Berita macam inipun boleh jadi berita — Mungkin ada pengajaran di sebaliknya
![]() |
Pernah tiga kali gagal dalam rumah tangga, Farah menyifatkan ia adalah ujian untuknya. Gambar NSTP oleh Aziah Azmee |
Kini Farah sudah bersedia untuk mencari calon suami keempat
Penyanyi Farah Asyikin mendedahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Raja Iskandar Raja Muktharuddin, dua tahun lalu.
Meskipun sudah berpisah, namun Farah atau nama sebenarnya, Farah Asyikin Zulkifli, 45, masih kekal bersahabat baik dan menjalankan perniagaan restoran bersama bekas suami.
"Kami sudah dua tahun bercerai, tetapi masih kekal baik. Tidak mudah sebenarnya, tapi salah seorang kena kuat.
"Orang sekeliling yang rapat hairan bagaimana kami boleh kekal bersahabat. Secara kebetulan, kami buka perniagaan restoran ketika masih berumah tangga.
"Takkanlah saya nak bermula dari kosong balik dan buka perniagaan sendiri. Lagipun, saya bukanlah seorang yang suka nak membenci, bergaduh atau konflik. Jadi teruskan sahajalah," katanya pada sidang media memperkenalkan Humble Ramadan Buffet Restoran 17 Hills, di sini, semalam.
Mengulas tindakannya merahsiakan perceraian, penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Kembali Lagi Di Sisimu itu menegaskan kisah peribadi tidak sepatutnya dikongsikan.
"Bagi saya, tak penting nak kongsikan kisah perceraian kepada khalayak. Saya tak pernah nak berahsia, kalau orang tanya, saya akan jawab.
"Tapi untuk buka cerita, tidaklah. Nanti timbul fitnah pada masa akan datang," katanya.
Pernah tiga kali gagal dalam rumah tangga, pemenang tempat ketiga Malaysian Idol musim pertama itu menyifatkan ia adalah ujian untuknya.
"Dahulu memang saya anggap gagal dalam berumah tangga, tapi ada pihak memperbetulkan saya bukannya gagal, tetapi ia adalah ujian.
"Setiap orang ujiannya berbeza-beza. Ada orang belajar bersungguh-sungguh, tapi keputusannya tetap tidak memuaskan. Mungkin ujian itulah yang Allah sudah tetapkan.
"Sama juga dengan apa yang saya lalui. Siapa nak kahwin dan kemudiannya, bercerai. Kami berkahwin selama tujuh tahun dan terima ketentuan hubungan tak kekal hingga hujung usia," jelasnya.
Dalam pada itu, Farah berkongsi berdepan kemurungan ketika awal perceraian.
"Saya sampai tahap tak nak jumpa orang sebab saya tak tahu nak cakap apa jika ada yang bertanya soal perceraian.
"Saya pakai niqab semata-mata nak sorok wajah dan mata bengkak akibat banyak menangis. Selepas setahun barulah saya mampu nak berdepan dengan masyarakat," jelasnya.
Pemenang trofi Artis Wanita Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 itu mengakui sudah berusaha menyelamatkan rumah tangga, namun terpaksa akur kepada kehendak takdir.
Ditanya apakah pintu hatinya masih terbuka untuk kembali mendirikan rumah tangga, Farah berkata, dia bersedia jika itu yang ditentukan Tuhan.
"Saya tak pernah serik untuk kembali berkahwin. Cuma tak mahu terburu-buru.
"Saya dan bekas suami tak pernah membenci, namun untuk kembali rujuk, itu susah sikit sebab sudah wujud jurang," katanya.
Farah dan Raja Iskandar mendirikan rumah tangga pada Januari 2017 dan bercerai pada 2023. Ini adalah perkahwinan kali ketiga Farah dan kedua buat Raja Iskandar.
Perkahwinan kali pertama Farah dengan doktor bedah, Dr Fariz Yahya pada Mei 2007 tidak bertahan lama apabila bercerai setahun kemudian.
Kemudiannya, Farah pernah berkahwin dengan Zaahier Stanley pada Februari 2013, namun bercerai tiga tahun kemudian secara tebus talak.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Ebrahim Owais, 11.
Adaptasi dari sebuah artikel yang dipetik dari akhbar Berita Harian bertarikh 21 Februari 2025.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2025 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment