PERANAN BARU NAJIB DI ARENA POLITIK MALAYSIA

ANAK sulung perdana menteri Malaysia kedua, Abdul Razak bin Hussein kelihatan lebih bertenaga sejak kerajaan campuran pimpinannya tewas mengejut dalam pilihanraya umum ke 14 pada 9 Mei 2018. Sebelum itu, Mohd Najib bin Abdul Razak adalah perdana menteri yang sering membisu apabila berlaku keadaan-keadaan yang menimbulkan pertikaian dalam negara.

Beliau selalunya membiarkan pemimpin-pemimpin bawahannya termasuk menteri, pegawai, pembantu dan NGO pro-kerajaan untuk menjawab semua soalan kepada umum atau sekurang-kurangnya kepada khalayak tertentu.

Najib juga kelihatan membiarkan beberapa watak istimewa seperti Jamal Yunos dan Ali Tinju untuk bergelagat seperti badut dalam sesuatu masa dan acara yang tidak perlu.

Di awal pemerintahannya sebagai PM, Najib memperkenalkan konsep khas bernama "I Love PM" (saya sayang perdana menteri). Antara orang penting di belakang tabir menjayakan kempen ini ialah Jamaluddin Jarjis atau JJ, ahli parlimen Rompin ketika itu.

Setelah kerap disanggah dan dikritik pengkritik paling garang Dr Mahathir Mohamed, mentor-bertukar-musuh, anak didik ini perlahan-lahan mula melawan balik. Dalam beberapa majlis yang dihadiri ribuan penonton, mendapat liputan semua media arus perdana, Najib mengisytiharkan dirinya sebagai pahlawan Bugis! Bugis adalah satu keturunan yang berasal dari Indonesia. Dengan mengambil beberapa ayat tradisional sakti dan bersemangat bergemalah kata-kata biar bumi berkeping dua, biar jasad ku dikerat berkeping-keping, sauh sudah dilabuh.. dia tidak akan berhenti berjuang demi rakyat. Dia tidak akan lari. Dan dia tidak akan meletak jawatan sebagai PM. Wow!

Tapi sekarang, Najib sudah berubah sama sekali. Mungkin di belakangnya ada beberapa orang membantunya menjalankan tugas-tugas harian secara solo dengan cemerlang. Tidak memeranjatkan, Najib melakukannya dengan baik dengan sokongan ribuan pengikut di Facebook serta sambutan positif dan negatif dari orang ramai termasuk penganalisis dan pemerhati politik tempatan dan antarabangsa.

Pada hakikatnya, majlis istimewa pada Sabtu 3 November, 2018, Sembang Santai, juga dikenali sebagai "Sepetang Bersama Najib" di Restoran Riverside, PWTC Kuala Lumpur berjaya menarik lebih seribu hadirin. Kesesakan lalu lintas begitu ketara di kawasan sekitar ibu kota.

Ini membuktikan Najib adalah lebih dari seorang pemimpin biasa. Beliau berpengalaman sebagai perdana menteri dan presiden Umno selama hampir satu dekad. Mengetuai Barisan Nasional (BN) di atas parti-parti komponen lain seperti MCA, MIC dan parti-parti di Sabah dan Sarawak, memerintah negara selama lebih 61 tahun sejak merdeka dari British.

Agak mengecewakan bila barisan kepimpinan baru Umno dilihat menjarakkan diri mereka dari bekas presidennya atas sebab-sebab yang ketara. Tanpa menyedari kebenaran dari sudut berbeza, mereka hanya melihat Najib sebagai bebanan.

Umno sendiri dalam kesukaran. Parti bernilai ratusan billion itu sedang menghadapi masalah kesahan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Jika tidak ditangani dan diselesaikan dengan baik, parti ini berisiko dinyah daftar.

Presiden Umno sekarang, Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadapi dakwaan dari pejabat peguam negara melalui timbalan pendakwa raya berkaitan 45 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa. Ianya telah didengar di mahkamah sesyen. Bekas timbalan perdana menteri itu mengaku tidak bersalah. Beliau meminta dibicarakan. Sudah tentu ianya memakan masa yang panjang sebelum Zahid dapat dipenjarakan jika didapati bersalah. Dari mahkamah tinggi ke mahkamah rayuan dan akhirnya ke mahkamah persekutuan. Ini tidak termasuk pengampunan diraja.

Kepimpinan lemah presiden Umno ini, seperti dinilai penganalisis dan pemerhati telah gagal memberi petunjuk jelas yang menyakinkan terhadap masa depan parti. Berdasarkan kenyataan-kenyataan sebelum ini, bekas menteri dalam negeri ini lebih berminat untuk menyertai parti pemerintah sekarang melalui pintu belakang dengan pelbagai taktik berhelah. Dari sepatutnya memainkan peranan penting sebagai pembangkang, sebaliknya beliau bekerja keras secara rahsia berunding dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam kerajaan semasa. Mungkin, tanpa kuasa, suatu penyiksaan berdepan realiti.

Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) yang baru dipilih terdiri dari 4 parti politik. PPBM pimpinan pengerusi Dr Mahathir Mohamed, 93 (perdana menteri keempat dan ketujuh), presidennya Muhyiddin Yassin menjadi menteri dalam negeri. PKR pimpinan Anwar Ibrahim (dijangka perdana menteri menanti ke 8), DAP pimpinan setiausaha agung Lim Guan Eng, kini menteri kewangan; dan Amanah pimpinan presiden Mohamad Sabu selaku menteri pertahanan. Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas presiden PKR menjadi timbalan perdana menteri merangkap menteri wanita dan keluarga.

Sekumpulan tertentu dalam Umno termasuk timbalan presiden Mohamed Hassan mencadangkan Zahid bercuti sementara sehingga kes mahkamah selesai. Ianya disokong secara terbuka pergerakan pemuda Umno pimpinan Asyraf Wajdi Dusuki. Bagaimanapun, majlis tertinggi Umno (badan tertinggi pembuat keputusan) memutuskan sebaliknya.

Seperti pandangan penganalisis dan pemerhati, ada dua sebab utama kejayaan PH dalam pilihanraya umum ke 14. Pertama, skandal 1MDB ilhaman Najib.

Kedua, faktor kebijaksanaan Dr Mahathir Mohamad, bekas PM (1981-2003) mengetuai barisan pembangkang  dengan sokongan tokoh-tokoh seperti Anwar Ibrahim (dari dalam penjara atas kes liwat), Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Tetesa Kok, Liew Chin Tong, Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Muhyiddin Yassin, A Kadir Jasin, Hishamuddin Rais, Waytha Moorthy, Maria Chin Abdullah, Ambiga Srineevesan dan ramai lagi. Mengenepikan segala perbezaan, tumpuan diberikan kepada satu penekanan - menumbangkan Najib. Dan mereka berjaya.

1MDB terlibat dengan pinjaman berbillion ringgit dari dana awam seperti KWSP, KWAP, kementerian kewangan dan lain-lain.

Biarpun terdapat berbagai andaian bersifat ramalan, cadangan-cadangan dan sokongan bukti-bukti kukuh, perjalanan aliran wang tunai, penglibatan Goldman Sachs, peranan Jho Low dalam 1MDB, belum ada sebarang keputusan di mana-mana mahkamah, tempatan atau luar negara mengesahkan keberadaan aliran wang tunai terbabit sehingga kini. Jika ada beberapa keputusan mahkamah di Singapura yang menghukum pekerja beberapa bank berkaitan 1MDB, masih belum ada satu kepastian yang jelas. Ianya bukan kerja mudah.

Malah DOJ dan CIA di Ametika Syarikat masih belum selesai menyiasat dan mendakwa. Negara-negara lain yang turut menyiasat isu pengubahan wang haram berkaitan 1MDB adalah Switzerland, Singapura, Luxemborg dan sudah tentu Malaysia. Di Malaysia sendiri perbicaraan belum bermula.

Meskipun Najib sudah tidak lagi berkuasa, kepimpinan baru Umno mungkin terlupa Najib masih merupakan ahli Umno yang sah, seorang penggubal undang-undang, ahli parlimen Pekan, bandar diraja Pahang. Beliau juga ketua Umno bahagian Pekan. Terpenting, Najib adalah seorang bekas perdana menteri dan menteri kewangan yang masih berpengaruh dengan pengalaman memimpin lebih 40 tahun dalam Umno. Mereka terperangkap di tengah-tengah.

Bukan sekadar Umno, tetapi negara secara keseluruhannya wajar mengambil kesempatan dari kepakaran Najib dengan niat baik. Mengapa tidak selagi ianya untuk kebaikan rakyat.

Agak menyedihkan, barisan pimpinan baru Umno sekarang seolah-olah cuba cuci tangan dengan cuba menyakinkan orang ramai bahawa mereka tiada kena mengena dengan skandal 1MDB, rasuah atau sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa. Semuanya adalah perbuatan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Mereka mahu rakyat percaya bahawa Umno dengan kesegaran baru berjuang untuk Islam, Melayu dan Malaysia. Dalam masa sama mereka terus menari mengikut rentak kecetekan fahaman Islam dan bermain dengan api perkauman.

Ada juga masa Umno merasa sukar menyakinkan rakyat kerana rakyat sedar kepimpinan Umno sekarang adalah orang-orang yang sama di bawah pentadbiran Najib yang terdahulu. Tidak seperti Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir yang meninggalkan Umno (setelah dibuang dari jawatan-jawatan kerajaan, dipecat atau digantung dari parti), yang lain semuanya terus menyokong Najib sambil memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan. Bagaimana rakyat mahu percaya bahawa mereka adalah para pejuang jujur untuk kepentingan agama, bangsa dan negara? Tidak perlu mempunyai kelayakan PhD  untuk memahami bahawa mereka juga turut bersalah.

Sebagai contoh, bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Beliau kelihatan sentiasa membisu sebelum pilihanraya umum ke 14, juga ketara sebagai penyokong tegar Najib. Selepas BN ditendang keluar oleh pengundi, bekas menteri belia dan sukan ini dengan tiba-tiba meletakkan kesalahan kepada Najib secara mutlak. Seolah-olah beliau sendiri bukan juga faktor penyumbang.

Ada pemimpin-pemimpin PH berkata di kalangan pemimpin Umno, hanya kenyataan-kenyataan Khairy yang boleh diterima dan masuk akal. Yang lain semuanya bercakap mengikut sentimen agama dan perkauman. Ini untuk melangsungkan survival politik masing-masing dengan mengharapkan perhatian. Mungkin benar. Tidakkah Khairy terlambat selepas kerosakan sudah berlaku?

Ternyata menantu perdana menteri Malaysia kelima, Abdullah Ahmad Badawi ini telah memusnahkan reputasinya sendiri sebagai pemimpin muda Melayu berpotensi lagi berwibawa.

Jika Khairy mengikut jejak Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir semasa beliau masih memegang jawatan ketua pemuda dan menteri, sudah tentu Khairy kini sudah menjadi seorang wira yang tidak boleh dipertikaikan. Namun, lewat adalah lebih baik dari tidak melakukannya sama sekali. Semoga berjaya, ahli parlimen Rembau.

Seorang lagi tokoh muda Umno yang berpotensi ialah bekas ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed, anak kepada veteran terkemuka Umno Mohaned Rahmat. Ketika beliau "dilantik" sebagai pengerusi PAC di parlimen, beliau kelihatan sungguh lantang dalam memastikan tiada penyelewengan boleh berlaku. Beliau juga cergas menulis di portal pro-pembangkang.

Apabila Najib mengumumkan keputusan sukarnya untuk merombak kabinet yang menyaksikan Muhyiddin dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan diganti oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi. Nur Jazlan dinaikkan pangkat menjadi timbalan menteri dalam negeri. Beliau meletak jawatan pengerusi PAC dan diganti seorang lagi bintang serba boleh Umno, Hasan Arifin.

Setelah dilantik, Hasan, ahli parlimen Rompin dari Pahang hampir serta merta menjadi popular tak bertempat dengan mendapat jolokan "Hasan cari makan". Dilaporkan beliau secara berjenaka memberitahu wartawan yang dia juga "cari makan" ketika majlis jamuan bersama media. Pada keesokan harinya, cerita tersebut menjadi tajuk berita utama!

Jawatan timbalan menteri telah mengubah pendirian dan perwatakan Nur Jazlan. Menjadi penyokong kuat Najib sekelip mata, terus membisu dan tumpu pada tugasan. Tiada lagi menulis di media sosial. Apabila tiba pilihanraya 9 Mei lalu, penyandang ahli parlimen Pulai ini kecundang kepada Sallahuddin Ayub, timbalan presiden Amanah. Dan sejak itulah beliau mula menjadi suara latar kepada Khairy. Menegaskan dan menyalahkan Najib. Meminta Najib letak jawatan presiden Umno. Bolehkah kita mempercayai ahli politik seperti Nur Jazlan?

Betulkah Najib sekarang berseorangan? Inilah hakikat kehidupan dan Najib tidak terkecuali. Bila anda perdana menteri berbekalkan kuasa, ramailah kawan-kawan mengelilingimu. Bila kehilangan jawatan, anda kehilangan ramai kawan juga.

Dalam satu sesi, Najib pernah meluahkan kekecewaannya. Beliau rasa sungguh sedih bila ramai di kalangan Umno menyalahkan dirinya atas kekalahan BN. Keadaan menjadi lebih menyayat hati bila mereka perlahan-lahan mengelak dan menjauhkan diri.

Secara zahiriahnya, kita boleh lihat Najib masih mempunyai dua personaliti yang sangat setia kepadanya. Seorang, bekas pegawai kementerian kewangan, Lokman Noor Adam. Seorang lagi, pelakon wanita berusia matang, Ellie Suriyati. Malangnya, kedua-dua soldadu ini terlalu jauh dari piawaian yang diharapkan.

Kadang-kadang mereka lebih banyaķ merosakkan dari membaiki. Sesetengah pemerhati menganggap Lokman dan Ellie lebih sebagai wajah-wajah baru pengganti Jamal Yunos dan Ali Tinju.

Apapun, dengan 38 pertuduhan setakat ini dan banyak lagi selepas ini, nasib Najib rasanya sudah boleh dijangka. Akhirnya, beliau akan dijatuhkan hukuman penjara. Berapa lama? 5 tahun dalam penjara? 10 tahun? 20 tahun? Sukar untuk diramal dan apa-apa boleh terjadi. Perbicaraan yang adil mengikut mengikut undang-undang di bawah era Malaysia Baru akan memberi keadilan kepada tertuduh.

Proses pendakwaan jenayah, pembelaan, saksi-saksi, alibi, pemeriksaan balas dan semua hal-hal teknikal di setiap perbicaraan di hadapan hakim akan mengambil masa yang panjang sebelum perlaksanaan hukuman akhirnya dapat dilakukan terhadap tertuduh yang didapati bersalah. Mahkamah sesyen, mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan. Belum lagi pengampunan diraja. Ia mungkin mengambil masa 5 tahun, malah mungkin lebih dari itu.

Sebagai contoh, kes bunuh ADUN Pahang melibatkan tertuduh Mona Fendi, wanita jelita berimej ilmu hitam yang menggerunkan. Tertuduh hanya digantung sampai mati selepas lebih 8 tahun dari tarikh dia dijatuhkan hukuman oleh mahkamah tinggi. Kejadian ini berlaku lebih 15 tahun yang lalu.

Bagi kes Najib dan Zahid Hamidi, sekiranya didapati bersalah kemungkinan perlaksanaan hukuman hanya berlaku selepas pru15. Jika Umno kembali berkuasa, nasib mereka mungkin berbeza. Najib dan Zahid mungkin terlepas dari menginap di Sungai Buloh. Apa-apa boleh berlaku samada di era Malaysia Baru atau Malaysia Lama.

Sementara Najib masih ada dan bebas, kita seharusnya menyambut mesra penyertaan Najib dalam memberi buah fikiran, pandangan, cadangan dan lain-lain tanpa prejudis. Setakat ini, Najib telah banyak memberi pandangan-pandangan bernas, khusus, fokus serta berpaksikan fakta dan angka-angka. Kehadiran Najib adalah sangat penting untuk rakyat dan negara.

Tanpa sangsi, keberkesanan Najib telah mengatasi ketua pembangkang Dr Ahmad Zahid Hamidi. Adalah satu kerugian Umno mengabaikan Najib. Ini bukan soal politik. Tapi soal memanfaatkan kepakaran dan pengalaman Najib. Najib adalah orang paling sesuai menerajui semak dan imbang. Pengalaman beliau sebagai perdana menteri dan menteri kewangan selama hampir 10 tahun membolehkan beliau mengetahui dan memahami dengan mendalam luar dan dalam operasi dan pentadbiran kerajaan serta hal-hal penuh kompleksiti.

Tambahan pula, ramai menteri-menteri PH dengan jelas menunjukkan prestasi yang kurang baik. Menteri-menteri yang kurang berpengalaman ini gagal memberi keyakinan kepada rakyat. Antara kementerian yang dimaksudkan termasuk pendidikan, belia & sukan, pembangunan luar bandar, pelancongan, JPM perpaduan, perdagangan dalam negeri & hal ehwal pengguna dan kesihatan. Kebolehan bercakap dan kebolehan bekerja perlulah seiringan.

Kehadiran Najib bukanlah untuk menjatuhkan kerajaan baru sedia ada. Sebaliknya, ia perlu ditafsirkan sebagai menjadikan PH sebuah kerajaan yang lebih baik.

Sememangnyalah Najib seorang kaya raya. Tetapi wang tunai tidak boleh menjadi raja sepanjang masa. Penulis mengucapkan yang terbaik untuk Najib Razak.



Oleh Fauzi Kadir/Permadu Harmony
Hak Cipta Fauzi Kadir 2018




Comments

Post a Comment

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!