ANWAR DIJANGKA JADI PM TAHUN DEPAN

BERITA POLITIK BILA ANWAR AKAN JADI PERDANA MENTERI
Dr Mahathir tiada pilihan selain terpaksa menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim tahun hadapan, kecuali berlaku sesuatu di luar jangka atau memang sudah dirancang untuk menggagalkan pengambilalihan jawatan tersebut

Anwar Ibrahim
...perdana menteri menanti

PADA hari Isnin 23 September,  2019, pengarang veteran A Kadir Jasin dilapor sebagai berkata tiada tarikh ditetapkan bila Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan perdana menteri Malaysia dari Dr Mahathir Mohamad.

Ahli kepimpinan tertinggi Bersatu itu ditemui wartawan selepas berucap kepada para pelajar Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu.

Janji dalaman PH

Kadir menambah, ada lima janji yang dipersetujui barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH), iaitu Dr Mahathir akan menjadi pengerusi Harapan, Dr Mahathir akan mengetuai pasukan Harapan dalam kempen pilihanraya umum ke-14, Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri,  Dr Mahathir akan memohon pengampunan diraja untuk Anwar dan Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.

A Kadir Jasin
...penulis veteran

"Bagaimanapun, perjanjian itu, dokumennya tidak menyatakan tarikh. Tahun 2020, 2030 atau 2050, tarikhnya tidak dinyatakan," Kadir dipetik Bernama sebagai berkata.

Kadir yakin Mahathir akan tunai janji

Sungguhpun demikian, penasihat komunikasi dan media kepada perdana menteri itu berkata beliau yakin dan percaya Dr Mahathir akhirnya akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada presiden PKR itu.

Anwar yakin Mahathir letak jawatan 2020

Minggu lepas, pada Rabu 18 September 2019, dalam satu wawancara dengan media antarabangsa Bloomberg, Anwar Ibrahim berkata dengan yakin bahawa beliau akan mengambilalih jawatan perdana menteri Malaysia dalam tahun 2020.

Ahli parlimen Port Dickson itu juga dipetik sebagai berkata Dr Mahathir akan meletak jawatan dalam tahun 2020 "pada masa yang sesuai".

Mahathir ulangi janji

Sehari selepas itu giliran Dr Mahathir pula memberi respons menjawab soalan wartawan. Ahli parlimen Langkawi itu berkata beliau akan memutuskan tarikh penyerahan jawatan perdana menteri kepada Anwar sambil memberi komitmen bahawa beliau akan menunaikan janji tersebut.

Berbagai andaian, khabar angin dan spekulasi terhadap perlantikan "perdana menteri menanti" itu.

Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri

Malaysia milik Mahathir dan Daim?

Ada yang menilai kerajaan Malaysia sekarang sebenarnya dikuasai dua sosok manusia iaitu Mahathir sendiri dan sekutu rapatnya Daim Zainuddin. Sesiapa sahaja pengganti pemimpin berusia 94 tahun itu mestilah seorang yang mesti tanpa berbelah-bahagi mengikut telunjuk mereka berdua dan tidak akan menjejaskan kepentingan empayar perniagaan mereka serta rakan-rakan sekutu.

Dr Mahathir Mohamad (kiri)
dan Daim Zainuddin

Anwar tak boleh jadi boneka

Anwar dilihat bukanlah boneka yang boleh dipercayai memandangkan bekas banduan dua kali untuk kes-kes berkaitan liwat itu mempunyai rangkaian berbeza dalam konteks rakan sekutu niaga dan individu-individu berkepentingan.

Bagaimanapun, tidak mustahil mereka sedang mengadakan beberapa siri perundingan untuk membolehkan satu kata sepakat dicapai, di mana kedua-dua pihak perlu berkompromi untuk perkara-perkara tertentu atas situasi menang-menang.

Azmin Ali, menteri hal ehwal ekonomi

Ramai yang menyangka Azmin Ali adalah pesaing terdekat Anwar mula menyedari bahawa timbalan presiden PKR yang sudah lama tidak hadir mesyuarat parti itu tidak mempunyai peluang sama sekali untuk menjadi perdana menteri ke-8.

Tanpa Mahathir, Azmin macam mana

Walaupun Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang sedang sibuk bersilat dengan isu peribadi video homoseksual Sandakan di mana salah seorang dari dua orang pelakon lelaki itu berwajah mirip beliau, Azmin sendiri tidak pernah secara terbuka membuat pengakuan bahawa pelakon lelaki itu bukanlah dirinya.

Azmin juga tidak pernah berkata bahawa video tersebut tidak tulen atau ada unsur lapikan gambar wajahnya di mana pelaku sebenar adalah orang lain. Apa yang sering disuarakan bekas menteri besar Selangor itu ialah penyebaran video seks tersebut adalah satu konspirasi jahat dengan niat membunuh kerjaya politiknya.

Pelaku dan penyebar

Hilang kisah dua pelaku dalam video, timbul pula isu pengadu dan penyebar video yang mesti dihukum.

Terlalu mempertahankan Azmin boleh rosakkan imej Mahathir sendiri

Azmin juga nampaknya bernasib baik kerana dibela perdana menteri ke-7 yang pada awalnya tidak mempercayai langsung kesahihan video tersebut. Abang kepada selebriti kontroversi terkenal Azwan Ali itu kelihatan lebih terselamat lagi apabila Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu dipergunakan mana-mana pihak untuk menjatuhkan seorang pemimpin melalui satu isu yang didedahkan dengan niat mengaibkan seseorang individu.

Sehingga kini polis dan pejabat Peguam Negara belum mendakwa sesiapa, samada pelaku dalam video mahupun penyebar video berkenaan, meskipun beberapa orang telah dipanggil dan direman untuk siasatan, termasuk orang yang mengaku sebagai salah seorang dari dua pelaku iaitu Haziq Abdullah, juga individu-individu yang rapat dengan Anwar Ibrahim.

Ketegasan Lokman Adam wajar

Ini tidak termasuk seorang pemimpin UMNO Lokman Noor Adam yang dipanggil polis Bukit Aman pada 3 September 2019, sambil menyerahkan dokumen asal 55 muka surat hasil analisis Verden Forensics dari United Kingdom mengenai ketulenan video serta perincian persamaan wajah pelaku dan wajah Azmin Ali.

Abdul Hamid Bador, ketua polis negara

Isu ini juga sedikit sebanyak telah menjejaskan dengan teruk imej Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang sebelum ini dilihat memiliki ketegasan luar biasa. Salah seorang pelaksana to restore the rule of law yang menjadi harapan rakyat.

Anwar dalang video mirip Azmin?

Walaupun ada persepsi mengaitkan Anwar sebagai dalang utama di sebalik penyebaran video seks sejenis ini dengan pendedahan siasatan polis membabitkan bayaran ratusan ribu ringgit, sehingga kini tiada fakta jelas yang dapat membuktikan Anwar terlibat dalam penerbitan dan penyebaran video tersebut.

Reaksi berbeza boleh timbulkan persepsi negatif

Apabila Dr Mahathir menunjukkan reaksi berbeza terhadap kes homoseksual Anwar dan kes hampir serupa mengaitkan Azmin, maka orang ramai boleh membuat kesimpulan bahawa pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dalam tahun 1998 oleh Dr Mahathir bukanlah disebabkan Anwar seorang peliwat. Mungkin ada sebab lain.

Muhyiddin suka Anwar jadi PM supaya dia boleh jadi TPM, hanya satu andaian

Dalam pada itu, presiden Bersatu dilihat mempunyai pendirian berbeza. Muhyiddin Yassin menyokong Anwar menjadi pengganti Dr Mahathir dengan pemahaman beliau bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri menggantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar.

Perbezaan Muhyiddin-Mahathir berjaya diatasi

Umum dapat menyaksikan sebelum ini sedikit krisis antara Muhyiddin dan pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sendiri. Krisis ini turut membabitkan isu hubungan kurang baik antara Dr Mahathir dan istana Johor. Bagaimanapun, Muhyiddin dengan cepat membuktikan kesetiaannya kepada Dr Mahathir, lalu perbezaan antara menteri dalam negeri dan perdana menteri tidak berpanjangan.

Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu

Untuk rekod, Muhyiddin pernah mengeluarkan kenyataan bersifat amaran kepada Sultan Johor supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri Johor di tengah-tengah hubungan kurang baik Mahathir dan pihak istana, dipercayai satu usaha untuk menggembirakan bosnya.

Dalam satu wawancara sebelum itu, Muhyiddin pernah berkata Anwar Ibrahim mempunyai kelayakan dan kewibawaan sebagai perdana menteri Malaysia ke-8.

Kesihatan Muhyiddin tidak begitu membimbangkan

Keadaan kesihatan ahli parlimen Pagoh dan ADUN Gambir itu dijangka tidak begitu menjejaskan kerjaya politiknya  untuk beberapa tahun akan datang memandangkan Muhyiddin sentiasa mendapat rawatan mengikut jadual.

Memang benar, Anwar Ibrahim melalui banyak rintangan dalam memenuhi impian untuk menjadi perdana menteri selepas pilihanraya umum ke-14.

Bebas dari penjara tidak bermakna jalan mudah untuk Anwar

Pembebasannya dari penjara setelah mendapat pengampunan penuh dari Lembaga Pengampunan yang diketuai Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tidak menjamin Anwar melalui jalan selesa.

Andaian, pemerhatian, pandangan dan ramalan hasil dari pelbagai perkembangan politik di Malaysia yang diadun tindak-tanduk pencatur-pencatur kuasa kini seolah-olah menjadi teka-teki yang menunggu masa untuk tiba di kemuncaknya.

Pelbagai gelagat undang spekulasi

Gelagat berbagai-bagai dari serata sudut nampaknya bukan berfungsi untuk menyelesaikan kemelut, sebaliknya ia lebih bersifat sebagai sebahagian dari masalah yang kronik dan menambah kecenderungan untuk pemerhati, politikus dan penganalisis mencipta lebih banyak spekulasi.

Mungkin ramai yang masih ingat, sebelum PRU14, ketika Pakatan Harapan (PH)  yang dianggotai empat parti komponen - PKR, DAP, Amanah dan PPBM, serta rakan sekutu di Sabah dan Sarawak - mengumumkan barisan kepimpinan, sekiranya menang dalam PRU14 pada Rabu 9 Mei 2018, Dr Mahathir Mohamad, pengerusi PPBM yang juga pengerusi PH, akan menjadi perdana menteri.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika itu presiden PKR, akan menjadi timbalan perdana menteri. Lim Kit Siang dari DAP tidak diumumkan apa-apa jawatan, malah membuktikan beliau bukanlah seorang individu yang mabuk pangkat atau kuasa apabila PH sudah benar-benar menang, beliau tidak pun dilantik menjadi menteri. Difahamkan, beliau menolak tawaran walaupun mempunyai kelayakan sebagai ahli parlimen Iskandar Puteri, sebelumnya dikenali sebagai Gelang Patah.

PAS dan UMNO bercengkerama?

Ketika itu PH bergantung kepada peratusan tertentu undi Melayu. Kelibat Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Mohd Sabu, Dr Wan Azizah, Azmin Ali dan lain-lain telah berjaya menyelubungi bayangan wajah-wajah Najib Razak, Zahid Hamidi, Salleh Said Keruak, Pandikar Amin Mulia, Hishamuddin Hussein dan ramai lagi di sebelah Barisan Nasional (BN) yang turut disyakki bercengkerama dengan PAS melalui konsep pecah undi.

Parti PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang telah memeranjatkan ramai penganalisis politik apabila berjaya merangkul 18 kerusi parlimen. Termasuklah Rafizi Ramli dari Invoke yang meramalkan peluang PH dan BN adalah sama 50-50 dan PAS tidak akan memenangi sebarang kerusi parlimen.

Zuraida tak suka Mahathir dicalon sebagai PM, dia suka pemimpin muda macam Azmin

Suatu yang tidak kurang menarik sebelum PRU14, apabila PH mengumumkan Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri jika PH menang, tiba-tiba tokoh wanita PKR Zutaida Kamaruddin membuat kenyataan tidak bersetuju, malah mencadangkan Azmin Ali sebagai calon yang lebih sesuai dilantik sebagai perdana menteri.

Alasan Zuraida trend dunia menunjukkan ramai pemimpin negara yang baru terdiri dari orang muda, sambil merujuk kepada negara Germany dan Kanada. Zuraida mungkin lupa trend semata-mata tidsk memadai. Apatah lagi pemimpin-pemimpin muda yang dirujuk belum membuktikan apa-apa yang mereka adalah para pemimpin yang lebih baik.

Percaturan politik berlebihan musnahkan perjuangan murni PH

Sebahagian dari pemimpin UMNO pula menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir untuk terus memimpin sebagai perdana menteri sehingga PRU15. Begitu juga pendirian PAS yang menyokong Dr Mahathir terus menjadi PM sehingga berakhir mandat dari PRU14.

Mengapa PAS sokong Mahathir

Pendirian menyokong Dr Mahathir ini menimbulkan beberapa persepsi. Pertama, mereka menolak kepimpinan Anwar Ibrahim. Kedua, ini berlaku kerana Dr Mahathir telah sama-sama masuk gelanggang pro perkauman Melayu, termasuk isu Zakir Naik dan kontroversi khat dan jawi.

Ketiga, sokongan PAS kepada Dr Mahathir adalah sebagai balasan kepada tiada tindakan lanjut dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tuduhan yang masih belum dapat dibuktikan bahawa PAS menerima banyak wang dari UMNO sebelum PRU14.

Dr Mahathir memerlukan sokongan 18 ahli parlimen dari PAS dan sejumlah tertentu ahli parlimen UMNO untuk tujuan standby sekiranya sebahagian ahli parlimen PH memilih untuk tidak lagi menyokong perdana menteri ke-7 itu.

Khususnya, penyokong Anwar Ibrahim dari DAP dan PKR, yang semakin hilang sabar dengan gelagat Dr Mahathir yang akhir-akhir ini menunjukkan pendirian tidak selari dengan perjuangan sebenar PH yang ingin melihat ketelusan pelaksanaan pentadbiran dan undang-undang.

Mahathir dan Anwar saling menyumbang

Mungkin, tanpa Mahathir, PH tidak akan menguasai Putrajaya di PRU14. Perlu diingat juga, tanpa semangat sokongan kepada Anwar (walaupun ketika itu masih dalam penjara) Mahathir juga tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menerajui PH memenangi PRU14.

Selain faktor tersebut, PH telah berjaya menyakinkan rakyat dengan mengujudkan sentimen kebencian terhadap Najib dengan begitu berkesan sekali. Kini, setelah hampir satu tahun lima bulan, kerajaan PH sudah tidak boleh bergantung kepada sentimen kebencian ini lagi kerana Najib sudahpun dijatuhkan.

Habis madu sepah dibuang

Pepatah Melayu ada berkata, habis madu sepah dibuang. Atas semangat muafakat dalam kepimpinan PH, diharap ianya tidak berlaku kepada Anwar.



oleh Fauzi Kadir  ° Permadu Malaysia
● 2019 Permadu Harmony Bersepadu
Hak Cipta Terpelihara
hubungi kami +60 11 1185 9874
atau permadu@gmail.com
gambar dan sokongan teknikal
Zafiyah Hussain


Lawati kami 
Facebook Permadu Harmony  
Page Permadu Station

Comments

  1. JACKPOT ynag besar hanya di AJOQQ :D
    WA : +855969190856

    ReplyDelete

Post a Comment

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!