Jangan terlalu ghairah hendak jatuhkan Azam Baki hingga banyak jerung terlepas
Attack Azam Baki usaha untuk halang jerung ditangkap?
Seperti yang kita semua maklum, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika ini ‘on fire’ bukan hanya kerana laporan Bloomberg, tapi dengan senarai dakwaan dan tangkapan jerung besar. Malah ada jerung yang sudah dipalam masuk ke sangkar besi.
Itulah yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan respons yang berbunyi “biarlah Azam Baki buat kerja dia”.
Maksudnya, biar dia selesaikan tugasnya yang juga amat penting untuk negara.
Dari satu sudut yang mungkin tirus, gerakan “menghentikan” tugas Azam seolah-olah berniat untuk menghalang kerja-kerja SPRM seterusnya, malah secara tidak langsung turut mengganggu momentum SPRM yang sedang laju menangkap jerung.
Timbul satu persoalan, adakah ini satu bentuk cubaan untuk menyelamatkan saki-baki jerung yang masih bebas, yang dalam usaha akhir untuk diberkas?
Ya, laporan Bloomberg itu tidak harus dipandang remeh. Siasatan wajar dijalankan dan ia telah dilakukan segera apabila jawatankuasa khas siasat dakwaan Azam Baki ditubuhkan.
Namun jauh di sudut hati saya merasakan seperti ada yang tidak kena. Ini kerana perang terhadap jerung perasuah ini bukan kaleng-kaleng permainannya, boleh jadi hingga ke pelusuk dunia demi menyelamatkan berbilion dana.
Salahkah jika saya bertanya, apakah kita benar-benar boleh mempercayai dakwaan yang hadir ketika Azam dilihat ‘berjaya’ dengan pelbagai dakwaan dan tangkapan?
Salahkah saya berkongsi kesangsian tentang latar masa hadirnya dakwaan tersebut?
Ketika momentum Malaysia berada di puncak kayuhan, dengan pelbagai hasil ekonomi positif yang tidak pernah dijangka ketika Anwar mula menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu, nescaya ketika itu juga akan ada musuh global dan lokal yang pastinya tidak senang duduk, atau baring mahupun berdiri, panas sentiasa bagai dirasuk ablasa.
Saya secara peribadi setuju Azam disiasat dengan serius, untuk sekurang-kurangnya dibersihkan segala dakwaan yang mengaitkannya. Tindakan Azam menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg juga sepatutnya diberi sedikit muka.
Saya doakan kemelut ini selesai segera agar dapatlah disaksikan jerung seterusnya dijerut SPRM versi Azam.
Adaptasi dari sepucuk surat tulisan EDY NOOR REDUAN, pengerusi Kelab Rakan Media Siasah Madani (Karesma), yang disiarkan Malaysiakini semalam, Isnin 16 Februari 2026.
| Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment