Selepas suami dapat kontrak kerajaan, Hannah Yeoh ditimpa saman terhadap Musa Hassan ditolak
Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah, mantan Naib Canselor dan mantan Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) |
Kes saman fitnah oleh Menteri Kesihatan (pada waktu itu), Datuk Abdul Rahman Talib, ke atas seorang Ahli Parlimen pembangkang, Seenivasagam, dan kes saman fitnah oleh Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, membawa pengajaran penting dalam konteks politik dan perundangan di Malaysia.
Rakaman video yang sedang tular di media sosial.
Kedua-dua kes ini menggariskan implikasi besar yang timbul apabila seorang tokoh awam atau menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak lain atas dakwaan fitnah.
Dalam kedua-dua kes, hasil keputusan mahkamah telah mencetuskan persoalan tentang kredibiliti, integriti dan tanggungjawab moral tokoh yang terlibat.
Kes Abdul Rahman Talib
Dalam kes Abdul Rahman Talib v Seenivasagam & Anor, Abdul Rahman Talib merupakan Menteri Kesihatan dalam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, sementara Seenivasagam merupakan seorang peguam dan Ahli Parlimen pembangkang.
Abdul Rahman Talib mendakwa fitnah telah dilakukan terhadapnya pada satu majlis di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur pada 11 September 1963. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa walaupun Seenivasagam gagal membuktikan kebenaran dakwaan berkaitan wang, elemen lain dalam tuduhan tersebut terbukti benar.
Oleh itu, pembelaan justifikasi Seenivasagam diterima dan saman plaintif ditolak.
Akibat keputusan tersebut, Abdul Rahman Talib meletakkan jawatan sebagai Menteri, meskipun Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, menyatakan kepercayaannya terhadap integriti Abdul Rahman Talib. Langkah beliau dilihat sebagai tindakan beretika yang melindungi nama baik kerajaan.
Kes Hannah Yeoh
Pada 23 Disember 2024, Ahli Parlimen Segambut merangkap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, gagal dalam saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Saman tersebut berkait kenyataan Musa Hassan dalam pada forum 'Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?' di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari 2020.
Kenyataan memfitnah yang menyebut nama Hannah Yeoh adalah seperti berikut: “Dan mereka ingin juga merosakkan agama Islam dalam negara ini. Kerana mereka mempunyai kaitan dengan Yahudi untuk merosakkan negara ini. Dan banyak research yang telah saya buat di mana saya dapati bahawa ada hubungan antara Evangelist group dengan Parti DAP di sini. Kerana mereka menulis buku, Hannah Yeoh pun telah menulis buku (bertajuk 'Becoming Hannah: A Personal Journey'), untuk menjadikan negara ini negara Kristian...."
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, bagaimanapun menolak saman berkenaan dan memerintahkan Hannah Yeoh untuk membayar kos RM40,000, selepas mendapati beliau gagal membuktikan kenyataan yang dibuat oleh Musa Hassan adalah fitnah.
"Saya mendapati dalam kes ini, majlis (di mana forum diadakan) adalah berstatus istimewa, tiada niat jahat yang terbukti dan defendan mempunyai alasan munasabah untuk kenyataan berdasarkan pengakuan dan penulisan plaintif (dalam bukunya Becoming Hannah) dan penerbitan (kenyataan defendan) adalah di luar kawalannya,” katanya.
Jelas Arziah lagi: “Dalam mempertimbangkan pembelaan justifikasi, Mahkamah mengambil kira bahawa kenyataan Defendan sebahagiannya berdasarkan penulisan dan analisis akademik SD-3/Dr Kamarul Zaman Yusoff. Bukti menunjukkan pengakuan oleh Hannah Yeoh bahawa beliau menyampaikan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, kembali sebagai "duta Tuhan", ingin berdakwah melalui karier politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya kepada penganut Kristian. Pembelaan justifikasi tidak memerlukan setiap perkataan dibuktikan benar, tetapi kebenaran substansial terhadap imputasi sudah mencukupi. Pengakuan ini memberikan asas yang kukuh untuk kenyataan Musa”.
Kes Hannah Yeoh ini menjadi signifikan kerana ia menyentuh sumpah jawatan Menteri seperti yang termaktub dalam Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.”
Sumpah Jawatan dan Setia ini berbunyi:
"Saya... setelah dipilih (atau dilantik) memegang jawatan... dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."
Pengakuan dalam buku Hannah Yeoh, dilihat bertentangan dengan prinsip yang terkandung dalam sumpah tersebut, iaitu untuk memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, sekaligus menimbulkan persoalan tentang kewajaran beliau terus memegang jawatan menteri.
Pengajaran dan Cadangan
Tanggungjawab Moral dan Kredibiliti: Seperti langkah Abdul Rahman Talib yang meletakkan jawatan selepas keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya, Hannah Yeoh juga wajar mempertimbangkan untuk berundur demi menjaga nama baik dan kredibiliti Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Risiko Saman Fitnah oleh Tokoh Awam: Menteri dan tokoh awam perlu berhati-hati sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak lain atas tuduhan fitnah. Kegagalan dalam saman boleh memberikan implikasi besar kepada reputasi individu dan kerajaan yang mereka wakili.
Keperluan Pematuhan kepada Sumpah Jawatan: Semua menteri harus sentiasa memastikan tindakan dan kenyataan mereka selari dengan sumpah jawatan yang dilafazkan, terutama dalam memelihara Perlembagaan Persekutuan.
Kes Hannah Yeoh ini menggariskan betapa pentingnya integriti, etika dan kebijaksanaan dalam tindakan yang diambil oleh pemimpin politik.
Selain itu, ia menegaskan keperluan untuk menjaga kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Dengan mengambil iktibar daripada kes ini, diharapkan pemimpin akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan awam dan reputasi kerajaan.
Walau bagaimanapun, perlu diingati yang Gerakan Evangelical Christianism Zionism ini berlainan dengan penganut Kristian biasa lain yang tiada masalah.
Bahkan dalam beberapa buku yang saya baca menegaskan gerakan ini lebih merbahaya daripada gerakan-gerakan terroris yang lain seperti al-Qaeda ataupun ISIS kerana gerakan ini menggunakan konsep deception, camouflage dan menggunakan proksi serta mereka tidak akan mengaku walaupun ada bukti yang kukuh.
Dimuatnaik dan adaptasi dari sebuah artikel terbitan Sinar Harian bertarikh 25 Disember 2024, hasil tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah, mantan Naib Canselor dan mantan Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM).
End©Permadu
Dimuatnaik/adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment