Reaksi simpati berlebihan kepada Abang Belon boleh dorong Malaysia jadi negara tanpa peraturan
Ianya juga boleh merebak ke arah sentimen kenegerian, modal politik tidak sihat pemerintah dan juga pembangkang
![]() |
UMNO Bahagian Jerantut mewakili Menteri Besar Pahang menziarahi ‘Abang Belon’ yang menerima rawatan di Hospital Serdang, Selangor. |
Tidak dinafikan, semua orang wajar merasa sebak dan pilu, menjelang Aidilfitri, seorang anak muda dari Pahang dikasari penguasa DBKL di hadapan khalayak ramai, hingga cedera dan dikejarkan ke hospital.
Berdasarkan laporan media, insiden ini terjadi kerana dia berniaga tanpa lesen. Masalah biasa yang sering berlaku. Dikatakan Abang Belon menolak secara fizikal salah seorang penguat kuasa, maka beberapa orang kakitangan DBKL itu bertindak balas.
Kita perlu mendengar cerita semua pihak sebelum sewenang-wenangnya menghukum satu pihak mengikut emosi.
Masalah seperti ini tidak terhad kepada DBKL sahaja, tetapi juga kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.
Beberapa tahun lalu, saya sendiri pernah melihat satu contoh di Cyberjaya, di bawah Majlis Perbandaran Sepang.
Seorang anak Melayu menjual burger, dipercayai tiada lesen perniagaan, di kawasan perumahan rumah teres, gerainya dirampas dan diangkut dengan lori PBT.
Pada masa sama, warga asing boleh sebebasnya berniaga dengan meriah berkonsepkan pasar malam di kawasan yang tidak jauh dari situ. Macam mana warga asing boleh dapat lesen berniaga pula?
Sangat sedih, berdasarkan tinjauan, kebanyakan warga asing memandang rendah kepada jabatan-jabatan kerajaan termasuk PBT, dengan persepsi peraturan boleh dibeli untuk dilanggar. Lama-kelamaan, Malaysia akan dilihat sebagai negara dunia ketiga tiada peraturan.
Mengagungkan pelanggar peraturan adalah satu kesilapan yang serius. Ia akan membawa padah kepada negara. Dikhuatiri, reaksi simpati berlebihan kepada Abang Belon boleh mendorong Malaysia menjadi negara tanpa peraturan. Seperti banyak berlaku di negara kurang maju di mana pihak berkuasa hanya mampu memandang perbuatan tidak mematuhi tata tertib dan adab peraturan.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Negeri Pahang meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang meneliti dan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penjaja belon yang didakwa dikasari petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menurut Utusan Malaysia, dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa penjaja dikenali sebagai ‘Abang Belon’ yang terlibat dalam insiden itu merupakan anak kelahiran negeri ini.
“Saya ambil maklum individu yang terlibat dalam insiden melibatkan penjaja belon dan penguatkuasa DBKL baru-baru ini merupakan anak kelahiran negeri Pahang.
“Justeru saya meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi melihat dan memberi bantuan yang sewajarnya sesuai dengan keperluan individu terbabit,” beliau dipetik sebagai berkata di Kuantan, semalam.
Wan Rosdy berkata, beliau difahamkan kedua-dua belah pihak sudah membuat laporan polis berkaitan insiden berkenaan.
“Saya difahamkan kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis, adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau turut menekankan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar penjaja dan pihak berkuasa tempatan memahami tanggungjawab masing-masing bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang pada masa hadapan.
“Semoga kehadiran Syawal yang sedang kita nantikan membawa kejernihan kepada semua pihak berkenaan isu ini,” katanya.
Terdahulu, UMNO Bahagian Jerantut mewakili Menteri Besar bagi menyampaikan sumbangan peribadi kepada ‘Abang Belon’ yang sedang dirawat di Hospital Serdang, Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, FMT semalam melaporkan Sultan Pahang menegur pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya berhemah dalam segala tindakan diambil perlu penuh “budi bicara” tanpa melibatkan kerosakan mahupun kecederaan.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah pada masa sama peniaga juga perlu mengikut SOP, termasuk memohon lesen atau permit perniagaan.
“Dalam keghairahan menyambut Lebaran, sudah pasti para peniaga melipatgandakan usaha untuk sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.
“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah baginda dalam Facebook Kesultanan Pahang.
Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah turut berkesempatan meluangkan masa menziarahi penjaja belon yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa Dewan Bandaya Kuala Lumpur (DBKL), pada Jumaat lalu.
Muhamad Zaimuddin Azlan, 28, kini dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang akibat cedera selepas bergelut dengan penguat kuasa yang cuba merampas barang jualannya.
Simpati dengan keadaan yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Arif turut menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang kepadanya.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment