Dakwaan Rafizi bahawa Ramanan sudah kembalikan RM 9.5 juta kepada Victor Chin belum dapat disahkan kebenarannya
Ramanan dijangka melenting dan menafikan sekeras-kerasnya
Lebih 15 jam selepas tempoh akhir yang ditetapkan oleh Encik Victor Chin untuk seorang anggota parlimen PKR memulangkan RM9.5 juta yang didakwa diambil bagi menyelesaikan skandal "mafia korporat", ahli perniagaan itu masih belum mendedahkan identiti wakil rakyat berkenaan.
Hal ini mencetuskan spekulasi bahawa Chin mungkin berdiam diri kerana sudah menerima bayaran balik sepenuhnya, kata portal berita lantang dan terkenal, Malaysiakini hari ini.
Beberapa cubaan beberapa pihak untuk menghubungi ahli perniagaan itu bagi mendapatkan ulasannya — sama ada Chin akan mendedahkan identiti ahli parlimen yang didakwa mengambil wangnya dalam masa terdekat atau sebaliknya — masih belum berjaya.
Ini termasuk permohonan yang dihantar melalui peguamnya, Encik S Krishna Kumar, yang setakat pagi ini berkata dia akan "menyemak" perkara itu dengan Chin.
Minggu lalu, Chin menuduh seorang ahli parlimen PKR mengambil RM9.5 juta daripadanya untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan kumpulan yang digelar "mafia korporat".
Dalam dokumen setebal 40 muka surat yang memperincikan kronologi kejadian, dia mendakwa wakil rakyat yang tidak dinamakan itu memintanya menyediakan RM10 juta tunai untuk menyelesaikan masalahnya dengan berbincang bersama kumpulan tersebut.
Chin juga mengugut untuk mendedahkan identiti ahli parlimen itu jika wang berkenaan tidak dipulangkan kepadanya.
"Saya berjaya menyediakan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 lagi tidak pernah diserahkan kepadanya kerana ahli parlimen ini tidak menyelesaikan masalah tersebut. Tiada satu sen pun wang itu diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.
"Saya mengeluarkan pesanan kepada ahli parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan dedahkan identiti anda," katanya.
Menurut ahli perniagaan itu, dana tersebut dipindahkan kepada wakil rakyat berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu.
Susulan kenyataan Chin, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mengadakan sidang media untuk menafikan bahawa dia adalah wakil rakyat yang dimaksudkan oleh Chin.
Menteri Sumber Manusia itu menegaskan dia tidak pernah bertemu dengan Chin dan berkata laporan polis akan dibuat terhadap tuduhan sedemikian, yang ditegasnya disebarkan oleh "pihak yang tidak bertanggungjawab".
"Ini adalah naratif kotor untuk mencemarkan (reputasi) PKR, ahli parlimennya, dan kerajaan.
"Bagaimana mungkin saya ambil RM9.5 juta daripada seseorang yang saya sendiri tidak kenali atau pernah temui?" kata ahli parlimen Sungai Buloh yang menewaskan tokoh popular UMNO Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam pilihan raya umum lepas, semasa sidang media pada Rabu, 25 Mac lalu.
Dalam satu podcast pada malam Jumaat, ahli parlimen Pandan, Kuala Lumpur, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa dia menerima maklumat bahawa Ramanan didakwa menghantar seseorang untuk membayar wang tersebut kepada Chin.
"Saya baru sahaja mendapat mesej yang mengatakan Ramanan menghantar seseorang, peguam kepada peguam, untuk menyelesaikan RM9.5 juta itu," kata bekas Menteri Ekonomi itu.
Tokoh berani yang sering mengkritik partinya sendiri itu menambah bahawa Chin kini akan terus membisu mengenai ideatntiti ahli parlimen PKR yang didakwa ahli perniagaan itu telah dibayar RM9.5 juta bagi menyelesaikan skandal "mafia korporat".
Bagaimanapun, dakwaan Rafizi itu tidak dapat disahkan secara bebas dan Ramanan belum memberi maklum balas setakat berita ini ditulis..
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment