Penganalisis: BERSATU berpecah dua - Kem Azmin, Kem Hamzah
Perpecahan dalaman sehingga membentuk dua kem dalam BERSATU tidak mampu 'disembunyikan' lagi dengan bantahan demi bantahan diterima parti itu sebaik keputusan pemilihan jawatankuasa peringkat Armada, Srikandi dan Srikandi Muda diumumkan.
Akhbar Berita Harian melaporkan semalam, penganalisis politik menyifatkannya ibarat retak menanti belah, perpecahan itu semakin ketara, sekali gus memberi gambaran awal corak keputusan di peringkat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi penggal 2024-2027.
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata kemenangan dua pemimpin daripada kem berbeza bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Armada BERSATU memberi petanda pergolakan sedia ada sukar dipulihkan.
"Saya berpandangan kemenangan Hilman (Muhammad Hilman Idham) sebagai Ketua Armada dari kem Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Muhammad Faiz Rahmad sebagai Naib Ketua dari kem Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) bakal menghuru-harakan keadaan parti dan dijangka sukar menjalinkan kerjasama.
"Malah selepas pemilihan pun saya lihat sukar untuk kedua-dua pemimpin Armada ini mencapai kata sepakat untuk menjernihkan semula hubungan dalam kalangan pemimpin muda dan ahli Armada sendiri," katanya kepada akhbar berkenaan
Beliau diminta mengulas bantahan antaranya daripada Armada yang mempersoalkan ketelusan pemilihan sayap itu.
Sebelum ini Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad, dilaporkan berkata pihaknya inginkan penjelasan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sama ada proses pemilihan kali ini dipengaruhi agenda peribadi atau campur tangan individu tertentu.
Selain itu, calon yang bertanding jawatan Ketua Srikandi Muda BERSATU, Nurul Fadzilah Kamaruddin turut meluahkan kekecewaan mengenai proses pemilihan sayap parti itu yang didakwa sangat bermasalah sehingga menyaksikan keputusan asal ditukar pada saat akhir.
Beliau yang juga bekas Ketua Srikandi Muda penggal lalu terkejut dengan keputusan JPP yang bertindak menangguhkan keputusan pemilihan sayap Srikandi Muda pada malam hari mengundi (Sabtu), meskipun pihaknya dimaklumkan sudah memenanginya.
Dalam pertembungan tiga penjuru itu, Nurul Fadzilah tewas di tangan Ketua BERSATU Bahagian Kapar, Nurul Ezzati Azmi.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik, berkata bagi kemenangan diraih Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk jawatan Ketua Srikandi, ia turut memberi 'isyarat' pertembungan besar bakal berlaku dalam kepemimpinan BERSATU.
"Beliau (Mas Ermieyati) daripada kem Hamzah. Jadi keputusan ini menunjukkan perpecahan mengikut kem Azmin dan Hamzah dalam kepemimpinan parti kian kritikal.
"Jangkaan saya, BERSATU akan terus bergolak secara dalaman meskipun selepas pemilihan berakhir," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berpandangan BERSATU berada di titik paling lemah ketika ini dengan pelbagai perseteruan yang diburukkan lagi oleh kemelut di antara kem Mohamed Azmin dan Hamzah.
"Bantahan demi bantahan (selepas pemilihan peringkat sayap BERSATU) ini berpunca daripada pertembungan antara kem Azmin dan Hamzah.
"Kita lihat Srikandi berpihak kepada kem Hamzah manakala Hilman yang diangkat Ketua Armada pula diketahui amat rapat dengan Azmin.
"Jadi apabila timbul bantahan (susulan keputusan pemilihan), ia boleh dianggap boleh memecahbelahkan BERSATU yang sudah dalam keadaan lemah ketika ini," katanya.
Tambahnya, 'kemuncak' bagi pemilihan jawatankuasa BERSATU sebenarnya adalah penentuan kem mana yang akan menakluk parti itu.
"Seramai 20 MKT BERSATU ini yang akan tentukan kem mana akan kuasai parti ini, sama ada Azmin atau Hamzah.
"Bagaimanapun, Azmin mungkin berdepan masalah kerana dikaitkan dengan isu skandal rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan dakwaan menyimpan sejumlah wang yang banyak atau 'safe house'.
"Jadi ini mungkin menyukarkan kem Azmin menguasai 20 kerusi MKT.
"Begitu juga jika Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tewas dalam merebut tiga jawatan Naib Presiden, berkemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka akan pertahankan kerusi Presiden, akan tarik Ahmad Faizal yang sudah banyak berkorban untuk dilantik Setiausaha Agung berbanding Azmin," katanya.
Tambahnya, jika situasi itu berlaku, parti BERSATU dijangka semakin melemah berikutan perpecahan dalaman yang tidak dapat dibendung lagi.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment