Ahli Parlimen lantang PKR sangsi keseriusan Madani perangi rasuah
Media tempatan melaporkan kelmarin bahawa seorang Ahli Parlimen veteran PKR yang tidak menyokong kerajaan baru-baru ini mempersoalkan bagaimana negara boleh berharap untuk memerangi rasuah apabila “golongan elit” tertentu boleh mendapat “diskaun” ke atas hukuman mereka walaupun sudah disabitkan di mahkamah.
Encik Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) membangkitkan persoalan itu ketika membahaskan usul titah menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang menyatakan hasrat untuk melihat perang habis-habisan terhadap rasuah di negara ini.
“Kemudian kebawah duli Yang di-Pertuan Agong menyatakan amalan rasuah ini mesti diperangi secara besar-besaran. Ini memang seruan yang betul daripada raja kita. Kalau baginda tidak bercakap, siapa lagi nak bercakap.
“Tetapi Tuanku, ampunkan patik bercakap di sini, bagaimana kita nak perangi secara besar-besaran rasuah ini jika ada elit-elit tertentu dalam negara kita, pemimpin-pemimpin besar di negara kita, telah didapati bersalah oleh mahkamah, tetapi dibagi diskaun kemudian itu.
“Ini kesilapan. Ini saya tidak kata kesilapan, something wrong dalam bahasa Inggeris. Dalam satu segi kita nak perang habis-habisan, dalam satu segi kita lepaskan dengan diskaun,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.
Walaupun Hassan tidak memberikan butiran lanjut, beliau dipercayai merujuk kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam kes SRC International.
Menambah lanjut, Hassan mengkritik dakwaan amalan dwistandard pihak berkuasa ketika menyiasat dan mendakwa suspek rasuah, khususnya melibatkan ahli politik.
“Yang kedua, di kalangan kita pemimpin besar elitis ini, ramai pemimpin-pemimpin negara, dulu dan sekarang, kes di mahkamah mendapat DNAA, dilepaskan tanpa dibebaskan. Tak cukup itu, kemudian dia bagi NFA — no further action (tiada tindakan lanjut).
“Jadi kesian, simpati saya kepada pegawai-pegawai SPRM yang gigih menyiasat,” katanya.
Hassan turut menyentuh dakwaan ketidakseimbangan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak prokerajaan dan pembangkang, termasuk sindiran terhadap keputusan pendakwaan melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment