DAP Memeriahkan Lagi Politik Kelas Kambing Di Pulau Pinang
Sinar Harian melaporkan hari ini bahawa Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk menerima kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Pengerusi PH Pulau Pinang Encik Chow Kon Yeow berkata, keputusan berkenaan juga tidak dipersoalkan dalam sesi libat urus yang diadakan semalam, Rabu 12 Ogos 2026.
“Keputusan itu pun tidak dipersoalkan semalam, tidak ada orang mempersoalkan pun.
“Tak apa, dia (Encik Lim Guan Eng) boleh bangkit (isu itu)," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program R.A.C.E to Zero: Penang Edition di Bayan Lepas hari ini.
Sebelum ini, Guan Eng yang merupakan Penasihat DAP, mempersoalkan pendirian kepimpinan tertinggi PH Pulau Pinang yang terus menyokong peranan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri walaupun terdapat kenyataan yang disifatkannya sebagai serangan tidak mesra terhadap DAP dan PKR.
Guan Eng berkata, pendirian tersebut sukar difahami apabila tiada maklum balas diberikan terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap DAP dan PKR berkaitan isu politik identiti.
Menurut bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, Reezal sebelum ini menafikan BN mengeksploitasi politik identiti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebaliknya mendakwa DAP dan PKR hanya memberi tumpuan kepada satu kaum.
Sementara itu, ditanya sama ada hanya Guan Eng yang membangkitkan perkara berkenaan, Kon Yeow berkata, beliau tidak mengetahui sama ada terdapat seorang atau dua individu yang mempersoalkan keputusan tersebut.
“Kita memang kekal dengan keputusan itu,” katanya.
Sebelum ini, PH Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Keputusan itu diumumkan Kon Yeow selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri pada petang Sabtu lalu.
Menurutnya, kesepakatan itu termasuk mengekalkan Exco BN iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang selaras dengan persefahaman kerjasama atau 'electoral pact' yang terjalin ketika pilihan raya negeri (PRN) 2023.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment