CABARAN SUKAR MENANTI SULTAN PAHANG KE-6 DAN AGONG KE-16

Rencana Analisis Bahasa Melayu



Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah
dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar,
Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang
...bakal Yang di-Pertuan Agong ke-16
dan Raja Permaisuri Agong
(dari susunan gambar Zafiyah Hussain)

HAMPIR semua anak Pahang, samada berada di dalam negeri itu mahupun di perantauan menyambut kehadiran seorang putera raja yang berpengalaman luas sebagai Sultan Pahang ke-6.

Pengalaman luas
Putera
Charles
...putera
mahkota
Britain

Setelah hampir 45 tahun menjadi Tengku Mahkota, beberapa kali menjadi pemangku raja, kredibiliti baginda untuk menjadi pemimpin tertinggi bukan eksekutif negeri sukar untuk dipertikaikan. Ditambah lagi, pada usia hampir mencecah 60 tahun (11 tahun lebih muda dari Putera Charles, "The Prince of Wales" dari United Kingdom), kehadiran Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di atas takhta disambut baik rakyat jelata, usia lambang kematangan.

Perasaan bercampur

Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah
...mantan Sultan Pahang

Cuma sambutan dengan perasaan bercampur-campur. Gembira, biasa, duka, syahdu dan hiba. Rasa gembira kerana menyambut raja baru. Rasa duka, syahdu dan hiba pula kerana mengenangkan keadaan kesihatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang difahamkan dalam "kegeringan yang berat dan besar". Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan kesihatan Paduka Ayahanda.

Hati rakyat tersentuh

Hati rakyat tersentuh apabila di hari pemasyhuran Sultan pada Selasa,  15 Januari 2019, Sultan Abdullah ada mengucapkan (yang lebih kurang maksudnya) bahawa ikutlah baginda selagi baginda mentaati perintah Allah, dan jangan ikut baginda sekiranya baginda tidak mentaati perintah Allah.

Bagi mereka yang sukar mengawal perasaan, lafaz titah baginda ini sudah cukup untuk mengalirkan air mata, jika tidak menangis teresak-esak.

Raja disanjung dan dikritik

Memuji dan menyanjung raja melambung-lambung mungkin satu amalan tradisi turun-temurun. Yang membezakannya adalah keikhlasan sesuatu pujian, tujuan pujian diberikan dan apakah kesan yang akan timbul dari pujian tersebut.

Apabila raja dikritik, ada pula pihak yang akan menentang dan mempertikai. Selalunya, alasan menentang dan mempertikai yang diberikan adalah tidak menghormati raja, lebih buruk lagi, menghina raja. Untuk mengipas suasana panas, maka muncullah sekumpulan orang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan berdemonstrasi dengan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak menghormati atau menghina raja.

Siapa sebenarnya mempertahankan Raja-Raja Melayu

Timbul juga persoalan. Siapakah sebenarnya yang sayangkan institusi diraja? Siapakah sebenarnya yang akan menyelamatkan institusi diraja? Yang memuji melambung atau yang mengkritik? Yang berkata raja adalah benteng terakhir orang Melayu atau yang berkata orang Melayu adalah benteng terakhir raja? Yang berdemonstrasi atau yang tidak berdemonstrasi? Yang bergelar Datuk atau yang biasa-biasa sahaja?

Illustrasi pertarungan sengit
antara Hang Tuah dan Hang Jebat
....kerana raja?

Sikap taat, taksub dan membuta tuli  kepada raja seperti Hang Tuah boleh menghancur dan memusnahkan institusi diraja. Manakala sikap baran menentang raja seperti Hang Jebat pula juga tidak menguntungkan institusi diraja dan negara. Apatah lagi sikap Laksamana Bentan yang menyebabkan Sultan Mahmud mangkat dijulang. Segala kejadian membawa pengajaran penting untuk semua. Ianya memerlukan sikap majoriti yang berada di titik pertengahan.

Babak Laksamana Bentan menyanggah Sultan kerana membunuh isterinya..
Drama dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Kuala Lumpur pada April 2017

Sistem raja berperlembagaan dan berparlimen adalah yang terbaik untuk negara ini. Jauh lebih baik dari menjadi sebuah republik. Raja tidak mempunyai kuasa eksekutif, hanya kuasa-kuasa tertentu yang penting. Gandingan pengasingan kuasa antara ketua eksekutif dan ketua bukan eksekutif akan memperkukuhkan pentadbiran negara dan negeri. Kedua-dua pihak akan menjadi tidak terlalu berkuasa. Ia dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Sistem pemerintahan beraja wajib dipertahankan

Istana Negara lambang sistem pemerintahan beraja berperlembagaan di Malaysia

Justeru, sistem pemerintahan beraja seperti di Malaysia untuk Malaysia wajib dipertahankan.

Orang-orang di sekeliling raja

Masalah institusi Raja-Raja Melayu bukanlah secara mutlaknya berpunca daripada raja-raja itu sendiri. Samada Melayu, Cina, India atau bangsa-bangsa lain, yang membuatkan raja-raja kurang disenangi sebahagian rakyat adalah orang-orang di sekeliling raja. Merekalah yang telah merosakkan nama baik raja.

Orang-orang yang kononnya amat menyanjungi raja bila dilihat secara zahir, secara tersirat dan batiniahnya pula sebenarnya telah mengkhianati raja dan menjadikan raja kambing hitam

Orang-orang inilah yang akan memusnah dan menghancurkan sistem pemerintahan beraja yang sebenarnya baik untuk Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan orang-orang inilah juga yang menjadikan raja sebagai kambing hitam apabila sesuatu isu yang mengaitkan raja mendapat perhatian. Ini adalah onar dan angkara yang tidak boleh dimaafkan oleh generasi Malaysia akan datang.

Yang sedang perlahan-lahan tanpa disedari menjahanamkan sistem pemerintahan beraja bukan Dr Mahathir Mohamad yang pernah terlibat meminda perlembagaan mengurangkan kuasa raja, bukan mereka yang mengkritik raja, bukan majoriti orang Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain di negara ini yang kurang senang dengan hal-hal tertentu yang mana raja terkait. Yang sedang memusnahkan sistem pemerintahan beraja dan rasa benci terhadap raja adalah orang-orang di sekeliling raja yang bermaharajalela mempergunakan raja demi kepentingan peribadi dengan agenda masing-masing.

Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang
dari 25 Mei 1999 hingga 15 Mei 2018
...menteri besar yang gagal?

Siapakah orang-orang di sekeliling raja yang dimaksudkan?

Merujuk kepada negeri Pahang, ada empat golongan orang-orang di sekeliling raja yang merupakan pengkhianat dan perosak sistematik dan sistemik. Mereka melakukannya secara sengaja atau tidak sengaja. Secara sedar atau tidak sedar. Walau apa pun ianya, mereka adalah pelaksana yang menghancurkan.

Mohd Khalil Yaakob,
Menteri Besar Pahang 1986 - 1999
...kerjaya politik peribadi gemilang, tetapi tidak begitu berjaya membangunkan Pahang sebaiknya.

Dalam kategori tertentu, ada banyak pelakon yang memegang watak Hang Tuah di zaman kesultanan moden. Akur, menjunjung, akur, menjunjung titah sultan walaupun tidak mengikut peraturan. Padahal, yang sebenarnya tiada bukti yang jelas sultan atau Tuanku yang sahihnya mengeluarkan titah. Yang "bertitah" sebenarnya adalah orang lain di belakang raja yang telah berjaya mempergunakan raja atas kepentingan peribadi dan perniagaan mereka sendiri. Orang-orang ini terus lepas bebas dan akhirnya nama baik raja tercemar menjadi mangsa perbuatan mereka.

Kategori tertentu juga menyaksikan ramai pemegang watak yang ingin menaik taraf prestij kedudukan mengejar gelaran Datuk, Datuk Seri dan sebagainya.

Apabila pihak yang memegang kuasa eksekutif terlalu akur menjunjung "titah" secara membuta tuli sehingga mengabaikan tanggungjawab eksekutif yang diamanahkan (dengan bahasa kurang sopan mengampu dan membodek secara berlebihan), pihak berkuasa bukan eksekutif menjadi lebih berkuasa dari sepatutnya. Ini boleh menyebabkan kepentingan negeri dan rakyatnya terancam.

Raja dinafikan hak membersihkan nama

Apabila timbul sesuatu isu yang berbau penyelewengan dan raja dikaitkan, tidak ada maklumat yang telus dan terbuka kepada orang ramai untuk memperolehinya dengan jelas dan adil. Tidak dapat dipastikan samada "kerahsiaan" ini atas keperluan undang-undang yang berpaksikan OSA (Akta Rahsia Rasmi) atau sekadar keperluan kerahsiaan pentadbiran yang menjadi amalan biasa. Tidak dapat dipastikan juga ini diamalkan atas dasar kepentingan negeri, rakyat atau individu-individu tertentu.

Apabila rakyat tidak mendapat akses maklumat yang tepat, jelas dan benar, maka akan timbullah pelbagai andaian, tanggapan, pandangan, ramalan dan sebagainya, apabila digabungkan menjelmalah berbagai bentuk spekulasi.

Jika raja sebenarnya tidak bersalah dan tidak terlibat dalam sesuatu kes penyelewengan yang dikaitkan, maka amat malang sekali bagi seseorang raja itu kerana mendapat "penghakiman" rakyat secara tidak adil melalui media sosial, media kedai kopi dan mungkin media-media "terlarang" yang lain. Selepas itu timbul kesimpulan semuanya hanyalah persepsi kerana tidak disokong bukti-bukti yang kukuh. Perlu diingat, persepsi yang terkumpul akan menjadi banyak dan akhirnya akan kelihatan seperti berita benar. Lebih parah lagi jika sebenarnya memang berita benar.

Dalam hal ini raja telah dinafikan hak membela diri dan membersihkan nama.

Empat kategori orang-orang di sekeliling raja

Orang-orang di sekeliling  raja tidak semestinya secara fizikal berdiri mengelilingi raja. Jadi, siapakah orang-orang di sekeliling raja yang dimaksudkan?

Kerajaan negeri, agensi, syarikat milik kerajaan negeri

Pertama, golongan dalam kerajaan negeri dari menteri besar hingga ke peringkat menengah. Ini termasuk ketua-ketua jabatan, pengurusan tertinggi dalam agensi-agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri. Di samping menjadi pak turut, mereka tidak meletakkan kepentingan negara, negeri dan rakyat sebagai asas perjuangan dan profesion yang diamanahkan.

Ahli politik

Kedua, ahli-ahli politik, samada dari parti pemerintah mahupun pembangkang. Samada wakil rakyat peringkat parlimen atau negeri, juga tidak terkecuali yang bukan wakil rakyat tetapi memegang jawatan penting dalam parti-parti politik.

Ahli perniagaan

Ketiga, golongan ahli-ahlì perniagaan yang mempunyai modal kewangan besar yang menggunakan pengaruh raja untuk tujuan jalan pintas mengaut kekayaan berganda secara mengikut undang-undang atau sebaliknya.

Individu perantara, broker, proksi

Dan yang keempat, individu-individu tertentu termasuk proksi orang politik, orang-orang tengah yang melihat kesempatan di depan mata, perantara antara istana dan peniaga saudagar, perantara yang lebih rumit antara istana, pemimpin kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dengannya dan golongan peniaga.

Raja adalah manusia biasa menurut Islam

Di sisi agama, raja adalah manusia biasa seperti orang lain juga. Raja bukan malaikat. Raja bukan dewa yang turun dari kayangan. Raja juga bukan sentiasa betul dalam setiap apa yang dilakukannya. Bezanya, telah ditakdirkan seseorang raja dipilih untuk menggalas tanggungjawab yang besar mentadbir kesucian agama Islam dan adat istiadat Melayu, serta menjadi ketua negeri.

Abdul Rahman Osman,
Mufti Pahang sejak 2007
...kafir harbi halal darahnya?

Sebab itu prestasi raja sangat bergantung kepada penasihat-penasihatnya. Hal agama ada mufti, hal pentadbiran negeri ada menteri besar. Sewajarnyalah kedua penasihat ini memainkan peranan yang holistik ke arah menjadikan Pahang sebuah negeri yang mendapat keredaan dan kejayaan. Mufti seharusnya tidak memihak dalam perihal politik. Jika mufti lebih condong kepada sesebuah parti politik dari kepentingan agama, maka pincanglah kesucian agama. Menteri Besar juga seharusnya meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai keutamaan. Jika kepentingan politik mengatasinya, punahlah harapan. Seandainya kedua-duanya gagal, ini akan menjurus kepada kegagalan keseluruhan struktur. Akhirnya, nama baik raja yang tidak berdosa juga akan tercemar.  Rakyatlah yang menjadi mangsa. Mungkin ianya sudah pun berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku.

Wan Rosdy Wan Ismail,
Menteri Besar Pahang sejak 15 Mei 2018

Mari kita menoleh ke belakang. Ianya mungkin pahit untuk ditelan. Namun percayalah, kepahitan yang boleh menjadi penawar adalah lebih baik dari kemanisan yang memudaratkan.

Beberapa isu tertentu telah menghantui Pahang dan mencalarkan nama baik negeri terluas di Semenanjung ini dengan teruk, seterusnya mengaitkan raja Pahang sebagai kambing hitam.

Pembangunan sukan bolasepak negara

Selama lebih 20 tahun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diterajui raja Pahang dan puteranya. Di ketika itulah prestasi bolasepak negara merudum dan terus merudum, malah di segi kedudukan di peringkat dunia, Malaysia sentiasa berada di kalangan yang tercorot.

Sebelum itu pasukan Malaysia setanding dan pernah lebih kuat dari pasukan Korea Selatan. Malaysia menjadi antara pasukan yang disegani dan digeruni di Asia.

Allahyarham
Mokhtar Dahari,
...salah seorang
pemain bolasepak
Malaysia
tidak berganti

Patah tumbuh, hilang belum tentu berganti. Nama-nama pemain hebat seperti Syed Ahmad, Ghani Minhat, Wong Kam Fook, Chow Chee Keong, Shaharuddin Abdullah, R Arumugam, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, M Chandran, James Wong, Hassan Sani dan ramai lagi terus tidak berganti sampai sekarang.

Allahyarham
Hamzah
Abu
Samah

Peminat sukan bolasepak mungkin terlupa ada seorang tokoh pemimpin sukan dari Pahang yang berwibawa iaitu Allahyarham Hamzah Abu Samah. Ketika beliau menerajui FAM, Malaysia merupakan antara pasukan terkuat di Asia dan pasukan bolasepak Malaysia dua kali layak ke peringkat akhir sukan Olimpik dunia, di German dan Soviet Union (Russia).

Tidak ada bukti kukuh mengaitkan kegagalan bolasepak negara semata-mata kerana kepimpinan Sultan Pahang dan puteranya. Malangnya, raja Pahang telah dikambing hitamkan atas kegagalan pembangunan bolasepak negara.

Pengeluar darjah kebesaran terbanyak

Pahang juga dicemari dengan imej sebagai penganugerah darjah kebesaran paling banyak. Sebuah media asing tanpa segan silu pernah menyifatkan Pahang sebagai a factory manufacturing titles (sebuah kilang yang mengeluarkan darjah kebesaran).

Ada yang menyindir bila anda baling batu, banyak batu yang akan jatuh ke atas kepala orang-orang bergelar Datuk di Pahang. Apabila batu melantun, terjatuh dan terkena pula di kepala Datuk yang lain. Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada di kalangan Datuk dan Datuk Seri terdiri dari orang yang "bukan-bukan" seperti terlibat dalam aktiviti kongsi gelap dan pelbagai jenayah. Golongan karyawan seni dan artis yang kurang menyerlah bakat mereka juga ramai menerima darjah kebesaran dari Pahang. Lebih nakal lagi, ada yang berani membuat "tuduhan liar" darjah kebesaran Pahang "boleh dibeli".

Memandangkan tiada bukti kukuh untuk menyokong tanggapan dan tuduhan, maka lebih selamat untuk melihat ianya hanya sekadar persepsi. Lagipun, semua pihak seharusnya menghormati piawaian yang ditetapkan pejabat istana Pahang dalam menentukan kelayakan penerima anugerah darjah kebesaran. Setiap negeri ada kaedah dan piawaian mereka sendiri.

Cuma, secara perlahan-lahan, gelaran-gelaran dari darjah kebesaran menjadi semakin rendah nilainya. Malah, satu demi satu media sudah mula tidak menyebut lagi gelaran sebelum nama seseorang individu yang bergelar.


Kegiatan penyeludupan pasir

Diberitakan, pihak berkuasa berkenaan pernah memantau dan menangkap pihak penyeludup pasir di Pahang di kawasan laut. Akhirnya, pihak penyeludup "terpaksa dilepaskan" kerana mereka "dari syarikat milik raja". Lihat betapa liciknya penjenayah ini menggunakan nama raja untuk kepentingan perniagaan sendiri. Sehingga kini tiada maklumat yang kukuh untuk membuktikan raja terlibat. Walau apa pun, sekali lagi nama baik raja telah dirosakkan.

Pembalakan haram di Pahang

Aktiviti pembalakan di Pahang sangat cergas di tahun-tahun 1960an, 1970an, 1980an dan seterusnya. Pernah di suatu ketika seorang ahli perniagaan berbangsa Cina bebas keluar masuk istana tanpa protokol pada bila-bila masa yang beliau sukai. Oleh kerana beliau kelihatan seperti seorang kerabat diraja, individu ini mendapat nama jolokan "Tengku Wong".

Ianya kelihatan seperti raja terlibat dalam aktiviti pembalakan. Namun, kerana kekangan kerahsiaan pentadbiran kerajaan negeri, tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan raja terlibat dalam aktiviti ini. Sekali lagi nama baik raja dirosakkan.

Isu bauksit

Isu perlombongan bauksit di Pahang yang mengaut keuntungan lumayan juga mengaitkan raja sebagai pelindung kepada aktiviti ini. Ia menjadi isu besar kerana dikatakan boleh menimbulkan bahaya serius kepada kesihatan orang awam dan pencemaran alam sekitar.

Tanah runtuh di Cameron Highlands

Tanah runtuh di Cameron Highlands setelah hujan lebat dipercayai disebabkan kegiatan pertanian sayur-sayuran serta beberapa kegiatan terlarang di daerah itu yang menyebabkan hakisan tanah. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan raja sebagai pelindung kepada berbagai projek di sini.

Aktiviti perjudian berlesen di Genting Highlands

Pusat Perangìnan Genting Highlands
...perniagaan perjudian berlesen di kasino
yang rancak

Umum sepatutnya faham lesen perjudian di kasino di Genting Highlands yang terletak di dalam negeri Pahang dikeluarkan oleh kementerian kewangan, kerajaan persekutuan Malaysia, bukan kerajaan negeri. Namun, sudah tentu Pahang juga mendapat faedah dari perniagaan ini. Ada percubaan untuk mengaitkan raja Pahang sebagai pemberi restu kepada perniagaan perjudian yang hukumnya masih haram dari sudut agama Islam. Mungkin mufti Pahang dapat memberi justifikasi yang lebih tepat terhadap perkara ini.

Tengku Mahkota dihebohkan menerima komisen RM1.3 billion

Ini satu lagi berita gempar tetapi sudah dinafikan oleh baginda. Pada 13 Jun 2018, Tengku Mahkota Pahang (sekarang Sultan) menafikan menerima komisen sebanyak RM1.3 bilion dari sebuah syarikat dari negeri China, China Rainbow International Investment Co Ltd (CRIIC). Ianya menjadi heboh di media sosial dan dikatakan melabur di negeri Pahang.

Tembok Besar China di Kuantan

Projek ini menimbul keresahan rakyat. Desas desus menyatakan ia satu penempatan rakyat China. Semua orang awam dilarang masuk dan mereka bagaikan mempunyai kuasa autonomi di dalam kawasan tersebut.

Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) ini dilancar secara rasmi pada 5 Februari 2013. Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China milik kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi memegang 49 peratus pemilikan manakala 51 peratus lagi dimiliki sebuah konsortium Malaysia-Kuantan, Pahang Holding Sdn Bhd.

Tembok Besar China di Kuantan

Konsortium ini melibatkan kerjasama kerajaan dan swasta - IJM Land Berhad 40 peratus, Sime Darby Property Berhad 30 peratus, manakala 30 peratus lagi dipegang 2 syarikat milik kerajaan negeri Pahang iaitu Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.

710 ekar tapak fasa pertama telah terjual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, syarikat milik dua entiti dari China, Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi Shenglong Metallurgical Co Ltd.

Maklumat kurang jelas dorong pelbagai spekulasi

Itulah antara isu yang timbul yang mengaitkan penglibatan raja. Memandangkan tiada ketelusan terbuka atas kebanyakan urus niaga, ianya telah menyebabkan pelbagai spekulasi di kalangan orang ramai. Persoalan masih belum terjawab. Adakah raja benar-benar terlibat? Adakah raja tidak terlibat sama sekali? Atau adakah orang-orang di sekeliling raja berselindung di sebalik raja bagi mengelak pendakwaan kerana raja adalah antara individu yang paling berkuasa? Dengan kata lain, mereka mempergunakan dan merosakkan nama baik raja untuk kepentingan dan agenda masing-masing.

Tiada siapa terkecuali dari undang-undang

Dr Mahathir
Mohamad,
perdana
menteri

Dalam satu perkembangan berasingan, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di blognya, pada 2 Januari 2019 menyatakan tiada sesiapa yang kebal atau terkecuali dari undang-undang termasuk Raja-Raja Melayu, perdana menteri, menteri dan semua orang yang berada di Malaysia.

Perlantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16


Ketika rencana ini sedang disusun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad pada 24 Januari 2019 mengumumkan pemilihan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuatkuasa 31 Januari 2019 menggantikan Sultan Muhammad V yang turun takhta.

Sultan Abdullah mencipta rekodnya sendiri apabila bakal menjadi Agong selepas hanya 16 hari (dari tarikh pemasyhuran) menaiki takhta menjadi Sultan Pahang. Sultan Abdullah bakal berada di atas dua takhta dalam satu masa.

Najib Razak
dan Rosmah
Mansor

Pihak-pihak tertentu juga mengambil kesempatan dengan menyebar spekulasi kononnya Sultan Abdullah tergesa-gesa menaiki takhta kesultanan  moden Pahang untuk membolehkan baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong. Seterusnya, baginda akan memberi pengampunan kepada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak yang sedang berhadapan berbagai tuduhan jenayah berkaitan rasuah dan salah guna kuasa; setelah hukuman dijatuhkan. Memang diketahui umum hubungan Najib dan isteri sangat baik dengan istana Pahang.

Sultan
Muhammad
V

Mengenai perlantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong menggantikan Sultan Muhammad V dari Kelantan, ianya juga mengikut tradisi pusingan di mana secara kebetulan memang giliran Sultan Pahang untuk menjadi Agong selepas Sultan Kelantan. Lagipun, perlantikan Yang di-Pertuan Agong ditentukan oleh sembilan orang raja dari 9 negeri di Malaysia sahaja. Tiada pihak lain yang boleh menentukannya, termasuk perdana menteri.

Soal tergesa-gesa naik takhta tidak sesuai untuk dipersoalkan kerana itu adalah hal ehwal dalaman para kerabat diraja Pahang sendiri yang kurang wajar untuk dicampuri. Apatah lagi peralihan kuasa raja dari Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Abdullah telah dilakukan dengan begitu tertib sekali.

Mengenai soal pengampunan Najib pula, Agong tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberi keampunan atau sebaliknya. Biasanya, Agong akan membuat keputusan berdasarkan nasihat dari ahli-ahli Lembaga Pengampunan.

Siapa bakal pemangku raja Pahang?

Dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah dijangka melantik pemangku raja Pahang. Mungkin Tengku Mahkota yang bakal dilantik dan mungkin juga adindanya Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sesiapa sahaja yang dilantik, Sultan Abdullah dijangka memantau terus pentadbiran kesultanan Pahang dari dekat memandangkan kedudukan baginda sebagai sultan negeri yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan.

Harapan tinggi rakyat kepada Sultan Abdullah

Dengan menjadi Sultan Pahang dan juga Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah dijangka tidak mempunyai banyak masa lapang untuk kehidupan peribadinya. Baginda juga diyakini sudah bersiap sedia menghadapi cabaran-cabaran sukar yang sedang menanti di hadapan. Kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, rakyat menaruh harapan yang tinggi.






Oleh Fauzi Kadir
Permadu Malaysia/Permadu Harmony
Semua Hak Cipta Terpelihara
2019 Hak Cipta Fauzi Kadir

Hubungi Kami
+60 11 1185 9874
permadu@gmail.com

Semua gambar susunan
Zafiyah Hussain


Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!