Ku Sangka Lopak Air, Kiranya Selut
Menurut Berita Harian yang melaporkan berita pagi semalam, Puan Alia Syazwani Taib, 28, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika dia bersama ibunya serta dua anak berusia empat dan dua tahun dalam perjalanan menghantar barang secara sambilan.
Kata ibu dua anak itu, dia pertama kali memasuki kawasan berkenaan dan hanya mengikut laluan yang dicadangkan aplikasi navigasi (Maps) sebelum tersesat memasuki jalan batu kecil yang tidak berturap berhampiran parit kawasan sawah.
Tambahnya, ketika itu dia hampir tiba di rumah pelanggan dengan jarak kira-kira 50 meter sebelum melihat laluan berkenaan seperti terdapat lopak air.
"Saya sangka ia hanya air bertakung, jadi saya teruskan perjalanan.
"Namun tidak sangka rupa-rupanya kawasan itu berlumpur menyebabkan kereta saya tersangkut dan tidak boleh bergerak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas suri rumah yang melakukan kerja penghantaran secara sambilan itu, keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila dia bersama ibu dan dua anak kecilnya terpaksa menunggu dalam kereta ketika cuaca panas.
Bagaimanapun, katanya, kebimbangan itu reda apabila penduduk kampung berhampiran datang membantu selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Malah, ujarnya penerima barang yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian bersama penduduk kampung mendapatkan bantuan pemilik traktor bagi mengeluarkan kenderaan terbabit.
"Saya terharu mereka sanggup membantu walaupun saya orang luar dan pertama kali datang ke kawasan itu.
"Saya sangat menghargai sikap prihatin mereka kerana tidak membiarkan saya menunggu seorang diri bersama anak-anak dalam keadaan cuaca panas," katanya.
Tambah Alia, penduduk turut memaklumkan laluan berkenaan memang kerap menyebabkan kenderaan lain tersangkut sebelum ini.
Menurutnya, bersama ibu dan dua anaknya berjaya keluar daripada keadaan itu selepas lebih sejam menunggu bantuan sebelum kenderaan ditarik keluar menggunakan traktor kira-kira jam 6.30 petang.
Katanya, pengalaman itu tidak akan dilupakan dan membuatkannya lebih berhati-hati memilih laluan ketika melakukan kerja penghantaran selepas ini.
Malah ujarnya selepas kejadian itu dia turut mengalami demam kerana masih terkejut dengan pengalaman kenderaan ditarik dengan traktor.
"Rasa nak tercabut jantung ketika itu, namun insiden terbabit tidak mematahkan semangat saya meneruskan kerja sambilan ini untuk menambah pendapatan keluarga.
"Cuma selepas kejadian ini saya akan lebih berhati-hati dengan keadaan jalan terutama kawasan yang belum pernah saya lalui," katanya.
Pengalaman cemas itu turut dikongsikan Alia menerusi hantaran di aplikasi Threads menerusi kisah bertajuk Kisah tentang aku, Aruzku dan traktor yang disifatkannya sebagai pengalaman pahit yang manis.
Dalam hantaran itu, dia berkongsi detik ketika menyangka laluan berlubang yang dilaluinya hanyalah lopak air sebelum kenderaan dipandunya mula tersangkut dalam selut ketika melakukan penghantaran barang secara sambilan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment