Johor kekal pingat terbanyak sukan olahraga di SUKMA
![]() |
| KONTINJEN Johor meraikan kejayaan dengan memiliki pingat terbanyak dalam acara olahraga SUKMA Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Gambar Harian Metro oleh Aizuddin Saad |
Di Serdang, Selangor, akhbar Harian Metro malam tadi melaporkan Johor mencipta hatrik apabila muncul juara keseluruhan sukan olahraga buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Kejayaan itu menyaksikan Johor mempertahankan dominasi selepas turut mengungguli kutipan pingat olahraga pada SUKMA Kuala Lumpur 2022 dan SUKMA Sarawak 2024.
Pada edisi kali ini, Johor mengumpul sembilan pingat emas, lapan perak dan lima gangsa untuk muncul negeri terbaik dalam olahraga.
Terengganu menamatkan saingan di tempat kedua dengan tujuh emas, tiga perak dan tiga gangsa, manakala Wilayah Persekutuan melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan enam emas, satu perak dan tiga gangsa.
Koordinator Pasukan Olahraga Johor, Encik S Ananda Raja berkata, pencapaian kali ini jauh melepasi sasaran awal lima pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Katanya, lebih membanggakan apabila empat daripada sembilan emas yang diraih menyaksikan atlet Johor memecahkan rekod kejohanan SUKMA.
"Kita sebenarnya meletakkan sasaran rasmi lima pingat emas berdasarkan prestasi semasa atlet dan pencabar daripada negeri lain sebelum SUKMA.
"Tetapi kita memperoleh sembilan emas. Jumlah ini sama seperti yang kita capai di Sarawak dan Kuala Lumpur sebelum ini. Niat kita memang mahu mencipta hatrik," katanya ketika ditemui wartawan akhbar berkenaan.
Empat rekod baharu kejohanan yang dicipta atlet Johor hadir menerusi Danish Iftikhar Muhammad Roslee dalam acara 200 meter (m), kuartet 4x100m lelaki, kuartet 4x400m campuran serta acara rejam lembing lelaki menerusi Chai Kai Le.
Ananda Raja berkata, peningkatan prestasi atlet Johor bukan sahaja dapat dilihat menerusi kutipan emas, malah kualiti catatan yang dihasilkan sepanjang temasya kali ini.
"Daripada sembilan pingat emas yang diperoleh, empat daripadanya mencatat rekod baharu SUKMA. Malah dua atlet yang memenangi pingat perak turut memecahkan atau mengatasi rekod lama kejohanan.
"Ini menunjukkan dari segi kualiti, prestasi kita jauh lebih baik berbanding SUKMA sebelum ini. Jumlah keseluruhan pingat juga meningkat kepada 22 berbanding 18 pingat yang kita raih di Sarawak 2024," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment