Sedang Anwar kelihatan menikus dan membisu, Mahathir bersuara lantang
Dr M persoal IGP mengenai arahan VVIP yang menyalahi undang-undang
Bekas perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Razarudin Husain sepatutnya mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul untuk pengawal peribadi polis supaya tidak mematuhi arahan VVIP yang menyalahi undang-undang.
Walaupun mengalu-alukan amaran Razarudin baru-baru ini kepada anggota polis yang mengiringi VVIP supaya tidak melanggar undang-undang, bekas perdana menteri itu mempersoalkan jika mereka benar-benar boleh untuk tidak mematuhi arahan.
"Saya gembira IGP telah memberi amaran kepada anggota polis yang mengiringi VVIP bahawa mereka bukannya kebal daripada undang-undang. Jika mereka melakukan sesuatu kesalahan, sesuatu yang melanggar undang-undang, mereka boleh dihukum.
"Saya beranggapan jika mereka diarahkan oleh VVIP untuk melakukan sesuatu yang tidak mengikut undang-undang, mereka harus menolak. Tetapi bolehkah mereka? Adakah mereka telah diberitahu bahawa mereka boleh berbuat demikian?
"Bolehkah IGP jelaskan perkara ini? Saya percaya bahawa kecenderungan umum ialah pengawal peribadi polis melakukan apa yang disuruh.
“Adalah tidak adil jika mereka tidak diarahkan untuk mengingkari arahan yang jelas bertentangan dengan undang-undang,” Malaysiakini memetik tokoh politik berusia 99 tahun itu sebagai berkata dalam satu kenyataan.
Mahathir mengulas kenyataan yang dibuat oleh Razarudin minggu lalu, yang mengingatkan anggota polis yang ditugaskan untuk mengiringi VVIP supaya jangan bertindak di luar undang-undang.
Amaran itu dikeluarkan susulan kes serangan yang melibatkan pengiring polis, yang menurut Razarudin telah mencemarkan reputasi polis.
Mengulas lanjut, Mahathir turut mencadangkan supaya anggota polis pengiring VVIP dibenarkan mendedahkan maklumat sekiranya mereka diberi arahan yang di luar undang-undang.
"Bagaimana jika VVIP memberi jaminan bahawa dia akan melindungi pengawal peribadi polis itu? Bagaimana jika VVIP mengarahkan pengawal peribadi polis supaya tidak mendedahkan siapa yang mengarahkannya.
“Adalah tidak adil jika anggota polis itu dihukum kerana melaksanakan perintah yang dia yakin dirinya akan dilindungi.
"Pengiring polis sepatutnya mempunyai hak untuk mendedahkan maklumat seperti orang lain. Ia tidak begitu mudah.
"IGP mesti membuat peraturan yang betul, sebagai sebahagian daripada SOP, bahawa anggota keselamatan mempunyai hak untuk enggan mematuhi arahan melakukan perkara yang salah atau bertentangan undang-undang," katanya.
Meskipun Fr Mahathir tidak menyebut nama secara spesifik, beliau dipercayai merujuk kepada kes di mana pada 4 November lalu, seorang anggota polis yang mengiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengaku bersalah menyerang pemandu e-hailing orang kurang upaya, Encik Ong Ing Keong.
Muhammad Taufik Ismail didenda RM1,000 kerana menyebabkan kecederaan kepada pemandu pekak berusia 47 tahun itu.
Jumaat lalu pula, seorang anggota polis, Encik Mohd Fouzi Md Nur, bersama kerabat diraja Pahang, Tengku Eddie Akasya, serta tiga yang lain, dituduh menyerang pekerja pembinaan jalan, Encik Alias Awang.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment