Mandat Rakyat dan Proksi Politik
K E N Y A T A A N M E D I A
APABILA PROKSI POLITIK MENGATASI MANDAT RAKYAT
Kami berasa kecewa dengan tindakan menyekat akses MyKHAS YB Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Ampang. Beliau merupakan wakil rakyat kerajaan ketiga yang dinafikan hak untuk menguruskan peruntukan kawasan Parlimennya.
Sekali lagi, penyalahgunaan kuasa yang serius ini mendedahkan bagaimana Kerajaan Madani semakin mengaburkan sempadan antara parti dengan kerajaan, serta antara demokrasi dengan autokrasi.
Lebih serius lagi, apabila akses MyKHAS wakil rakyat yang dipilih disekat, tetapi pengurusan peruntukan kawasan diserahkan kepada individu atau “proxy” yang disenangi oleh Anwar Ibrahim.
Sejak bila seorang proxy yang tidak dipilih rakyat mempunyai mandat yang lebih besar daripada seorang Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya?
Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentang satu perkara yang sangat asas: Malaysia bukan milik Anwar Ibrahim. Kerajaan bukan rumah beliau. Peruntukan awam bukan wang poket parti mahupun Perdana Menteri.
Dalam sebuah keluarga, mungkin seorang ketua keluarga boleh memarahi anak yang tidak disukainya lalu menghalau anak itu keluar dari rumah.
Tetapi sebuah negara demokrasi tidak boleh ditadbir mengikut konsep “siapa saya suka, saya beri; siapa saya tidak suka, saya sekat.” Rakyat memilih Ahli Parlimen melalui peti undi, dan mandat itu wajib dihormati.
Kami juga ingin menegaskan bahawa peruntukan kawasan bukan hadiah daripada Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen.
Kalau Anwar Ibrahim tidak menyukai seseorang Ahli Parlimen, itu hak beliau. Namun, beliau tidak berhak menjadikan rakyat sebagai mangsa kepada ketidaksukaan politik tersebut. Lebih membimbangkan apabila wakil rakyat yang dipilih diketepikan, manakala wang rakyat pula diserahkan untuk diuruskan oleh proxy politik mengikut citarasa beliau.
Jika seseorang Ahli Parlimen melakukan kesalahan, siasat. Jika melanggar undang-undang, ambil tindakan mengikut lunas undang-undang. Jika seseorang ahli parti melanggar tatacara parti, bawa ke Lembaga Disiplin dan ambil tindakan mengikut peraturan parti. Tetapi jangan sesekali menggunakan peruntukan rakyat sebagai senjata politik.
Sehubungan itu, kami menuntut Perdana Menteri menjawab secara terbuka perkara-perkara berikut:
1. Apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau dasar yang digunakan untuk menyekat akses MyKHAS kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen tersebut?
2. Apakah asas pelantikan Penyelaras Parlimen Ampang, iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan di kawasan tersebut masih menjalankan tugas dan berfungsi?
3. Mengapakah seorang Setiausaha Politik dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang? Adakah tugas tersebut termasuk dalam skop tugas hakiki beliau, dan adakah beliau mempunyai kapasiti, masa serta tenaga untuk memikul tanggungjawab tambahan itu?
Anwar Ibrahim sendiri telah menghabiskan puluhan tahun memperjuangkan reformasi, keadilan, ketelusan dan menentang penyalahgunaan kuasa. Hari ini, prinsip-prinsip yang sama mesti terpakai kepada kerajaan yang beliau pimpin.
Reformasi tidak bermaksud mempolitikkan peruntukan rakyat dan menggantikan wakil yang dipilih rakyat dengan proxy pilihan sendiri. Demokrasi juga bukan sekadar meminta rakyat keluar mengundi setiap lima tahun, kemudian mengetepikan pilihan mereka apabila wakil yang dipilih tidak lagi disenangi oleh pemerintah.
Kami tidak meminta layanan istimewa.
Kami hanya menuntut satu prinsip yang sangat mudah: Hormati mandat rakyat.
Kenyataan media seperti berlegar di media sosial semalam.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment