Pandangan Dr Faisal Tehrani Undang bukan raja, tetapi sekadar Ketua Penghulu disanggah
![]() |
| Dr Faisal Tehrani |
Sebuah artikel pandangan yang diterbitkan oleh Dr Faisal Tehrani baru-baru ini bertajuk "Undang bukan raja, raja adalah raja" di Free Malaysia Today cuba merumuskan landskap sistem beraja di Negeri Sembilan secara literal menerusi lensa tunggal Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.
Hujah tersebut menegaskan bahawa oleh sebab Yang di-Pertuan Besar termaktub sebagai pemerintah tunggal, maka status Datuk-Datuk Undang Yang Empat hanyalah sekadar institusi memilih (electorate) dan kedudukan mereka di dalam luak tidak lebih daripada sekadar "ketua penghulu".
Hujah berkenaan adalah dangkal dan tidak menerangkan posisi undang-undang yang tepat. Harus diketahui bahawa Negeri Sembilan dibina di atas falsafah Kedaulatan Bersama (Shared Sovereignty) dan adat tradisi yang berdasarkan Adat Perpatih tidak boleh dipadamkan hanya dengan mengubah tradisi yang meminggirkan pemimpin-pemimpin adat dalam pelantikan jawatan-jawatan beraja.
Dinamika sejarah: Luak mendahului institusi beraja
Kesilapan paling mendasar dalam cubaan meremehkan autoriti Undang ialah mengabaikan kronologi pembentukan Negeri Sembilan. Di negeri ini, luak-luak berdaulat berserta institusi Undangnya (Penghulu Luak) telah wujud, mempunyai wilayah, dan memegang tampuk pemerintahan beratus tahun lebih awal sebelum institusi Yang di-Pertuan Besar diasaskan pada tahun 1773.
Kehadiran Yamtuan pada awalnya bukanlah sebagai seorang penakluk yang merampas wilayah, melainkan sebagai penengah, pelindung, dan simbol perpaduan atas mandat dan jemputan orang-orang Minang yang menetap di Negeri Sembilan atas persetujuan Undang Yang Empat.
Dengan kata lain, keabsahan (legitimacy) kedudukan institusi Yamtuan itu sendiri lahir daripada rahim kedaulatan luak yang diwakili oleh Undang. Hubungan ini tidak bersifat feudalisme mutlak (atas-bawah), tetapi berbentuk konfederasi tradisional yang berasaskan perjanjian bersama yang tertakluk kepada Perjanjian 1895, Perjanjian Yamtuan dan Undang Yang Empat 1898, Perjanjian 1934.
Doktrin kedaulatan dikongsi dan takrifan "Raja"
Hujah Faisal Tehrani tersadung apabila beliau gagal memahami takrifan perundangan persekutuan tentang siapa "Raja" dalam acuan Negeri Sembilan. Di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, takrifan "Raja" bagi Negeri Sembilan adalah sangat spesifik, iaitu merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak dirinya dan Undang yang Empat bersama Tunku Besar Tampin.
Oleh itu, jaminan kedaulatan dan prerogatif di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan sebenarnya dipelihara dan dikongsi secara dinamik serta saksama.
Di Negeri Sembilan, prinsip pembahagian kuasa dikanonkan dengan begitu indah menerusi perbilangan adat yang mengikat: "Sah raja di dalam alam, sah undang di dalam luak."
Perbilangan ini bukan sekadar madah sastera, melainkan sebuah pernyataan perlembagaan tradisional yang mengiktiraf pembagian wilayah kekuasaan. Di dalam wilayah luaknya (Sungei Ujong, Jelebu, Johol, dan Rembau), seseorang Undang memegang autoriti tertinggi dan mutlak ke atas adat serta tanah saka.
Malah, keunikan ini diiktiraf di peringkat Persekutuan di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Datuk-Datuk Undang Yang Empat diberikan kedudukan setaraf dengan Raja-Raja Melayu yang lain dalam kapasiti sebagai anggota Majlis Raja-Raja bagi urusan-urusan khusus, termasuk pengesahan pelantikan atau pemecatan Yang di-Pertuan Besar sendiri. Sekiranya mereka sekadar "ketua penghulu biasa", masakan institusi ini memegang prerogatif perlembagaan tertinggi di peringkat negara?
Hakikat Adat Perpatih: Tidak boleh dipukul rata
Satu lagi kelemahan ketara dalam hujah yang menyamaratakan institusi luak adalah tanggapan bahawa amalan pelantikan di semua luak adalah serupa. Hakikatnya, undang-undang adat adalah general law yang membuka ruang kepada pelbagai tafsiran. Adat Perpatih tidak boleh dipukul rata kerana setiap luak mempunyai prerogatif tersendiri berdasarkan amalan turun-temurun dan sejarah pembukaannya:
# Luak Berwaris Berundang (Sungei Ujong dan Johol): Punca kuasa pelantikan terletak pada Waris dan disokong oleh Lembaga berkenaan secara kebulatan.
# Luak Berlembaga Berundang (Rembau dan Jelebu): Prerogatif dan punca kuasa yang sah terletak sepenuhnya pada Lembaga. Bagi Luak Rembau, ia terletak pada Tiang Balai Baruh dan Darat secara kebulatan, manakala bagi Luak Jelebu, punca kuasanya berada di tangan Lembaga Delapan secara kebulatan.
Oleh itu, tiada istilah "Telaga Undang" atau kuasa mutlak waris yang boleh terpakai secara universal ke atas seluruh luak. Ini adalah kelemahan ketara dalam penghujahan berkenaan.
Kedudukan tertinggi Dewan Keadilan dan Undang (DKU)
Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (The Council of the Yang di-Pertuan Besar and The Ruling Chiefs) bukan sekadar "jambatan" adat dan pentadbiran sepertimana dakwaan sesetengah pihak, tetapi merupakan dewan tertinggi yang menghimpunkan Ketua-Ketua Luak dan Wilayah: Yang di-Pertuan Besar (Ketua Adat Tanah Mengandung dan Adat Lingkungan), Undang Yang Empat (Ketua Adat Luak masing-masing), dan Tunku Besar Tampin (Ketua Adat Wilayahnya).
Pendapat yang mendakwa bahawa DKU hanya bertindak secara pasif—iaitu sekadar menerima sahaja apa jua penzahiran keputusan dari peringkat luak—adalah tidak tepat dan menyimpang daripada prinsip perlembagaan negeri. Berdasarkan Perkara 16(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, DKU diberikan kuasa perlembagaan (constitutional power) sebagai badan timbang tara, penafsir, dan pemutus muktamad bagi sebarang persoalan serta pertikaian adat.
DKU hanya akan menasihatkan untuk menerima seandainya pelantikan atau pemecatan tersebut diputuskan secara bulat oleh Punca Kuasa yang sah di peringkat luak tanpa sebarang pertikaian.
Namun, sekiranya keputusan di peringkat luak tidak dibuat oleh Punca Kuasa yang sah dan dipertikaikan, menjadi tanggungjawab perlembagaan DKU untuk menilai, menyiasat, dan menimbang tara perkara tersebut. Seterusnya, Perkara 21 UUTKNS 1959 jelas memperuntukkan kuasa bahawa DKU boleh melantik jawatankuasanya untuk menjalankan fungsi menyiasat sebarang persoalan adat.
Kemuktamadan keputusan (finality of decision) oleh DKU diputuskan secara kebulatan supaya pihak yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri adalah pihak yang benar-benar layak dan telah dilantik oleh Punca Kuasa sebenar Luak yang sah.
Malah, berlandaskan Perkara 32 UUTKNS 1959, sebarang perjanjian dan adat lama termasuk proses penzahiran atau menyalang tetap tidak boleh mengatasi DKU kerana dewan ini memegang mandat perlembagaan bertulis yang nyata untuk memuktamadkan keputusan adat.
Menyanggah salah faham kes Dato Menteri Othman Baginda
Sering kali, pihak yang ingin merendahkan status para Undang menyandarkan hujah mereka secara terpilih (cherry-picking) kepada kes Mahkamah Persekutuan Dato’ Menteri Othman Baginda & Anor. v Dato’ Ombi Syed Idrus [1981] 1 MLJ 29. Mereka mendakwa kes ini meletakkan Undang setaraf "rakyat biasa" tanpa sebahagian daripada imuniti kedaulatan.
Tafsiran sedemikian adalah amat mengelirukan. Jika diteliti, kes tersebut sebenarnya mengesahkan doktrin forum non conveniens—iaitu mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam urusan pelantikan atau pelucutan jawatan seorang Undang oleh Dato’-Dato’ Lembaga di peringkat luak.
Mahkamah sivil sebaliknya menyerahkan keputusan tersebut kepada autonomi institusi adat. Lebih-lebih lagi, Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi klausa (2) jelas memasukkan terma "Ruling Chiefs" bagi melindungi hak serta kuasa tradisi para Undang daripada sebarang pencerobohan perundangan moden.
Kesimpulan
Sistem beraja dan beradat di Negeri Sembilan menolak pemusatan kuasa (absolutism) dan mengutamakan sistem semak dan imbang (checks and balances) yang dinamik. Hubungan simbiotik ini digambarkan melalui bidal: "Undang memandikan raja, Undang menanamkan raja, Undang menyisipkan keris kedaulatan."
Melihat institusi Negeri Sembilan hanya menerusi kanta undang-undang barat yang menekankan struktur feudalisme mutlak yang sempit akan menghilangkan keindahan intipati kebijaksanaan tempatan Adat Perpatih.
Yang di-Pertuan Besar adalah payung negeri, Datuk-Datuk Undang adalah pasak bumi luak, manakala Dewan Keadilan dan Undang adalah benteng keadilan tertinggi yang memastikan kelangsungan kedaulatan bersama ini kekal utuh di bawah naungan perlembagaan.
Adaptasi daripada sebuah tulisan DR IKMAL HISHAM MD TAH, Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan mengajar Undang-Undang Perlembagaan dan Pentadbiran.
Pertama kali disiarkan oleh Malaysiakini hari ini, Khamis 9 Julai 2026.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.











Comments
Post a Comment