Rentak Borhan, Tarian Gomez di lantai Azam Baki

Pakar Ekonomi Edmund Terrence Gomez menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak membangkitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dalam e-melnya kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) sebelum meletak jawatan sebagai ahli panel berkenaan.

Menurut laporan Malaysiakini, Gomez telah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran berhubung dakwaan salah laku Azam dalam e-melnya kepada pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Borhan Dolah.

“Borhan kata bahawa e-mel saya kepadanya tidak menamakan Azam, ketua pesuruhjaya SPRM.

Edmund Terrence Gomez

"Apa yang gagal didedahkan Borhan ialah dalam e-mel itu, ada lima lampiran dengan laporan dan maklumat mengenai hubungan perniagaan langsung dan tidak langsung membabitkan Azam," kata pakar ekonomi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lampiran itu juga dihantar kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Azam Baki

Beliau juga menghantar kepada media salinan PDF dengan tarikh dan kandungan surat-menyurat e-melnya dengan Borhan dan Abu Zahar. Gomez juga menghantar lampiran yang disertakan bersama e-mel tersebut.

Berdasarkan e-mel itu, Gomez melampirkan dokumen penyelidikan mengenai dakwaan terhadap Azam dalam e-mel kepada Borhan dan Abu Zahar.

Dokumen penyelidikan itu, yang disediakan oleh seorang aktivis anti-rasuah, memuatkan dakwaan serupa seperti yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.

Ini termasuk antara 2015 dan 2016, semasa Azam adalah pengarah siasatan SPRM, dia menjadi pemilik kepada 1,930,000 saham (Sivarasa mendakwa jumlah itu adalah 930,000) dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015 dan 1,029,000 saham lagi pada Mac 2016.

Lampiran itu juga mendedahkan bahawa sehingga 21 Mac 2016, Azam turut memiliki 2,156,000 waran syarikat senarai awam Excel Force MSC Bhd, manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global.

Lampiran itu juga mendakwa adik Azam turut mempunyai kepentingan perniagaan dengan seorang ahli keluarga kepada bekas pegawai tertinggi SPRM. 

Borhan dalam kenyataannya semalam, berkata dia telah menjawab Gomez pada 12 November dengan berkata bahawa dirinya akan mempertimbangkan tentang kemungkinan mengadakan mesyuarat panel itu.

Bagaimanapun, Gomez mendakwa dia tidak menerima maklum balas.

Sehubungan itu, dia menghantar e-mel susulan kepada Borhan dan Abu Zahar pada 26 November dan 14 Disember untuk bertanya bila mesyuarat akan diadakan.

Dalam e-mel 26 November itu, dia memuatkan empat lampiran, termasuk dua artikel mengenai dakwaan terhadap Azam yang disiarkan di laman web berita, carta aliran saham yang dipegang, adik-beradik dan sekutunya, serta jadual-jadual yang berkaitan.

Menurut Gomez, semua dokumen berkenaan dilampirkan bersama e-mel tersebut.

Dalam e-mel pada 14 Disember kepada Borhan pula, Gomez memaklumkan bahawa perkara itu akan dibincangkan di Parlimen dan ini akan memalukan jika panel ditanya mengapa ia tidak meneliti perkara itu walaupun menyedarinya.

Sivarasa kemudiannya membentangkan usul tergempar mengenai perkara itu pada hari yang sama.


End©Permadu


Disediakan oleh Nazura Othman
Penulis Berita Permadu Malaysia


Dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir
 KETUA PENGARANG

© 2021 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG


Permadu

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

The 5 ringgit corruption in Johor Bahru Immigration Department?