SEBUAH DAERAH BERNAMA TEMERLOH (Bahagian 1)

Temerloh, indah dan tenteram
(kompilasi foto Zafiyah Hussain)

(Versi Bahasa Malaysia)

TEMERLOH adalah satu daerah yang terletak di dalam negeri Pahang, sebuah negeri di Semenanjung Malaysia. Setakat ini belum ada cerita yang menyakinkan bagaimana tempat ini mendapat nama tersebut.

Ada andaian mengatakan di zaman dahulukala orang-orang Minangkabau mengembara membuka kawasan untuk menetap di tempat itu. Apabila tiba, mereka dapati orang-orang asli sedang lena tidur di siang hari. Istilah "mereloh" yang membawa erti tidur mengilhamkan mereka menamakan tempat itu sebagai Temerloh.

Daerah ini menjadi lokasi strategik kerana kedudukannya di tengah antara Kuala Lumpur (ibu negara Malaysia) dan Kuantan, ibu negeri Pahang. Jarak dari Kuala Lumpur ke Temerloh adalah 130 kilometer melalui Lebuhraya Karak bersambunģ dengan Lebuhraya Pantai Timur.

...sebahagian dari bandar Temerloh

Pemanduan berhemah jalan darat dari Kuala Lumpur mengambil masa dua jam, dari Kuantan pula hanya satu jam 45 minit. Bagi pemandu kereta yang "berjiwa F1" dan tiada masalah untuk membayar saman berkaitan had laju, mereka boleh sampai Temerloh lebih cepat dari tempoh masa yang dinyatakan.

Daerah Temerloh mula wujud dalam tahun 1889 di bawah pentadbiran Inggeris dengan residen (seperti menteri besar sekarang) Pahang pertama iaitu J. P. Rodger. Ini bermakna Temerloh sudah berusia 129 tahun.

Pada masa ini, Temerloh biasanya dirujuk kepada wilayah di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Temerloh yang turut merangkumi Mentakab, Lanchang, Kuala Krau dan Kerdau.

HOSHAS, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh

Temerloh berkeluasan 2,251 kilometer persegi dan mempunyai penduduk seramai 158,724 orang setakat bancian terakhir dalam tahun 2010. Sudah tentulah penduduk Temerloh bertambah ramai sekarang.

Menyelerakan.... ikan patin masak tempoyak

Sejak lebih 30 tahun, Temerloh dikenali ramai sebagai Bandar Ikan Patin.  Ikan patin adalah sejenis ikan air tawar dan bukan ikan laut. Dalam konteks Temerloh, ikan patin dikaitkan dengan air sungai, sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia iaitu Sungai Pahang. Oleh itu, ikan patin di Temerloh lebih sesuai dikenali sebagai ikan sungai.

Wow... ikan patin asam tempoyak

Bagi penggemar ikan sungai, Sungai Pahanglah menjadikan ikan patin lebih lemak dan sedap rasanya. Ikan-ikan patin liar yang merayaui serata pelusuk air sungai yang penuh keindahan dan kesemulajadian. Teringat pula tulisan penyair veteran Temerloh, Ami Masra yang pernah menulis dalam salah sebuah sajaknya, "...sungai Pahang mengalir coklat".

Selain Sungai Pahang, satu lagi sungai yang penting di Temerloh ialah Sungai Semantan. Sebab itulah di zaman penjajahan British, Temerloh juga dikenali sebagai Kuala Semantan.

Antara banyak kedai yang menghidangkan masakan ikan patin di Temerloh

Menurut cerita,  diberi nama Sungai Semantan ketika itu kerana kehadiran seorang jejaka dari Brunei yang bernama Seman Tahan. Jejaka perantau ini sangat handal dalam ilmu persilatan, lalu ramailah para pemuda dari serata pelosok nusantara yang datang ke Temerloh untuk berguru dengannya. Akhirnya, Seman Tahan diringkasķan menjadi Semantan.

Sebagai daerah yang terletak di dua kuala sungai, iaitu Sungai Pahang dan Sungai Semantan, terdapat banyak jenis ikan-ikan sungai yang segar lagi sedap. Antaranya, ikan patin (dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai silver catfish), jelawat, baung, tenggalan, lampam, belida, tilapia, kerai, jora dan kaloi. Namun, hanya patin yang menempa nama sebagai pembawa imej Temerloh.

Bagi para penduduk setempat yang berpengalaman dalam perihal ikan sungai, mereka berpendapat ikan-ikan sungai yang sedap terdapat di Sungai Pahang di Temerloh sebenarnya berasal dari Tembeling dan Jerantut. Ini kerana Sungai Pahang di sana (di sebelah hulu) lebih jernih dan kurang dicemari. Berkemungkinan ikan-ikan ini bertebaran mengikut arus air yang menghilir lalu sampai ke Temerloh.

...ikan patin dimasak gulai

Memandangkan ikan patin melalui evolusi berkembang, ianya bertukar menjadi satu bidang komersil. Maka berlakulah konsep ikan patin ternak dalam sangkar di dalam Sungai Pahang berhampiran tebing sungai. Ikan patin dalam kategori ini masih sedap rasanya walaupun tidak sesedap ikan patin liar.

Satu lagi kategori ialah ikan patin ternak di dalam kolam ikan buatan manusia. Patin jenis ini ada di jual di mana-mana termasuk di banyak pasar raya besar di seluruh negara. Harganya juga murah iaitu jarang melebihi RM10 sekilogram.

Harga ikan patin liar adalah yang termahal iaitu antara RM350 ke RM600 per kilogram. Ikan patin dalam sangkar Sungai Pahang pula berharga antara RM30 ke RM80 sekilogram. Harga adalah tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa mengikut permintaan dan penawaran.

Kepala ikan patin tak sama dengan kari kepala ikan

Sebuah restoran di Kuala Lumpur menyediakan satu set menu hidangan ikan patin untuk 4 orang pada harga RM2,500 tidak termasuk caj perkhidmatan.

Walaupun bukan semua ikan patin yang dijual di Temerloh berasal dari Temerloh, mungkin ikan-ikan patin dan keturunannya dari pelbagai spesis itu sendiri merasa lebih selesa untuk dilihat sebagai "anak jati" Temerloh.

Temerloh menumpang tuah nama ikan patin buat kesekian lama.

Rumah Rakit di Sungai Pahang


Satu lagi faktor penting yang menentukan kesedapannya ialah resepi masakan ikan patin itu sendiri. Difahamkan ianya adalah resepi tradisional Pahang turun temurun dari nenek moyang. Masakan yang paling popular ialah Ikan Patin Asam Tempoyak. Keaslian rasa masakan ini hanya ada di Temerloh. Mungkin kerana itu jugalah Temerloh dikenali sebagai Bandar Ikan Patin.

Apabila ikan patin sudah menjadi bahan dagangan, sesuatu di luar dugaan boleh berlaku. Dilaporkan, ikan patin kini terlalu hangat di pasaran Temerloh dan masakannya pula bagaikan "pantang dimasak, semuanya habis, malah tak cukup," kata seorang pemilik restoran. Ini menyebabkan ramai pelanggan yang datang dari jauh merasa kecewa kerana tidak sempat makan ikan patin asam tempoyak.

Sebenarnya, Temerloh sedang menghadapì kekurangan bekalan ikan patin yang sangat serius. Jika tidak ditangani dengan bijaksana, bukan sahaja harga akan naik menggunung, malah Temerloh mungkin kehilangan imej ikan patin di peringkat nasional.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan, difahamkan 70 peratus dari ikan patin yang dihidangkan di Temerloh kini adalah ikan patin dari luar Temerloh, termasuk yang diimport dari luar negara. Apabila ini berlaku, tidak mustahil ia menjejaskan kualiti ikan, apatah lagi jika ikan yang dibawa masuk adalah ikan ternak dari kolam.
Mohd Sharkar Shamsudin,
anak jati Temerloh
Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Lanchang) sejak 1999,
Exco Kerajaan Negeri Pahang (Pelancongan)
.....disayangi orang Temerloh

Walau apapun, pihak-pihak berwajib dijangka sedang melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah tersebut.



(BERSAMBUNG)

BAHAGIAN 2
TEMERLOH BANDAR BERSEJARAH,
LAHIRKAN RAMAI INSAN TERBILANG





Oleh Fauzi Kadir
Permadu Harmony/Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
Hak Cipta Fauzi Kadir 2018

Hubungi Kami
+60 011 1185 9874 Whatsapp
E-mel permadu@gmail.com

Semua gambar dari kompilasi
Zafiyah Hussain




Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

MAHATHIR MAY REJOIN UMNO

OVERCONCENTRATION OF A MALAY POPULATION MAKES SHAH ALAM A GHOST CITY, SAYS ANALYST

OGY MASALAH KEWANGAN, TAKKAN BIG BOSS PN TAK BOLEH TOLONG KOT

WAAH.. PERMAISURI AGONG PANDU LORI TRELER?

Isu Stadium Shah Alam, suami Hannah Yeoh dapat kontrak, parkir, terkini babi — faktor penyumbang PH kalah di PRN akan datang

BERI PELUANG LIM KIT SIANG JADI PERDANA MENTERI SAMPAI 2023

Syukri Razab Presiden Parti Bersama Malaysia

Who are the lion, tiger, fox and wolves in Malaysian politics?

Peranan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop disaran disiasat

It happens everywhere—Not only in our country