Rahim Razali pelakon berkarektor luar biasa, pengulas sukan butik
Kehidupan awal
Dato’ Rahim Razali dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah aliran Inggeris di Sekolah Anderson, Ipoh. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Melbourne selama lima tahun dalam jurusan Chartered Accountancy di bawah Rancangan Colombo.
Kerjaya
Beliau bekerja sebagai pembantu penyiaran di Radio Malaya (kini Radio Televisyen Malaysia), Tobacco Co. Bhd, di Kementerian Kebudayaan, dan SSC & B Lintas Sdn. Bhd dan syarikat iklan rokok SH Benson Advertising Company. Seterusnya bekerja di Fleet Communication. Rahim menubuhkan syarikat sendiri Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd bersama Rohani Zain, bekas penyampai berita RTM pada 1981.
Pada 1950an beliau menjadi penulis skrip dan pengarah bagi drama di sekolahnya. Di Australia, Rahim menyertai Melbourne University Theatre Dub, Brighton Theatre Group, dan Australia Broadcasting Commission. Pada 1963, berlakon sebagai Hamlet dalam Hamlet iaitu persembahan untuk Brighton Thearte Group. Pada tahun 2010 beliau mengarahkan Muzikal Uda & Dara karya asal Usman Awang. Beliau bertanggungjawab mencungkil dan menyerlahkan bakat lakonan ramai bintang sejak era 70an, dan terbaru beliau berjaya menampilkan penyanyi popular Misha Omar sebagai bintang teater muzikal yang mempunyai keseimbangan dalam bidang lakonan dan nyanyian.
Beliau menerbitkan 50 drama televisyen di RTM dan berlakon 15 buah filem. Sejak 1960an menceburi dunia lakonan di RTM. Sejak 1981 telah mengarah 8 buah filem dan filemnya terpilih mewakili negara ke Tokyo International Film Festival, London International Film Festival dan lain-lain.
Pada 2010, Rahim ditemuramah dalam rancangan dokumentari The Untold Truth About Supermokh yang menyingkap kisah kehidupan dan kerjaya pemain bola sepak, Mokhtar Dahari yang bersiaran di National Geographic pada 30 Ogos 2010.[4]
Beliau juga pernah menjadi duta dan jurucakap Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Rahim juga terkenal dengan watak Cikgu Osman lakonannya dalam sitkom Osman Baku yang mengisahkan kecekalan Cikgu Osman memperjuangkan bahasa kebangsaan Malaysia.[5]
Dato’ Rahim paling dikenali menerusi kolaborasinya bersama Syamsul Yusof dalam filem Munafik yang mana beliau menjayakan watak sebagai bapa kepada Ustaz Adam.[6] Beliau kembali menjayakan wataknya dalam kesinambungannya yang ditayangkan pada 30 Ogos 2018.[7] Rahim kini membuat persiapan untuk filem terbarunya bertajuk Melayu yang berkisar tentang kisah politikus Melayu dan penyatuan semula orang Melayu di negara ini.[8]
Kehidupan peribadi
Beliau meminati sukan terutama bola sepak, ragbi, hoki, tenis dan terkini golf. Kerjaya sebagai pengacara sukan dipupuk sejak awal penglibatannya pada 1965 lagi.[9][10]
Rahim pernah melakukan pembedahan bagi membuang pendarahan di otak pada 31 Oktober 2013 di Pusat Perubatan Sunway.[11]
(Sumber Wikipedia)
Segak berkemeja biru yang dipadankan dengan celana denim rona sama, aura bintang veteran, Datuk Rahim Razali pada usia 82 tahun, masih terserlah, lapor Berita Harian hari ini.
Ditemui di kediamannya di Subang Jaya, Petaling Jaya, kelmarin, sosok anak seni kelahiran Batu Gajah, Perak ini masih tegap dan sihat.
Menghuni teres dua tingkat bersama isteri tercinta, Datin Salmiah Abd Mukmin, 78, dan seorang cucu, Rahim bersyukur kesihatannya masih memuaskan.
"Alhamdulillah, pada usia begini, tahap kesihatan saya masih lagi 'A'. Adalah sikit darah tinggi, tetapi semuanya dalam keadaan terkawal dengan pengambilan ubat-ubatan yang perlu setiap hari," katanya yang memiliki tiga anak dan tujuh cucu.
Tiada petua tertentu diamalkan, mungkin berkat pengambilan ulam-ulaman setiap hari sejak usia muda memberi impak positif kepada kesihatannya.
"Saya sering mengamalkan ulam-ulaman seperti jering, pucuk ubi dan macam-macam lagi yang menjadi satu kegemaran.
"Sampai sekarang saya masih lagi suka makan ulam. Saya akan berusaha mencarinya, ulam jadi menu wajib ada setiap hari. Saya tidak pernah bertanya kepada doktor dan tidak tahu kajian saintifik mengenai kebaikan ulam.
"Mungkin kebetulan nasib saya baik, tetapi, makanan Barat juga bukanlah asing kerana pernah menetap di Australia selama lima tahun," katanya yang melanjutkan pengajian dalam bidang bidang perakaunan di Universiti Melbourne.
Rahim yang mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak 1960, belum mahu meletakkan titik noktah kepada dunia lakonan.
Cintanya pada bidang lakonan masih menebal. Malah, beliau baru selesai menjalani penggambaran drama mini berjudul Azan Rumah Abah arahan Uchee Fukada yang bakal disiarkan akhir Ramadan ini.
Namun, pada usia begini, biarpun kesihatan masih baik dan mampu bergerak seperti biasa, dirinya sedar, tiba masanya, rentak perlu diperlahankan. Rahim mahu meluangkan lebih banyak masa dengan bersantai dan berehat.
Sejak usia muda, Rahim tidak betah duduk diam. Selain bergelar pelakon, Rahim menjadi pengulas sukan, mengarah dan menerbit filem, drama, teater serta menulis skrip. Justeru pada usia emas ini, Rahim mahu menghabiskan saki baki hidup dengan banyak berehat.
"Tawaran lakonan masih ada. Tetapi saya akur, pada usia begini, tawaran yang diterima tidaklah sebanyak dulu. Saya pun tak mahu banyak-banyak. Sebaliknya, saya lebih senang meluangkan masa dengan berehat dan bersenang-senang.
"Jika tidak bekerja, saya biasanya mengisi masa lapang dengan membaca. Sejak dahulu lagi saya suka membaca. Bahan bacaan saya tidak terhad kepada satu medium sahaja.
"Saya gemar membaca novel dan majalah. Tabiat itu berterusan sehingga kini. Novel yang menjadi pilihan saya kebanyakannya daripada Barat, tetapi ada juga novel tempatan dibaca.
"Subjek yang dibaca bermacam-macam terutama politik, kenegaraan dan penyiasatan," katanya yang memastikan masanya sentiasa terisi dengan perkara berfaedah.
Selain membaca, bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson, Ipoh ini juga mengisi masa lapang dengan menulis. Rahim sedang menyiapkan autobiografi dirinya yang sudah dua tahun diusahakannya.
Selain itu, Rahim gemar berkebun. Tidak hairanlah, laman di tepi rumahnya dipenuhi pohon merimbun.
"Kalau tidak bekerja, nanti otak akan menjadi malas dan badan akan rosak. Segala-galanya bermula dari kepala. Jadi, kalau otak tidak sihat, seluruh badan juga tidak sihat.
"Sebab itu, saya sentiasa memastikan otak aktif dengan membaca, menulis dan melakukan kerja-kerja berkebun
"Anak-anak pun tidak menghalang apa yang ingin saya lakukan. Mereka tahu jika saya tidak aktif, saya akan sakit," katanya yang pernah menghasilkan karya hebat seperti Abang, Tsu Fei Sofia dan banyak lagi.
Selama berada dalam industri, Rahim sudah menerbitkan lebih 50 drama yang disiarkan RTM, mengarahkan lapan drama lain dan berlakon lebih 15 filem.
Biarpun dirinya dikenali sebagai pelakon dan sutradara hebat, namun, tiada dalam kalangan warisnya yang menunjukkan minat bergelar pelakon.
Anak sulungnya, Rizal, kini menetap bersama isteri yang juga pendidik bersama anak-anak mereka di Kuantan, Pahang.
Anak kedua, Nadiah terbabit dalam bidang perhubungan awam dan pengiklanan manakala anak bongsu, Kartina bekerja dengan firma guaman.
Sama juga cucu seramai tujuh orang, tiada seorang pun yang berminat untuk mengikut jejak langkahnya menjadi pelakon.
Hanya seorang cucu yang menuntut dalam bidang grafik di di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berminat dalam bidang pembikinan video.
Menurut Rahim, dia tidak pernah menghalang cucu daripada menceburi bidang seni. Namun, andai ada yang berminat untuk serius, beliau menggalakkan mereka menambah ilmu sebelum melangkah ke bidang seni.
Berkongsi pandangan mengenai industri seni filem dan TV ketika ini, Rahim menasihatkan pelapis baharu agar memantapkan diri dengan ilmu, bukannya bersandarkan populariti, kecantikan dan seksi semata-mata.
"Apabila ingin masuk ke bidang ini, pastikan siapkan diri dengan ilmu. Jangan membuta tuli masuk tanpa bekalan. Walaupun bergelar pelakon, kena ada ilmu dan perlu ada imaginasi yang terdidik dan teratur.
"Pergilah ke kelas atau kursus bersesuaian. Sekarang ramai yang menawarkan kelas lakonan dan kurus. Jangan ingat berlakon tidak perlu ada ilmu dan hanya mengharapkan kepada faktor cantik dan popular sahaja," katanya.
Ditanya siapa pelakon pelapis yang berpotensi melangkah lebih jauh, Rahim yang pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 mengaku tidak begitu mengenali pelakon generasi baharu.
Apatah lagi, Rahim semakin jarang menonton TV. Tambahnya, kebanyakan drama TV semakin 'mengarut' lantas membuatkan dirinya hilang minat untuk menonton TV.
"Saya masih menonton sikit-sikit drama TV. Tetapi, apa yang saya lihat, drama kita sekarang semakin mengarut temanya. Banyak plot yang tidak menentu, kadang kala langsung tidak masuk logik akal.
"Ada yang sengaja 'over' dan tampak palsu demi menimbulkan kemarahan penonton. Mereka beri alasan terpaksa berbuat demikian kerana memenuhi kehendak stesen TV. Tetapi, bagi saya, ia adalah kombinasi kedua-duanya.
"Stesen TV memang mahu begitu dan penulis pula ingin menjual karya mereka," katanya.
Rahim berkata, sesebuah karya sepatutnya perlu ikut logik dan sifat kemanusiaan yang sebenar.
"Kita sepatutnya tunjukkan kepada masyarakat perkara yang boleh membantu untuk mengubah pemikiran mereka.
"Pengaruh drama dan masyarakat sangat kuat. Jika kita terus-menerus menghidangkan drama yang boleh merosakkan pemikiran penonton, impak dan efeknya tidak bagus.
"Lama-kelamaan kita boleh membuatkan penonton menjadi kurang bijak," katanya yang dikunjungi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Zakaria Abdul Hamid sempena program FINAS Prihatin di kediamannya, baru-baru ini.
Pernah menjadi pengulas Sukan Olimpik yang disiarkan RTM sebanyak lima kali dan Bola Sepak Piala Dunia sebanyak enam kali.
Antara filem dihasilkan Abang (1981); Pemburu (1982); Matinya Seorang Patriot (1984); Tsu Feh Sofiah (1985); Puteri (1987); Anak Sarawak (1989); Rentak Desa (1990) dan Abang 1992 (1993).
Comments
Post a Comment