Anwar jadi lemah kerana terikat perjanjian Kerajaan Perpaduan

MalaysiaNow melaporkan seorang penganalisis memberitahu portal berita itu kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim terbatas kerana terikat dengan perjanjian bersama parti-parti lain semasa membentuk kerajaan, meskipun seorang perdana menteri mempunyai prerogatif melantik anggota Kabinet.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, ini kerana kerajaan sedia ada bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebaliknya kerajaan yang tidak dapat dibentuk tanpa sokongan gabungan lain seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Anwar tidak boleh tentukan siapa wakil-wakil BN. Kalau BN tentukan Ahmad Zahid Hamidi (sebagai timbalan perdana menteri) Anwar kena terima.

"Jika tidak beliau akan dituduh melanggar perjanjian antara mereka," katanya. 

Anwar yang berjaya menjadi perdana menteri selepas disokong BN masih dalam perbincangan membentuk Kabinet.

Katanya, beliau sedang mempertimbangkan semua pandangan sebelum membentuk pasukannya untuk mentadbir negara.

Sebelum ini, pihak seperti Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) melahirkan kebimbangan mengenai cadangan oleh Umno untuk mengangkat presidennya, Zahid sebagai timbalan perdana menteri. 

"Bersih menolak dengan tegas sebarang pelantikan wakil rakyat yang sedang menjalani pendakwaan jenayah ke sebarang jawatan Kabinet kerana hal yang demikian akan menjejaskan integriti kerajaan pimpinan Anwar dan mencemarkan reputasi negara kita.”

Zahid yang berjaya mempertahankan kerusi Bagan Datuk dengan majoriti tipis sebanyak 348 undi dibicarakan atas 47 pendakwaan jenayah pecah amanah dalam kes Yayasan Akalbudi. 

Sebelum ini, beliau dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah berhubung isu visa luar negara namun pasukan pendakwaan mengemukakan rayuan kes tersebut.

Selain Zahid, Lim Guan Eng yang juga bekas setiausaha agung DAP dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, presiden Muda juga berdepan kes mahkamah. 

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan itu berdepan kes rasuah membabitkan terowong dasar laut dan projek jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. 

Manakala Syed Saddiq yang berjaya mempertahankan kerusi Muar diarah membela diri berhubung kes pecah amanah bernilai RM1 juta. 

Anwar baru-baru ini menegaskan seseorang individu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan, satu kenyataan yang dilihat pemerhati sebagai alasan untuk melantik Zahid sebagai timbalannya. 

Anwar dijangka melantik dua timbalan dengan seorang lagi ialah wakil Borneo yang akan dicadangkan oleh GPS. 

Selain Zahid, nama lain yang disebut ialah Mohamad Hasan, timbalan pengerusi BN yang juga ahli Parlimen Rembau. 

Menurut Mazlan, reputasi Anwar dan kerajaan sedikit sebanyak akan terkesan sekiranya perkara itu terjadi, namun katanya soal prinsip menjadi nombor dua kerana perdana menteri tiada kuasa mutlak. 

"Kalau ikut manifesto, PH tidak mahu individu yang ada masalah integriti menyertai kerajaan, namun Anwar terpaksa tolak tepi perkara ini dan lihat perkara-perkara yang sesuai (dalam manifesto) untuk dilaksanakan," tambahnya. 

Menurut Mazlan, Zahid sebagai presiden Umno berada dalam kedudukan yang sangat kuat ekoran aku janji yang diperolehnya daripada ahli-ahli Parlimen yang memberi mandat kepada beliau untuk menentukan siapa anggota Kabinet yang akan dicalonkan BN. 

"Kalau presiden mahu calonkan dirinya (sebagai TPM), siapa berani lawan?" katanya. 

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Penjelasan Tengku Zafrul umpama Hail Amir tanya Uji Rashid

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Kes-kes bunuh diri terjun jambatan di Kelantan membimbangkan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?