Puad Zarkashi hendak apa sebenarnya?
PUAD BAYANG ADA KONFLIK DALAMAN UMNO BERKAITAN PENCALONAN DI PRN JOHOR
Portal berita Malaysiakini semalam melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membayangkan berlaku kemelut dalam UMNO Johor berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dan bakal membuat satu pengumuman penting pada Sabtu ini.
Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit itu, dia merasakan ada yang “tidak kena” dengan UMNO Johor selepas melihat senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding.
“Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada UMNO Johor.
“Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun ini. Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan.
“Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan senarai nama calon mewakili gabungan berkenaan di kesemua 56 kerusi DUN Johor dilaporkan berkata BN akan terus mengekalkan konsep ‘wali’ dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai), selain menampilkan gabungan muka lama dan baharu.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.
Sebelum ini, Puad telah menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.
Jelasnya, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berpendidikan. Bagaimanapun, Puad mendakwa saranan itu tidak diendahkan oleh kepimpinan parti.
"Saya telah mengumumkan melalui Facebook enam hari lalu bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit kerana faktor usia.
"Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Tetapi tidak diindahkan. Saya melakukan 'keberanian politik' untuk meneruskan perjuangan," katanya lagi.
Puad kali pertama dipilih menjadi calon UMNO pada pilihan raya 2008 bagi kerusi Parlimen Batu Pahat yang dimenanginya. Bagaimanapun dia hanya berkhidmat selama satu penggal di Dewan Rakyat selepas tewas dalam pilihan raya 2013 kepada Encik Mohd Idris Jusi daripada PKR.
Namun beliau dipilih semula menganggotai Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dianggotai 25 anggota pada akhir tahun tersebut. Puad digugurkan daripada menjadi calon oleh UMNO dalam pilihan raya umum 2018.
Beliau yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jasa (sekarang dikenali sebagai J- Kom) pada Mac 2015 tetapi meletak jawatan pada 25 April 2018 sebagai tanda protes kerana tidak dipilih menjadi calon BN.
Pada 2022, Puad diletakkan sebagai calon BN pada PRN Johor dan berjaya memenangi kerusi itu. Seterusnya, dia dilantik sebagai speaker DUN Johor.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment