Portal pro-pembangkang persoal kerajaan pajak 30 helikopter RM16.5 bilion
Portal berita pro-pembangkang MalaysiaNow kelmarin menyiarkan berita bahawa tekanan semakin meningkat terhadap Putrajaya untuk menjelaskan langkah memajak hampir 30 helikopter bagi kegunaan agensi keselamatan negara dengan nilai RM16.5 bilion, dengan pelbagai pihak mempersoalkan perjanjian yang ditandatangani dengan sebuah syarikat milik seorang jutawan yang dilaporkan pernah meminjamkan helikopter kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum dua tahun lalu.
Menteri Pengangkutan Encik Anthony Loke Siew Fook ketika melawat tapak Weststar di Pameran Udara Selangor tahun lalu. Gambar Facebook yang dipetik MalaysiaNow. |
Weststar Aviation Sdn Bhd, milik Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, memeterai perjanjian dengan kerajaan untuk pajakan 15 tahun sebanyak 28 helikoper jenis Leonardo untuk digunakan oleh tentera, polis, bomba dan agensi penguatkuasaan maritim, di samping satu helikopter untuk kegunaan Jabatan Perdana Menteri.
Ini merupakan kali pertama perolehan aset helikopter dalam jumlah besar secara sewaan bagi kegunaan pelbagai pasukan keselamatan.
Kali terakhir perolehan helikopter besar-besaran dibuat ialah tahun 1960-an menerusi pembelian lebih 40 helikopter Nuri dari jenis Sikorsky S61 A-4 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Bulan lalu, Anwar dalam mengumumkan Weststar sebagai pilihan kerajaan berkata antara sebab keputusan itu ialah hubungan sedia ada syarikat itu dengan firma pengeluar helikopter Leonardo di Itali, sambil mendakwa langkah itu akan menjimatkan kerajaan kos "berbilion-bilion" ringgit.
Apa yang menjadi titik perdebatan ialah kos pajakan yang memakan belanja RM16.5 bilion, sedangkan pengkritik berkata kos membeli helikopter baharu hanyalah RM1.5 bilion, yang disertakan jaminan tiga tahun dengan alat ganti yang mudah didapati.
Bekas timbalan menteri pertahanan Encik Ikmal Hisham Abd Aziz menyifatkan perjanjian itu sebagai antara perolehan aset yang tertinggi dalam sejarah negara, dan menggesa kerajaan mendedahkan butiran kontrak kepada umum.
"Rakyat berhak tahu butiran yang lebih lengkap.
"Helikopter yang dibekalkan kepada agensi seperti TUDM dan TLDM mesti mengikut spesifikasi atau keperluan perkhidmatan.
"Contohnya, TUDM sekarang mengoperasikan helikopter EC275 buatan syarikat Eurocopter. Dengan pajakan ini, TUDM akan menerima helikopter AW139. Anggota terlibat memerlukan persediaan dari segi latihan dan kursus," katanya kepada portal yang kelihatan sebagai penyokong PN itu.
Ikmal, yang mengetuai portfolio mengenai pertahanan dalam Kabinet bayangan Perikatan Nasional, berkata membeli helikopter lebih baik daripada memajak.
Katanya, pihaknya masih mengumpul fakta-fakta kontrak sewaan itu.
Seorang pemain industri berkata adalah menjadi kebiasaan bagi syarikat membekalkan aset kepada kerajaan dengan melakukan "mark-up" terhadap harga keseluruhan, dengan memasukkan kos penyelenggaraan, latihan kepakaran dan aspek teknologi baru keselamatan.
Menurutnya, ini mengelakkan kerugian kepada sesebuah syarikat.
"Ini bermaksud, bila syarikat beli aset baru untuk disewakan kepada pelanggannya, dan kalau ia tidak disambung, ia tidak akan rugi.
"Malah ia akan tetap untung tinggi sebab harga dah 'mark-up'," katanya kepada portal berkenaan dengan syarat tidak dinamakan.
Setakat ini, Weststar belum memberi maklum balas sama ada amalan sama dilakukan dalam kontrak pajakan itu.
Penganalisis pertahanan Encik Muhammad Fuad Mat Noor mempunyai pandangan yang berbeza.
Jelasnya, perolehan 28 buah helikopter tersebut amat diperlukan dalam masa yang cepat untuk kegunaan dalam tempoh masa yang tertentu.
Menurutnya, industri pertahanan Malaysia masih lemah dalam menyediakan kepakaran dan latihan untuk menyelenggara aset-aset seperti helikopter dan aset perang menyebabkan sewa dan pajakan menjadi pilihan sesuai.
Kes LCS senyap sebab Zahid Hamidi salah seorang menteri pertahanan ketika itu?
"Kita habiskan berbilion ringgit untuk projek kapal tempur pesisir (LCS) dengan kos asal (hampir) RM12 bilion.
"Kita cuba memperolehi aset pertahanan dengan kos RM12 bilion dah lebih 10 tahun, apa yang kita dapat? Itulah masalahnya," katanya sebagai merujuk kepada projek LCS yang terpalit kontroversi.
Madani makin tak telus
Sementara itu, pelbagai pengulas blog dan media sosial rancak membincangkan perolehan itu, di mana rata-rata menyifatkannya contoh terbaru pentadbiran Anwar tidak telus.
Ramai juga merujuk kepada helikopter milik Westsar yang dipinjamkan kepada Anwar untuk memudahkan pengerusi PH itu berkempen pada 2022.
Malaysia Flipflop, sebuah blog ulasan politik, berkata harga untuk sebuah helikopter baharu dianggarkan US$16 juta, atau kira-kira RM70.6 juta pada kadar tukaran semasa.
"28 helikopter baharu berharga RM1.98 bilion dengan jaminan 3 tahun dan akses mudah kepada alat ganti," katanya, yang turut mempersoalkan anggota Kabinet yang tidak berani membantah keputusan itu.
"Weststar Aviation menang kontrak RM16.5 bilion untuk sewakan 28 helikopter kepada kerajaan Malaysia, untuk 15 tahun. Hampir RM40 juta setahun untuk setiap helikopter," tulis Gabriel Walter di Sarawak Awareness Group, laman perbincangan Facebook mengenai hal ehwal Sarawak.
Bandingan dengan angkatan tentera Poland yang beli jauh lebih murah
Seorang lagi pengkritik membandingkan kontrak pajakan itu dengan pembelian 32 helikopter Leonardo jenis AW149 bagi kegunaan angkatan tentara Poland.
Menurut butiran yang dikeluarkan syarikat Leonardo pada Jun lalu, pembelian oleh Poland itu memakan belanja €1.76 bilion atau kira-kira RM8.2 bilion dan termasuk pelbagai pakej seperti alat ganti dan latihan komprehensif.
"Kontrak untuk 32 helikopter jenis AW149, bernilai PLN 8.25 bilion (kira-kira €1.76 bilion) termasuk pakej logistik, latihan dan simulator.
"Pakej logistik termasuk stok alat ganti dan alat ganti boleh guna, serta peralatan untuk pengendalian darat helikopter. Pakej latihan dan simulator termasuk latihan komprehensif juruterbang dan kakitangan teknikal dan penghantaran satu set simulator canggih dan peralatan latihan," menurut Leonardo dalam kenyataan pada 4 Jun.
End©Permadu
Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment