MP DAP bimbang tindakan kurang tegas terhadap pegawai ada 12 pasport asing cuba lindungi kegiatan rasuah peringkat tinggi Jabatan Imigresen
Rakyat senada dengan ketidakpuashatian Lim Lip Eng
Portal berita pro-Pakatan Harapan yang kini semakin lantang membidas kerajaan Madani melaporkan hari ini, Ahli Parlimen DAP Encik Lim Lip Eng mengkritik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai kurang berakauntabiliti selepas salah seorang pegawai agensi itu ditangkap bersama 12 pasport asing di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Kata Lim, jika yang ditahan itu adalah orang biasa, suspek pasti akan ditahan tanpa teragak-agak oleh pihak berkuasa.
"Namun, apabila mereka yang diamanahkan dengan kawalan keselamatan negara terlibat, sistem yang ada nampaknya lebih cenderung untuk melindungi dia.
"Ini bukan isu ketidakcekapan, sebaliknya ia adalah kegagalan akauntabiliti.
"Orang ramai nak tahu apa yang berlaku sebenarnya, bukan siasatan dalaman yang tidak ke mana-mana," Lim dipetik sebagai berkata kepada portal itu, Malaysiakini hari ini.
Semalam, portal tersebut melaporkan seorang pegawai JIM membuat laporan polis selepas mendapati rakan setugasnya menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluar ketika tertidur di tempat kerja.
“Saya bertindak mengejutkan pegawai itu dan melakukan pemeriksaan awal.
"Hasil pemeriksaan, saya dapati ada 12 pasport pelbagai negara diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.
"Saya kemudian mengambil pasport tersebut dan lapor perkara berkenaan kepada ketua imigresen Terminal 2," katanya dalam laporan polis tersebut.
Bukan cuma isu integriti
Susulan laporan itu, JIM mengesahkan laporan portal lantang itu dalam kejadian di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban (gambar, atas) turut mengesahkan satu laporan polis telah dibuat pada 7 Januari lalu dan kes itu diklasifikasikan sebagai untuk tindakan jabatan.
"Satu kertas siasatan integriti dibuka dan pihak pengurusan JIM KLIA telah mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan.
"Bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baru sehingga kini.
"Proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kecewa dengan kenyataan JIM, Lim menempelak Zakaria dan mengingatkan bahawa kes itu menimbulkan kebimbangan serius tentang kemungkinan ada cubaan melindungi kegiatan tersebut di peringkat tinggi.
Ahli Parlimen Kepong juga mempersoalkan mengapa JIM mengambil masa sehingga seminggu untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
"Dan mengapa polis menolaknya sebagai ‘perkara jabatan’ semata-mata dan tidak menyerahkannya kepada SPRM untuk siasatan rasuah?” katanya.
Lim juga berkata dia kesal apabila di sebalik semua pendedahan itu, pegawai terbabit hanya ditugaskan semula dan bukannya ditahan dan didakwa.
"Ini bukan isu pelanggaran kecil di tempat kerja tetapi manipulasi yang disengajakan terhadap rekod keluar masuk negara, ancaman keselamatan negara dan kesalahan jenayah yang serius namun pihak berkuasa memandang ia hanya sebagai pelanggaran integriti," katanya.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment