Membisu di sebalik ketegasan
Merujuk hantaran di media sosial oleh Perdana Menteri, Malaysiakini hari ini berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian kerajaan "tidak akan berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan."
"Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang," kata Anwar.
Kenyataan perdana menteri itu dibuat susulan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dari tangga 57 kepada 54 bagi tahun 2025.
Namun, kata portal berita lantang itu, pengumuman keputusan CPI itu berlaku serentak dengan laporan Bloomberg yang mendedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki disenaraikan memiliki 11.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Saham dalam Velocity Capital Partners Berhad itu dianggarkan bernilai hampir RM800,000 semalam.
Walaupun penjawat awam tidak dilarang membeli saham, pekeliling tatatertib perkhidmatan awam menetapkan mereka tidak boleh membeli lebih RM100,000 saham dalam satu syarikat.
Azam berkata dia telah membeli dan melupuskan saham tersebut pada waktu yang tidak dinyatakan tahun lalu. Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) masih menyenaraikan Azam sebagai pemegang saham Velocity Capital Partners setakat 26 Disember 2025.
Tidak diketahui berapa harga pembelian saham itu namun harga terendah saham Velocity Capital Partners tahun lalu sekitar RM0.015 sesaham, bermakna pegangan ketua pesuruhjaya SPRM itu mungkin bernilai sekitar RM265,500 pada kadar terendah.
SPRM dan Azam menafikan sebarang salah laku serta memaklumkan pegangan saham itu telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun, isu pematuhan terhadap had pembelian RM100,000 tidak disentuh.
SPRM dan Azam menafikan sebarang salah laku serta memaklumkan pegangan saham itu telah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun, isu pematuhan terhadap had pembelian RM100,000 tidak disentuh.
Ini kali kedua ketua pesuruhjaya SPRM itu menjadi perhatian berhubung portfolio dagangan sahamnya.
Pada hujung 2021, dia turut menjadi perhatian susulan pegangan saham dalam sebuah syarikat yang melebihi had RM100,000.
Pada Januari 2022, Azam berkata dia telah memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bahawa saham tersebut dibeli oleh adiknya yang meminjam namanya dan dia percaya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pengisytiharan itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya mendapati tiada bukti perdagangan proksi kerana Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.
Pada 20 Januari 2022, Anwar yang ketika itu ketua pembangkang berjanji akan membangkitkan perkara tersebut dengan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia berlaku selepas Pemuda PKR menyerahkan memorandum kepadanya yang antara lain menggesa ketua SPRM mengisytiharkan aset mereka.
Namun sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada November 2022, Anwar menjadi penyokong kuat Azam dan pernah menyatakan ketua pesuruhjaya SPRM itu satu-satunya individu yang berani mengambil tindakan terhadap pemimpin rasuah.
Anwar juga telah melanjutkan kontrak Azam sebagai ketua SPRM sebanyak tiga kali selepas usia persaraan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment