Pagi, portal lantang terjumpa lagi saham Azam Baki, tiba-tiba hilang di sebelah petang dari SSM
SIAPA BILANG ORANG MELAYU TAK PANDAI BERNIAGA
Portal lantang dan berani, Malaysiakini hari ini berkata jumpaan terbaharu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bernilai lebih satu juta ringgit adalah berdasarkan maklumat rasmi menurut hasil carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Dalam nota editor, portal itu menyatakan laporan Malaysiakini mengenai pegangan saham Azam Baki dalam Awanbiru Technology Berhad adalah berdasarkan rekod SSM yang diakses pada jam 9 pagi hari ini. Walau bagaimanapun, sehingga jam 5 petang, nama Azam tidak lagi terdapat dalam dokumen tersebut.
Tambah nota itu lagi, Malaysiakini sedang menghubungi SSM untuk mendapatkan penjelasan mengenai perubahan tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM yang paling berani menangkap perasuah itu memiliki saham dalam sebuah lagi syarikat yang sekali lagi berkemungkinan tidak mematuhi peraturan had pemilikan ekuiti oleh penjawat awam.
Semakan dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati bahawa setakat 13 Januari tahun ini, Azam memiliki lebih sedikit daripada 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad, atau pegangan sebanyak 1.08 peratus.
Ini adalah berdasarkan profil syarikat Awanbiru pada rekod SSM yang dibeli oleh Malaysiakini pada jam 9 pagi hari ini. Kemudian pada jam 5 petang pada hari sama, semakan Malaysiakini mendapati bahawa nama beberapa pemegang saham tidak lagi berada dalam rekod, termasuk Azam.
Malaysiakini sedang menghubungi SSM untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan tersebut, kata portal itu.
Pada 13 Januari, saham tersebut dinilai pada RM0.305 seunit, bermakna pegangan Azam bernilai hampir RM1.38 juta pada ketika itu.
Tarikh sebenar Azam membeli saham tersebut tidak diketahui, namun harga terendah saham Awanbiru Technology Berhad diniagakan dalam tempoh lima tahun lalu adalah RM0.175 sesaham pada 12 Julai 2023.
Pada harga tersebut, 4.52 juta saham bernilai lebih sedikit daripada RM790,000.
Walaupun tidak menyalahi undang-undang bagi penjawat awam untuk membeli saham, pekeliling tatatertib perkhidmatan awam menetapkan bahawa mereka tidak dibenarkan membeli saham bernilai lebih daripada RM100,000 dalam sesebuah syarikat.
Malaysiakini seterusnya berkata mereka telah menghubungi ketua pesuruhjaya SPRM itu untuk mendapatkan ulasan.
Semalam, Azam dilaporkan memiliki 11.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partners Berhad.
Azam berkata dia telah membeli dan melupuskan saham Velocity Capital Partners pada waktu yang tidak dinyatakan tahun lalu. Bagaimanapun, rekod SSM masih menyenaraikan Azam sebagai pemegang saham dalam syarikat itu setakat 26 Disember 2025.
Walaupun tidak diketahui harga pembelian saham tersebut, harga terendah saham Velocity Capital Partners diniagakan tahun lepas pada RM0.015 seunit, yang bermaksud pegangan Azam sekurang-kurangnya bernilai RM265,500.
SPRM dan Azam menafikan sebarang salah laku dan menyatakan bahawa dia telah mengisytiharkan pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Partners kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Bagaimanapun, isu pematuhan terhadap had pembelian RM100,000 tersebut tidak dijelaskan.
Malaysiakini juga berkata mereka telah menghubungi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, untuk mendapatkan ulasan berhubung kes Azam ini.
Dalam sidang media petang tadi, Azam mendakwa bahawa dia telah melupuskan semua pegangan saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lepas.
Azam juga berkata bahawa dia akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg, susulan laporan mengenai pemilikan sahamnya dalam Velocity.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment