NAJIB RAZAK HAMPIR PASTI KEMBALI SEBAGAI PM-9
Najib Razak bossku bakal PM-9

KRISIS kesihatan berkaitan virus Corona belum pulih sepenuhnya, ahli-ahli politik sudah tidak sabar untuk menyambung permainan politik yang sedikit terbengkalai.
Seolah-olah prinsip memelihara kepentingan rakyat dan negara mengatasi perkara lain sudah tiada lagi dalam pemikiran ahli politik.
Yang ada hanyalah pertempuran demi pertempuran berebut kuasa. Kuasa rakyat hanya terletak pada nama. Kerana ahli politik calon yang menang dalam pilihanraya boleh melompat mengikut rentak para pencatur politik. Bukan pilhan rakyat.
Yang bermain politik dengan rakus sekali bukan sahaja di kalangan pembangkang, tetapi juga pemerintah.
Pembangkang kata pemerintah yang berusia hampir tiga bulan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin ini sangat rapuh. Bila-bila masa boleh berkubur.
Mungkin benar kata-kata itu. Cuma satu lagi perkara yang mungkin benar juga adalah kerapuhan barisan pembangkang sendiri yang tidak kurang lemahnya.
Pembangkang juga nampaknya sedang bergelut sesama sendiri untuk berebut jawatan perdana menteri.
Perkembangan dan suasana mutakhir menunjukkan ahli-ahli politik di negara ini sangat tidak berbakat dalam mencari jalan penyelesaian. Mereka lebih berperanan sebagai penambah kekusutan.
Rencana di bawah adalah hasil tulisan A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press. Beliau juga bekas penasihat komunikasi dan media kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Emosi, pandangan dan luahan beliau menjadi lambang kekusutan yang dimaksudkan.
Banyak lagi penulisan politik yang menjurus kepada kehancuran, tapi kali ini Jemaah Editorial Permadu Malaysia memilih rencana nukilan A. Kadir Jasin yang disiarkan di blog beliau, kadirjasin.blogspot.com hari ini.
Petanda semakin jelas nampaknya tidak lama lagi bekas perdana menteri yang semakin hari semakin ramai peminat, Mohd Najib Abdul Razak bakal kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.
Ahli parlimen Pekan (Bandar Diraja Pahang) itu berjaya menguruskan krisis kejatuhannya dengan baik dan beliau sebenarnya orang paling berpengaruh dalam UMNO tanpa memegang sebarang jawatan dalam Majlis Tertinggi parti tersebut.
Kita ikuti tulisan A. Kadir Jasin...
Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, orang Johor. Dr Maszlee Malik pun orang Johor. Nor Jazlan Mohamed orang Johor. Dan Khaled Nordin pun orang Johor. Semuanya orang Johor.
Muhyiddin yang menang pilihan raya umum 9 Mei 2018 atas tiket Pakatan Harapan (PH) mengetuai rampasan kuasa yang menumbangkan kerajaan PH.
Maszlee yang digugurkan oleh Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri PH) daripada jawatan menteri pendidikan terus menyokong bekas perdana menteri itu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Nur Jazlan adalah timbalan pengerusi Umno Johor dan bekas timbalan menteri BN zaman Najib Razak.
Khaled, salah seorang naib presiden Umno adalah juga pengerusi badan perhubungan Umno Johor.

Muhyiddin kata, langkah membawa Bersatu keluar PH adalah untuk mengukuhkan parti itu dan menjadikannya parti Melayu nombor satu.
Maszlee tidak pasti jika ada masa depan untuk Bersatu dalam suasana sekarang. Nur Jazlan kata, Umno tidak berhasrat menjalin kerjasama kekal dengan Perikatan Nasional (PN) ciptaan Muhyiddin.
Katanya, memorandum persefahaman PN 17 Mei adalah semata-mata untuk memperjelaskan sokongan bagi persidangan parlimen 18 Mei sahaja.
Untuk jangka masa panjang yang membawa kepada PRU ke-15 Umno dan BN adalah bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN). Penyertaan dalam kerajaan PN adalah sementara saja sehingga PRU15.
Khaled pula menyertai beberapa orang panglima perang Umno lain mengalu-alukan Muhyiddin membawa Bersatu masuk Umno.

Cakap-cakap seumpama ini tidak boleh dipandang remeh dalam keadaan di mana pemerintahan kerajaan PN semakin berkecamuk dan usaha sedang dibuat bagi mendisiplinkan kumpulan yang tidak sebulu dengan Muhyiddin di dalam Bersatu.
Jadi, apa akan berlaku kepada Bersatu dari sekarang hingga PRU15?
Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad bersama empat orang ahli Dewan Rakyat Bersatu duduk di sebelah pembangkang manakala presidennya, Muhyiddin dan konco-konco beliau duduk di sebelah kerajaan.
Kalau diukur semata-mata daripada tindak-tanduk Muhyiddin dan konco-konconya sejak mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu maka adalah tidak mustahil lambat-laun Bersatu akan terkubur.
Pertimbangan
Muhyiddin mengenepikan keputusan MPT memberi masa dan tidak mamaksa Dr Mahathir mengorbankan prinsip dan janjinya. Dr Mahathir akan kekal perdana menteri sehingga selepas persidangan kemuncak APEC November ini.
Malam itu juga dia membawa Bersatu keluar PH dan menubuhkan PN melalui persekongkolan dengan feksyen Mohamed Azmin Ali dari PKR, Umno/Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti-parti Sawarak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Perlu ditekankan di sini bahawa kuasa penentu dalam penubuhan kerajaan PN adalah Umno bukan Bersatu. Kalau Umno tidak setuju, PN tidak akan tertubuh dan Muhyiddin tidak akan menjadi perdana menteri.
Maka tidak hairanlah kalau yang mendapat habuan paling besar dan ketara dalam kerajaan PN bukan Bersatu tetapi Umno. Umno yang kalah PRU 2018 kembali memerintah.
Umno begitu yakin dengan kedudukannya dalam PN sehingga ia boleh berkata berulang kali dan secara terbuka bahawa PN adalah sementara sahaja sehingga PRU15. Perkongsiannya yang kekal adalah dengan PAS dalam MN.
Ketua umum Umno, Najib Razak memperlekeh PN sebagai pakatan yang tidak sah dan tidak berdaftar.

Jadi dalam PRU15 nanti, Bersatu akan berpakat dengan siapa? Atau Muhyiddin dan konco-konconya begitu yakin bahawa mereka mampu bersendirian menentang MN dan PH?
Senario
Berlatarbelakangkan analisis di atas, ahli-ahli Bersatu, khususnya yang masih percaya dan berpegang kepada perjuangan asal, iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokrasi BN dan menyelamatkan Malaysia, terpaksa memikirkan dan membuat pilihan seperti berikut:
• Kembali kepada PH;
• Menyertai MN jika diterima Umno dan PAS;
- Menubuhkan pakatan baru; atau
• Bersendirian menghadapi PRU akan datang.
Dalam rakaman video mesyuarat MPT 23 Februari itu, Muhyiddin berjanji bahawa "walaupun Bersatu keluar daripada PH, ia akan terus memerintah dan mengetuai kerajaan."
Umno dan PAS kini menguasai kerajaan PN.
Ya, betul Muhyiddin mengetuai kerajaan, tetapi Bersatu tidak lagi mengetuai atau menentukan agenda kerajaan. Kerajaan PN telah jatuh ke tangan Umno dan PAS.

Jadi amat penting bagi ahli-ahli Bersatu yang percaya kepada idealisme perjuangan menentang kleptrokasi dan menyelamatkan negara berusaha mengambil balik Bersatu daripada mereka yang khianat dan mabuk kuasa.
Kita jangan hairan dan terperanjat jika Muhyiddin sedang memikirkan satu lagi opsyen, iaitu balik semula kepada Umno.
Kita kena ingat, Muhyiddin tidak keluar daripada Umno. Dia dipecat oleh Najib. Sedangkan Dr Mahathir keluar Umno secara sukarela. Maka adalah tidak mustahil atau memeranjatkan sekiranya Muhyiddin melakukan perjalanan pulang ke pangkuan Umno.
Seperti yang pernah saya tulis, alasan Muhyiddin dan konco-konconya beria-ia hendak membawa Bersatu keluar daripada PH adalah orang Melayu menolak Bersatu kerana bersama dengan DAP dan tidak setuju Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai perdana menteri.

Persoalannya sekarang, adakah lebih ramai orang Melayu menyokong Bersatu kerana tidak lagi bersama DAP dan adakah penubuhan kerajaan PN mengukuhkan kedudukan Bersatu?
Kita mesti selalu ingat janji Muhyiddin iaitu “...walaupun Bersatu keluar daripada PH, ia akan terus memerintah dan mengetuai kerajaan.”
Serah negeri
Tapi adakah itu yang berlaku? Adakah dengan menyerahkan Johor kepada Umno, Kedah kepada PAS dan menjadi melukut di tepi gantang di Perak, Melaka dan negeri-negeri lain bukti bahawa Bersatu memerintah dan menguasai kerajaan?
Muhyiddin bermurah hati serahkan Johor kepada Umno dan Kedah kepada PAS, tetapi apakah balasan yang Umno dan PAS berikan kepada Bersatu di negeri-negeri yang mereka perintah?

Adakah ini faedah dan manfaat yang Muhyiddin janjikan dengan membawa Bersatu keluar daripada PH?
Jelas daripada tindak-tanduk Umno, sama ada sebagai sebuah parti atau individu, bahawa tujuannya sekadar memperalatkan PN untuk mengukuhkan kedudukannya dan dan kembali berkuasa.
Umno mabuk kuasa. Ia tidak boleh hidup tanpa kuasa dan Muhyiddin memberikan candu yang ia perlukan. Apabila mabuk, siapa yang dibelasah? Jawabnya, Bersatu.
Bagi Umno dan PAS mereka tidak rugi apa-apa. Mereka kalah PRU ke-14 tetapi kembali berkuasa dengan ihsan Muhyiddin dan konco-konconya. Umno dan PAS sekadar menjadikan kerajaan PN batu loncatan untuk MN.

Malah mereka boleh mencetuskan krisis, seperti undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, supaya kerajaan PN jatuh dan dengan itu memaksa pembubaran parlimen dan mengadakan PRU lebih awal.
Kalau Umno boleh dengan mudah membuang Muhyiddin pada tahun 2016, sedangkan ketika itu dia timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, kita jangan hairan atau terperanjat kalau dia sekali lagi dipermainkan oleh Umno.
Jadi ahli-ahli Bersatu yang masih berpegang kepada prinsip perjuangan kena faham mainan politik Muhyiddin dan konco-konconya yang merugikan Bersatu.
Semua Hak Cipta Terpelihara
hubungi kami +6011 1185 9874
atau permadu@gmail.com
gambar dan sokongan teknikal
Zafiyah Hussain
Kumpulan Permadu Media
Facebook Permadu Harmony *Page Permadu Station **Audio Visual PermaduTV

BNPAS TK PEDULI PUN... BERSATU BG JAWATAN, BNPAS AMBIL, KLU TK BERI..KAMI TK KISAH PUN.
ReplyDeleteYG PENTING, PRU15, KAMI BNPAS AKAN LANGGAR SESAPA YG BKN DLM BN ATAU MN.... KLU PPBM SDA KAT TGH JALAN, KAMI LANGGAR JUGA