Pelantikan Dusuki perlihat Madani tidak komited terhadap reformasi institusi, kata Bersih
Bersih dengan nada kesal mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keputusan melantik Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara baru yang didakwa tidak mencerminkan komitmen terhadap reformasi institusi, menurut Malaysiakini.
"Bersih berpandangan proses lantikan penjawat awam utama seperti peguam negara ini haruslah melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPK) agar calon-calon peguam negara dibuat dengan lebih inklusif dan telus, malah boleh turut mendapatkan pandangan daripada pertubuhan masyarakat sivil,” kata NGO itu pada satu kenyataan semalam.
Bersih turut membangkitkan peranan Dusuki dalam memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi tahun lepas.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan Dusuki akan menggantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai peguam negara baru. Terrirudin pula dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.
Bersih turut menggesa kerajaan mempercepatkan proses pemisahan antara Jabatan Peguam Negara dan pejabat pendakwa raya awam.
“Isu proses lantikan Peguam Negara tidak menjadi isu sekiranya kerajaan sudah melaksanakan pemisahan bidang kuasa di mana Peguam Negara tidak lagi menjadi Pendakwaraya untuk mendakwa kesalahan undang-undang dan hanya bertanggungjawab menjadi penasihat undang-undang kerajaan.
"Malah peguam negara juga boleh dilantik daripada ahli parlimen yang menjadi anggota kabinet kerajaan supaya boleh terlibat dalam mesyuarat kabinet dan menasihati dari sudut undang-undang," kata Bersih.
Malaysiakini turut merujuk komen bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim, pada 23 Oktober lalu, di mana beliau dilaporkan menempelak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mengatakan pemisahan ini harus dilakukan secara bertanggungjawab dan tidak boleh tergesa-gesa.
“Ya, memang sukar untuk memisahkan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya. Menteri memerlukan satu atau dua tahun lagi.
"Lagi baik lepas pilihan raya pada 2027 supaya tugas-tugas utama dapat diselesaikan sebelum itu.
"Sementara itu, dia boleh merancang lagi lawatan kajian ke England dan Kanada. Jika ada masa, Scotland juga indah,” sindir Zaid.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment