A Kadir Jasin Mengulas Keputusan PRN Johor
Pakatan Harapan yang menurunkan PM Anwar Ibrahim sebagai panglima perang dibalun teruk
1. Seperti yang diramalkan oleh banyak pihak, Barisan Nasional (BN) memperbaiki penguasaannya ke atas Dewan Undangan Negeri Johor.
2. Sirih pulang ke gagang. Negeri yang sering dikreditkan sebagai tempat kelahiran United Malay National Organisation (UMNO) itu memberi kemenangan besar kepada BN.
3. Ia menang 48 daripada 56 kerusi DUN berbanding 40 yang dalam PRN 2022. UMNO menang 36, MCA lapan dan MIC empat. Sebanyak 1,118,559 orang atau 59.66 peratus yang keluar mengundi memilihnya.
4. Pakatan Harapan (PH) yang menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai panglima perangnya dibalun teruk.
5. Ia menang hanya lapan kerusi berbanding 12 sebelumnya. DAP merosot daripada 10 kerusi kepada enam manakala PKR dan Amanah mengekalkan satu kerusi masing-masing. Bagaimanapun, undi popular PH naik kepada 32.64 peratus daripada 26.42 peratus.
6. Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam keadaan kacau-bilau dan pecah-belah ditolak terus. Daripada tiga dalam PRN 2022 kepada sifar. Hanya 5.45 peratus memilihnya.
7. Dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2022 dan PRN enam buah negeri 2023, UMNO-BN mempamerkan pemulihan, PH bertambah lemah, disebabkan ribut dalam PKR, dan PN menderita akibat krisis Bersatu.
8. Kita akui kedudukan istimewa UMNO-BN di Negeri Bangsa Johor. Jadi kemenangannya dalam PRN ini tidaklah memeranjatkan sangat.
9. Dalam konteks kebangsaan dan melihat ke hadapan, ke arah Pilihan Raya Umum ke-16, keputusan PRN Johor adalah teropong yang berguna.
10. Pertama, dasar "go solo" UMNO-BN berkesan. Kedua, langkah UMNO mengampunkan pemimpin yang dipecat atau digantung diterima baik dan, khususnya mengenai Johor, kepulangan Hishammudin Hussein menambahkuatkan semangat ahli dan penyokongnya.
11. Ironi yang pasti tidak terlepas daripada pandangan ramai pemerhati adalah talian hayat yang diberikan oleh Kerajaan Madani kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghasilkan faedah besar kepada beliau.
12. Perlindungan undang-undang daripada 47 kes prima facie, jawatan Timbalan Perdana Menteri, DNAA dan akhir sekali, NFA.
13. Kemenangan cemerlang UMNO-BN di Johor adalah gula-gula di atas kek Ahmad Zahid. Walaupun Anwar dapat jadi Perdana Menteri dengan bantuan anak muridnya itu, tetapi sekarang anak murid bertukar menjadi ancaman nombor satu kepadanya.
14. Dengan kemenangan besar di Johor, UMNO-BN boleh mengharapkan laluan mudah mengekalkan Melaka dan merampas Negeri Sembilan daripada PH dalam PRN masing-masing.
15. Ada beberapa faktor kepada kemerosotan yang dideritai PH dan PN di Johor. Pertama, kedua-dua pakatan politik itu sedang mengalami krisis dalaman yang teruk. Kedua, Johor adalah kubu UMNO. Dan ketiga, orang Johor terus alergik kepada PAS. Mereka curiga terhadap "Islam" yang PAS bawa.
16. Kesimpulannya, keputusan PRN Johor membuktikan yang negeri itu terus menjadi kubu UMNO. Anwar kalah kepada Ahmad Zahid dalam perang taktik. Kaedah kempen Anwar yang kasar adalah asing bagi rakyat Johor.
17. Akhir sekali, "esteem" (air muka) Anwar tercalar dan boleh menjejas kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri serta mempengaruhi "timing" PRU ke-16.
Terima kasih.
Dipetik dan adaptasi dari sebuah hasil tulisan tokoh wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, seperti hantaran di Facebook beliau semalam, Ahad 12 Julai 2026.
Gambar-gambar hiasan dari media sosial.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.









Comments
Post a Comment