Tokoh tanpa platform Isham Jalil telah isi borang mohon untuk sertai PAS
Isham perlu ubah ego perkecil orang lain, seolah-olah dia seorang yang cerdik dan pandangan dia semuanya betul
Merujuk kepada satu hantaran di media sosial hari ini, akhbar berpengaruh Sinar Harian melaporkan bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri Ke-6 Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Encik Hizatul Isham bin Abdul Jalil, lebih dikenali sebagai Isham Jalil, disahkan menyertai PAS selepas mengisi borang keahlian dan mendaftar sebagai ahli seumur hidup parti itu.
Menurut akhbar harian Bahasa Melayu itu, perkara itu dikongsikan Ketua Pemuda PAS Selangor yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, Encik Mohamed Sukri Omar menerusi hantaran di Facebook hari ini, Sabtu 11 Julai 2026.
Mohamed Sukri berkata beliau menerima mesej WhatsApp daripada Isham pada malam Jumaat (semalam) yang memaklumkan mengenai penyertaannya ke dalam parti itu.
"Malam semalam, saya menerima WhatsApp daripada Saudara Isham Jalil yang memaklumkan beliau mengisi borang keahlian PAS serta mendaftar sebagai Ahli PAS seumur hidup.
"Keputusan ini lahir daripada keyakinan beliau untuk memilih PAS sebagai wadah siasah dalam memperjuangkan serta mempertahankan agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata, PAS sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ikhlas untuk berbakti dan menyumbang kepada perjuangan parti.
Katanya, perjuangan PAS dibina bukan atas dasar kepentingan peribadi, sebaliknya berteraskan akidah, prinsip dan tanggungjawab memimpin masyarakat dengan nilai Islam.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut mengalu-alukan penyertaan Isham ke dalam PAS.
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan, keikhlasan dan istiqamah kepada beliau serta seluruh anggota PAS untuk terus memikul amanah perjuangan, mempertahankan Islam, memperkukuh perpaduan ummah dan membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
"Perjuangan ini tidak diukur dengan siapa yang datang paling awal, tetapi dengan siapa yang tetap istiqamah hingga ke akhirnya, selamat datang ke saff perjuangan," katanya.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Isham sebagai berkata dia memilih PAS sebagai wadah perjuangan selepas tiga tahun tidak berparti berikutan pemecatannya daripada UMNO pada 2023.
Menurut Isham, PAS kini menjadi tempat untuk "orang Melayu berlindung" dan menyifatkan parti itu sebagai parti paling bersih daripada rasuah.
"PAS adalah tempat orang-orang Islam dan orang-orang Melayu berlindung kini.
"PAS juga adalah parti yang paling bersih dari rasuah di negara ini. Untuk membersihkan negara ini daripada rasuah dan salahguna kuasa, kita perlu angkat pemimpin dan kerajaan daripada parti yang bersih dari rasuah," katanya.
Isham berkata dia percaya sekiranya PAS diberi kuasa dan amanah untuk memimpin negara, parti itu akan memberi contoh teladan yang baik ke arah penghapusan rasuah.
Beliau disingkirkan daripada Umno pada 7 Disember 2023 kerana didakwa melanggar disiplin parti, mengkritik pimpinan secara terbuka, dan gagal menghadiri mesyuarat MKT sebanyak empat kali.
Antara lain Isham mengkritik kerjasama UMNO dan DAP dalam kerajaan perpaduan, selain menggesa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.
Percaya PAS dapat satukan Ummah
Dalam kenyataan yang sama, Isham berkata dia ingin melihat orang-orang Melayu kembali bersatu ke arah penyatuan nasional.
"Untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam penyatuan nasional, orang-orang Melayu perlu bersatu dahulu sebab orang-orang Melayu adalah majoriti di negara ini.
"Jika orang-orang Melayu dan majoriti berpecah, penyatuan nasional tidak akan menjadi kenyataan. Dan untuk menyatukan orang-orang Melayu, parti-parti Melayu yang besar mahupun kecil perlu bersatu padu.
"Saya yakin PAS sebagai parti terbesar orang-orang Melayu dan parti terbesar di Malaysia kini mampu menggalas tanggungjawab dan amanah ke arah penyatuan ummah dan penyatuan nasional ini,” katanya.
Justeru Isham berkata dia berharap PAS dan UMNO dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan dan Melaka selepas pilihan raya negeri akan datang sebagai langkah ke arah "penyatuan ummah" di peringkat Persekutuan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment