Setelah 10 kali lingkup, Dollah Salleh dijangka berjaya dengan bisnes terbaru
Sebelum ini Dollah pernah membuat pengakuan sepuluh kali gagal dalam perniagaan
Langkah legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh memasuki bidang perniagaan harus dijadikan contoh buat bekas pemain bola sepak mahupun bekas atlet selepas bersara daripada dunia sukan.
Memperkenalkan kopi Pablo Dollah
Perkara itu diluahkan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang menganggap pilihan menceburi bidang perniagaan sebagai alternatif bijak oleh penggiat sukan sekali gus merancakkan ekonomi negara.
"Kita sedar kebiasaannya pengamal sukan yang kemudiannya bersara daripada sukan akan terus kekal dalam bidang itu, mungkin sebagai jurulatih, pengurus ataupun bahagian pentadbiran persatuan sukan masing-masing.
"Jarang sekali kita dengar bekas pemain bola atau bekas atlet menceburi bidang perniagaan. Tetapi sebenarnya perniagaan adalah satu cabang baik untuk bekas-bekas pemain menjana pendapatan.
"Kita tidak mahu ada bekas pemain yang menjadi gelandangan selepas bersara kerana tidak mempunyai pekerjaan. Sebaliknya pemain bekas ini ada kelebihan tersendiri yang boleh digunakan sebaiknya untuk beralih ke bidang perniagaan seperti mana dilakukan Datuk Dollah Salleh.
"Beliau (Datuk Dollah Salleh) satu contoh yang baik untuk diikuti bekas-bekas pemain khususnya yang memiliki nama atau terkenal memasuki bidang perniagaan ini, disamping dapat melahirkan lebih ramai usahawan tempatan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) Peringkat Kebangsaan di Auditorium ANGKASA, di sini, semalam.
Untuk rekod, Dollah Salleh yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan serta pernah bergelar jurulatih skuad Harimau Malaya kini bergelar usahawan selepas melancarkan produk minuman kopi miliknya yang bernama Pablo Dollah.
Produk itu bakal memasuki pasaran tempatan dengan kerjasama ANGKASA, yang akan diletakkan di hampir 5,000 ANGKASA Mart di seluruh negara di bawah program BA100 secara berperingkat.
Sebagai permulaan, kopi Pablo Dollah akan memasuki 500 buah kedai runcit ANGKASA Mart dalam masa terdekat sebelum ia ditingkatkan hingga ke 5,000 kedai.
Sistem pembekalan dan pemasaran akan juga menggunakan kaedah digital platform B2B dan B2C melalui jimatbiz.com dan jimatshoop.com yang boleh juga dibuat dalam talian.
Ujar Fattah lagi, perkara utama yang perlu menjadi fokus produk Pablo Dollah selepas ini adalah kegiatan promosi.
"Isu dalam perniagaan hanyalah soal promosi. Jadi saya harap, selepas Datuk Dollah Salleh dapat beri fokus sepenuhnya tentang promosi kerana ini masalah dihadapi kebanyakan usahawan apabila sudah memiliki produk dan dipasarkan, tetapi produk mereka kurang dikenali kerana masalah promosi yang tidak konsisten," katanya.
Dalam perkembangan sama, Dollah Salleh yang juga pengurus pasukan Liga Super Sri Pahang FC akui pihaknya sudah merancang untuk membuat road show ke seluruh negara dalam masa terdekat.
"InsyaAllah kita akan turun padang ke setiap kedai (ANGKASA Mart) untuk membuat kempen promosi dan sebagainya agar produk ini dapat diterima dan menjadi minuman pilihan pengguna," kata Dollah Salleh.
Adaptasi dari sebuah artikel terbitan Harian Metro bertarikh 13 Disember 2024.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment