A Kadir Jasin mengimbas "No Bersatu, No Anwar, No DAP"
Zahid Nak Jadi Han Solo
1. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, pada tahun 2022, UMNO-BN bertanding solo juga. Waktu itu, mantera Ahmad Zahid Hamidi adalah "No Bersatu, No Anwar, No DAP".
2. Tetapi selepas tidak menang besar seperti yang beliau ramalkan, mantera itu bertukar jadi, "yes Anwar, yes PH, yes DAP".
3. Jadi keputusan "go solo" dalam PRU Ke-16 nanti tidaklah berbeza dengan gebang PRU Ke-15.
4. Walaupun Zahid bersumpah "No Bersatu, No Anwar, No DAP," majoriti pengundi Melayu tetap tidak percaya. Mereka pilih Perikatan Nasional (PN). Dan intuisi mereka tepat. Zahid bercium mulut dengan Anwar dan DAP.
5. Walaupun Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Madani dan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, orang Melayu tidak teruja. Sebaliknya lagi teruk mereka menolaknya.
6. Dalam Pilihan Raya Dewan Undangan di enam buah negeri, pada bulan Ogos 2023, BN kalah lagi teruk. UMNO ada 41 kerusi ketika pembubaran enam DUN itu. Ia dengan yakin tertanding 108 kerusi, tetapi menang ciput 19 kerusi saja.
7. Soal sokongan Melayu wajar diselidik dan difahami kerana bermula PRU Ke-14, tahun 2018, kecondongan pengundian mereka telah berubah. Mereka tidak lagi takut mengundi selain daripada Umno.
8. Pemimpin Melayu pula bersedia membohongi pengundi secara terang-terangan seperti merampas kuasa pada tahun 2020 dan bertukar daripada "No Bersatu, No Anwar, No DAP" kepada "yes Anwar, yes DAP" demi kuasa, habuan dan NFA.
9. Justeru itu, walaupun ada cakap-cakap mengatakan Pas dan UMNO akan berpakat pasca-PRU nanti, saya akan percaya hanya setelah dimeterai seperti yang dicapai pra-PRU 1974, apabila Pas menyertai BN.
10. Setakat manis mulut dan hipokrasi menggunakan label perpaduan Melayu, rumah bangsa, payung besar, reset dan sebagainya tidak memadai.
11. Buat apa Pas yang sedang naik hendak bepakat dengan UMNO yang telah jatuh dan akan "go solo"?
12. Adalah lebih masuk akal dan bermanfaat jika Pas berusaha membangunkan semula gabungan Melayu-Islamnya, sama ada melalui Perikatan Nasional (PN) atau sebuah gabungan baru.
13. Kalau Pas dan Bersatu boleh kembali bekerjasama dalam PN lagi bagus. PN sudah ada nama dan berpotensi menang lebih besar.
14. Pada 16 Jun, media massa melaporkan yang Presiden Bersatu, Muhyiddin Mohd Yasin, berkata partinya memutuskan untuk terus kekal dalam PN serta bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN. Tambah beliau, sebagai pengasas PN, tidak ada sebab untuk Bersatu keluar PN.
15. Tetapi itu sebelum Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan rombakan jentera gabungan itu dengan menggugurkan Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Jidin, sebagai Pengarah Pilihan Raya PN dengan digantikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.
16. Ada logik kepada perubahan itu. Muhammad Sanusi adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat merangkap Menteri Besar Kedah. Beliau jauh lebih perpengalaman daripada Mohd Radzi.
17. Ahmad Mokhtar juga menggugurkan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamad Azmin Ali, daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN.
18. Harap-harap perselisihan Pas-Bersatu ini hanyalah sekadar carik-carik bulu ayam. Gabung Pas, Bersatu dan Parti Wawasan Negara akan memberikan pengundi pilihan yang viable dalam PRU Ke-16 nanti.
19. Sementara itu, dengan UMNO-BN beriltizam untuk "go solo", bermula dengan PRN Johor, perang terbuka antara Umno-BN dan PH tidak dapat dielakkan.
20. Perang mulut telah bermula dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, bercakap tentang pengkhianatan yang pastinya ditujukan kepada UMNO-BN.
Dipetik dan adaptasi dari sebuah hasil tulisan tokoh wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, seperti hantaran di Facebook beliau hari ini, Ahad 21 Jun 2026.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment