Hati PAS—Bersatu Guris Luka
PAS malam ini akan membuat keputusan penting mengenai hubungan hala tuju kerjasama antara parti itu dengan sekutunya Bersatu sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, isyarat ke arah masa depan positif kedua-dua parti yang bergandingan sejak Langkah Sheraton pada 2020 itu nampak sedikit kelam, ramai portal berita popular Malaysiakini.
Beberapa jam sebelum mesyuarat berlangsung pada jam lapan malam ini, pemimpin PAS seolah-olah memberi bayangan bahawa hubungan itu akan berakhir meskipun Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan hubungan.
Ketua Penerangan PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari dalam hantaran di Facebooknya berkata "kepercayaan yang terguris bukan mudah dipulihkan".
Katanya, hubungan politik yang dibina atas nama persefahaman dan kepercayaan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kenyataan yang baik.
"Sebab itulah saya berpandangan bahawa apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh PAS dalam masa terdekat pasti akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa, tetapi juga rentetan peristiwa yang telah menghakis kepercayaan yang diberikan selama ini.
"Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan. Dan apabila kepercayaan itu terguris, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya," katanya.
Selain itu, katanya, dalam isu Perlis, sehingga hari ini ramai masih tertanya-tanya mengapa Bersatu begitu tergesa-gesa menghantar nama calon menteri besar bagi menggantikan pemimpin PAS Encik Shukri Ramli.
"Pada waktu itu, adakah hubungan baik dengan PAS benar-benar diambil kira? Jika alasan yang diberikan ialah wujudnya 'titah diraja', maka persoalannya mudah. Adakah benar wujud titah sedemikian seperti yang didakwa?," soalnya lagi.
‘Perlekeh’ jawapan Muhyiddin?
Ketua Pemuda PAS Encik Afnan Hamimi Taib Azamudden pula dilihat "memperlekeh" jawapan Muhyiddin kepada surat balasan PAS.
Dia merujuk kepada surat Bersatu bertarikh 25 Mei sepanjang 13 muka surat sebagai jawapan balas terhadap sidang media Presiden PAS pada 22 Mei 2026 berkaitan kajian semula hubungan kedua-dua parti.
“Bezanya, PAS tidak buat kenyataan media hanya semata-mata nak beritahu ia menerima surat dan menjawab surat,” sindirnya.
Jawatankuasa Pusat PAS yang dipengerusikan oleh Presiden Abdul Hadi Awang dijadual bermesyuarat malam ini di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Difahamkan sidang 40 anggota itu menilai dua kertas cadangan yang menyokong kerjasama dengan Bersatu dan satu lagi cadangan sebaliknya.
Satu cadangan dikatakan datang daripada pihak dalaman dan satu lagi dibantu oleh ahli akademik dan bijak pandai PAS.
Setakat ini belum pasti sama ada keputusan akan dihebahkan kepada umum malam ini.
Terdahulu, Hadi berkata Majlis Syura diketuai oleh Mursyidul Am Encik Hashim Jasin menyerahkan keputusan itu kepada jawatankuasa pusat parti.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment