Doktor palsu Bangladesh buka klinik haram dalam restoran dan kedai runcit
Permintaan tinggi dalam kalangan warga asing untuk mendapatkan rawatan dalam suasana yang 'lebih dekat' dengan mereka, selain tidak perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri, dikenal pasti antara faktor utama kemunculan semula klinik migran haram meskipun tindakan penguatkuasaan berulang kali diambil.
Taktik yang berjaya bikin Jabatan Imigresen keliru
Dalam satu pertemuan dengan syarikat akhbar terkemuka New Straits Times, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, memberitahu dengan risikan mendapati ramai dalam kalangan warga asing lebih selesa untuk mendapatkan rawatan di premis sedemikian berikutan faktor keserasian bahasa dan kemudahan untuk berkomunikasi.
Selain itu, katanya caj rawatan lebih rendah berbanding ditawarkan di kemudahan perubatan berdaftar turut menjadikan premis sedemikian pilihan menarik.
"Keadaan ini dipengaruhi taktik pengendali yang menyembunyikan aktiviti mereka di sebalik perniagaan lain seperti kedai runcit, restoran atau premis komersial biasa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Kenyataan beliau menyusuli serbuan Jabatan Imigresen ke atas sembilan klinik haram di sepanjang Jalan Tun Tan Siew Sin, di Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu, yang mana sebahagiannya didapati kembali beroperasi selepas ditutup melalui tindakan penguatkuasaan terdahulu.
Difahamkan beberapa klinik terbabit, yang kebanyakannya memberi perkhidmatan kepada warga asing, pernah diserbu sebelum ini dan doktor palsu yang mengendalikannya sudah dihantar pulang, namun premis berkenaan kembali dibuka dan menyambung semula khidmat konsultasi perubatan serta penjualan ubat-ubatan terkawal.
Dalam serbuan di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin, Leboh Pudu dan Jalan Silang itu, Jabatan Imigresen turut menahan 10 lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai doktor.
Serbuan terbaharu mendedahkan modus operandi hampir sama, dengan klinik haram beroperasi secara terselindung di sebalik premis makanan dan kedai runcit bagi mengelak dikesan.
Mereka didapati mengenakan bayaran konsultasi dan menjual ubat kepada pelanggan warga Bangladesh, selari dengan penemuan penguatkuasaan sebelum ini.
Tambah Zakaria lagi, semakan rekod penguatkuasaan mendapati hanya satu lokasi yang pernah diserbu sebelum ini kembali beroperasi, manakala selebihnya membabitkan premis baharu yang menggunakan taktik serupa.
Perubahan modus operandi
Beliau menegaskan kemunculan semula klinik sedemikian bukan berpunca kelemahan undang-undang sedia ada atau prosedur penguatkuasaan, sebaliknya didorong perubahan modus operandi pihak terbabit yang beroperasi secara terselindung di sebalik premis perniagaan lain untuk mengelakkan dikesan.
Zakaria menambah, 10 individu yang ditahan dalam operasi terbaharu itu bukan mereka yang pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini, sebaliknya individu lain yang dipercayai meneruskan kegiatan secara berasingan dengan menggunakan pendekatan serupa.
"Jabatan Imigresen melaksanakan tindakan penguatkuasaan menyeluruh terhadap pihak terbabit melalui serbuan, tangkapan, pendakwaan di mahkamah dan pengusiran selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan berkaitan.
"Semua tindakan diambil berasaskan undang-undang sedia ada dan tiada kompromi terhadap kesalahan imigresen," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment