baju kurung dan kemeja pejabat berbaris panjang di depan mesin layan diri yang ditempatkan di sebuah stesen LRT untuk membeli nasi lemak bajet berharga RM2.
Jualan itu merupakan usaha terbaru di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh portfolio Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
Macam cerita kartun
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, semakin popular dengan panggilan pakar formula atau formula specialist, sebelum ini memberitahu, proses jualan itu bermula dengan penanam cili memberikan sedikit hasil tuaiannya kepada pengusaha B40 yang lain untuk menghasilkan sambal nasi lemak.
Nasi lemak pula kemudiannya akan dijual serendah RM2 kepada rakyat melalui mesin layan diri.
Tinjauan Nur Hasliza ke stesen LRT Cempaka, Kuala Lumpur melihat banyak pihak boleh membeli nasi lemak tersebut termasuk pekerja asing, pekerja buruh dan penduduk berdekatan.
Bagaimanapun, pelaksanaan program itu kini dipersoal ekoran beberapa isu dan masalah yang timbul kurang tempoh seminggu selepas diperkenalkan.
Kualiti rendah pembungkusan
Pembungkusan nasi lemak yang asas dan hanya diikat getah menyebabkan ianya tersangkut dan tidak boleh melepasi laluan untuk sampai kepada pembeli.
Nasi lemak lekat di mesin, keluar berterabur
Beberapa kali pembeli berdepan situasi tersebut dan terpaksa memikirkan cara untuk mengeluarkannya dan pergi ke lubang yang sepatutnya diterima pembeli.
Ada juga pembeli yang berjaya mendapatkan nasi lemak tetapi apabila diambil nasinya sudah bertabur.
Sistem pembayarannya juga lemah.
Duit kena telan, nasi lemak tak keluar 😂
Mesin layan diri itu boleh menerima kedua-dua bentuk pembayaran tanpa tunai dan bayaran tunai.
Tetapi selepas beberapa jam di situ, mesin itu mengalami masalah teknikal dan tidak boleh memasukkan wang ke dalamnya. Hihihi😂.
"Tak semua orang datang sini boleh guna kad (bank) nak bayar.
"Saya nampak pekerja asing jalan kaki lepas tu beratur nak beli tapi duit tak boleh masuk. Kalau berterusan macam ni, leceh," kata Faqih, kerani bank yang membeli nasi lemak di stesen tersebut.
Penjaja nasi lemak rasa macam ditindas
Kira-kira 7km daripada stesen itu, seorang peniaga nasi lemak pagi menyifatkan idea itu sebagai membazir dan merendahkan pengusaha nasi lemak lain sepertinya.
Kak Julia, yang menjalankan perniagaan sarapan pagi sejak 17 tahun lalu di kawasan Bandar Sri Permaisuri berkata idea itu tidak akan bertahan lama selain ianya hanya membantu satu pihak sahaja.
Apa kata cili itu disalur terus kepada penjaja
Katanya, penjual sebenarnya juga boleh menyediakan nasi dengar harga serendah RM2 jika kerajaan menyalurkan tuaian cili secara terus kepada penjual nasi lemak yang memerlukan khususnya peniaga miskin bandar.
Ini kerana kos pembuatan sambal paling tinggi dalam penghasilan nasi lemak susulan harga cili, gula dan minyak yang mahal.
Cadang pakar formula jumpa penjaja untuk memahami situasi sebenar
"Lebih baik menteri datang jumpa kita yang jual nasi lemak tepi-tepi jalan dan bagi kita cili-cili itu.
"Kita boleh jimat banyak kos dan sediakan lauk pauk yang kualiti untuk pembeli, bukan sahaja telur semata," katanya kepada NurHasliza ketika ditemui di gerainya.
Dengan cara itu, katanya, kerajaan bukan sahaja boleh menjimatkan wang daripada membayar penyelenggaraan mesin layan diri bahkan juga menyebarluaskan idea itu ke seluruh negara.
"Petani bukan ada di KL atau Selangor sahaja. Petani kat Kedah bagi cili kat peniaga di tempat dia. Petani kita (jaga) di kawasan kita.
"Tak perlulah guna mesin itu lagi. Tak tahu saya nak cakap tapi memang tak membantu."
Pengedar mesin layan diri anggap terlalu banyak kelemahan pelaksanaan
Dalam pada itu, Asfanizam, seorang ejen pengedar mesin layan diri di kawasan Lembah Klang berkata bukan sedikit tetapi banyak kekurangan pelaksanaan idea tersebut yang perlu ditambah baik.
Pertama katanya, penggunaan plastik pembungkusan makanan yang murah dan cuma diikat dengan getah tidak efisien untuk pembeli.
Atas sebab itu katanya, tidak menghairankan apabila banyak pembeli berdepan masalah ketika membeli.
Beliau menambah, penjualan nasi lemak bukan sesuatu yang baru dan pernah dibuat sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Asfanizam menjelaskan pelaksanaannya lebih baik seperti menggunakan pembungkusan kedap udara dan ketat bagi memastikan kualiti makanan terjaga serta tahan lebih lama.
Selain itu, nasi lemak diletakkan di dalam mesin layan diri yang bersuhu lebih sejuk bagi mengelakkan makanan basi kerana disediakan menggunakan elemen santan.
"Sebab tu kalau tengok kebanyakan mesin layan diri atau mana-mana peti jual makanan pasti akan ada ketuhar gelombang untuk panaskan makanan.
"Tujuannya bukan sahaja untuk panaskan lauk tapi nak pastikan makanan yang dibeli masih dijamin kualiti dari aspek rasa dan keselamatan makanan."
Perlu penambahbaikan
Dengan itu, katanya, pelaksanaan idea menjual nasi lemak boleh diteruskan dan mencapai tujuan asalnya jika penambahbaikan kaedah proses disegerakan.
"Jika tidak, pembeli akan berdepan situasi yang sama setiap hari.
Bukankah membazir?
"Bayar RM2 tapi makanan sangkut dalam mesin. Kena keluarkan lagi RM3 beli nasi lemak di tepi jalan.
"Bukankah membazir? Lebih baik awal-awal lagi gunakan RM5 beli nasi berlauk murah," katanya.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir |
© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG
Comments
Post a Comment